Pintasan
Diterbitkan pada
Setelah berjaya dalam kerjaya, usahawan Kristine dan mendiang Douglas Tompkins mula memulihkan ekosistem yang hilang, demi memelihara kelestarian pada masa hadapan. Melalui Inisiatif Planet Abadi, Rolex menyokong legasi progresif mereka untuk memulihkan semula kawasan Kon Selatan di Amerika Selatan.
Semua episod
Episod 1 – 2023
Episod 2 – 2023
Episod 3 – 2023
Apabila Kristine Tompkins dan mendiang suaminya, Douglas Tompkins, meninggalkan dunia korporat untuk ke hutan belantara yang saujana di selatan Chile, mereka memulakan usaha pemuliharaan perintis yang telah melindungi berjuta-juta hektar kawasan di negara paling selatan di dunia dan negara jiran, Argentina. Pada tahun 1991, mereka mula membeli tanah yang terancam dan merosot yang boleh dipulihkan semula oleh mereka. Dengan bantuan saintis dan sukarelawan tempatan, mereka mengambil alih landskap ini yang kepelbagaian biologi telah merosot, lalu dipulihkan semula dengan misi akhir untuk mendermakan tanah itu kepada negara berkenaan sebagai taman negara. “Setelah kami memahami bahawa kami boleh mengubah nasib wilayah ini dalam jangka panjang, itulah yang mendorong kami,” ujar Tompkins.
Sejak itu, Pemuliharaan Tompkins menubuhkan dua organisasi berasingan, iaitu Rewilding Chile dan Rewilding Argentina bagi memudahkan usaha pemuliharaan di kedua-dua negara. Rolex menyokong para perintis alam sekitar dalam pemulihan komuniti ekologi yang dapat terus berkembang untuk jangka panjang.
Setelah kami memahami bahawa kami boleh mengubah nasib wilayah ini dalam jangka masa panjang, itulah yang mendorong kami.
Pablo Guerra Aldazabal tersenyum gembira ketika melihat seekor jaguar melintasi skrin komputernya sambil membawa anaknya. Rakaman melalui satu daripada kamera perangkap yang dipasang di sekitar Taman Negara Iberá, timur laut Argentina itu menjadi bukti kejayaan selepas perjuangan penuh cabaran untuk mengembalikan kucing besar itu ke kawasan tersebut setelah lebih 70 tahun.
Selama berdekad-dekad, aktiviti penternakan lembu dan eksploitasi secara berlebihan telah menjejaskan kawasan tanah lembap Iberá. Banyak spesies tumbuhan dan haiwan tempatan akhirnya pupus. “Para penternak berusaha menyingkirkan segala bentuk persaingan dan pemangsa utama dalam ekosistem,” jelas Sofía Heinonen, Pengarah Eksekutif Rewilding Argentina. “Ketika itu, jaguar dilihat sebagai ancaman kepada ternakan lembu.” Selepas berusaha selama bertahun-tahun, sekurang-kurangnya 12 ekor jaguar kini hidup sepenuhnya di alam liar. Pasukan Rewilding Argentina menjangkakan pertambahan kelahiran tetapi Guerra Aldazabal masih mengingati detik bersejarah apabila jaguar pertama dilepaskan. “Itulah impian saya selama bertahun-tahun. Sejarah terukir pada waktu itu.“
Apabila pasangan Tompkins pertama kali tiba di Iberá, tanah lembap air tawar kedua terbesar di dunia, mereka menyedari bahawa usaha pemuliharaan perlu diteruskan dengan mengembalikan spesies asli yang telah hilang. “Matlamat kami adalah untuk memulihkan ekosistem yang berfungsi sepenuhnya,” kata Kristine Tompkins. Untuk membina semula ekosistem dengan cekap, spesies utama dikembalikan bagi memulihkan keseimbangan semula jadi dan menggalakkan hidupan liar lain untuk kembali. Pemangsa utama seperti jaguar mencetuskan kesan berantai yang mengembalikan keseimbangan ekologi setempat.
Di Iberá, Rewilding Argentina mengenal pasti beberapa spesies yang perlu dikembalikan. “Setiap spesies saling berkait dan mempunyai peranan dalam sesebuah ekosistem. Di Taman Negara Iberá, kami sedang memperkenalkan semula 10 spesies berbeza. Masing-masing ada peranan tersendiri,” kata Sebastián Di Martino, Pengarah Pemuliharaan organisasi tersebut.
Spesies pertama yang dikembalikan ialah tenggiling gergasi yang telah pupus dari kawasan tanah lembap Iberá, sama seperti jaguar. Apabila populasi spesies terbesar dalam keluarga tenggiling ini meningkat hingga ratusan ekor, haiwan itu dapat mengawal populasi pelbagai spesies semut serta mempercepat pemulihan padang rumput dan hutan. Selepas itu, rusa pampas dan burung kakaktua merah hijau pula menyusul, diikuti harimau oselot dan memerang gergasi. Setiap spesies memainkan peranan penting dalam pemulihan ekosistem Iberá dengan membentuk semula habitat semula jadi dan menyebarkan benih. Pasukan ini berharap semua spesies penting tersebut dapat membentuk populasi yang bermandiri dan meneruskan peranan penting masing-masing untuk ratusan, malah ribuan tahun akan datang.
Keadaan yang sama turut berlaku di Steppe Patagonia di Chile. Landskap semula jadi kini yang tampak subur dan berdaya tahan ini suatu ketika dahulu merupakan kawasan penternakan berskala besar dan meninggalkan kesan kemerosotan yang teruk sebelum dibeli oleh pasangan Tompkins dan dijadikan taman negara. “Ada kawasan yang mengalami hakisan begitu teruk sehingga yang tinggal hanyalah debu,” kenang Cristián Saucedo, Pengarah Hidupan Liar Rewilding Chile yang telah mengabdikan diri lebih 15 tahun untuk memulihkan flora dan fauna asli. “Hari ini, ekosistem itu semakin pulih tetapi masih perlahan.” tambahnya. “Ekosistem boleh musnah dalam masa yang singkat tetapi pemulihan memakan masa berdekad-dekad.”
Ekosistem boleh musnah dalam masa yang singkat tetapi pemulihan memakan masa berdekad-dekad.
Rewilding Chile bermula dengan merobohkan pagar sepanjang ratusan kilometer yang membahagikan kawasan tersebut dan menghalang pergerakan bebas hidupan liar. Langkah ini membolehkan organisasi itu memperkukuh populasi sedia ada bagi beberapa spesies, termasuk puma; rhea, burung yang tidak dapat terbang dan menyerupai emu serta membantu penyebaran benih merentasi landskap; dan simbol kebangsaan Chile, huemul, yang juga dikenali sebagai rusa Andes selatan. Populasi huemul juga kian meningkat secara beransur-ansur dan menghidupkan semula hutan yang menjadi habitatnya. Daniel Velásquez menyaksikan perubahan ini berlaku sepanjang dua dekad yang lalu. Pada awalnya, beliau menternak biri-biri dan lembu di kawasan tersebut. Namun, sejak huemul kembali, beliau menjadi renjer khusus yang menjaga spesies rusa berkenaan.
Peralihan kepada ekonomi mampan dengan sokongan, penglibatan dan kerjasama komuniti di kampung serta bandar sekitar merupakan asas penting kepada kejayaan Rewilding Chile dan Rewilding Argentina. “Kita tidak akan mampu melindungi taman-taman dan wilayah ini jika masyarakat setempat tidak menikmati manfaat dan menganggapnya sebagai amanah bersama,” ujar Tompkins. Aspek penting dalam usaha ini adalah menghubungkan masyarakat dengan alam sekitar agar mereka dapat menikmati sendiri kehadiran hidupan liar.
Usaha Tompkins untuk membina semula ekosistem yang unik dan berdaya tahan di Chile serta Argentina terus berkembang. Berkat kesabaran dan ketekunan, pasukan Rewilding Chile dan Rewilding Argentina telah mewujudkan serta memperluas 15 taman negara baharu, memulihkan ekosistem dan membuka peluang untuk manusia hidup harmoni dengan alam, khususnya generasi muda. “Saya bersyukur melihat spesies ini kembali berkembang di kawasan ini dan kanak-kanak dari pekan berhampiran datang meneroka denai di situ,” kata Tompkins. “Alangkah bangganya kita.”