Akibatnya, projek penyelidikan saya kehilangan pembiayaan dan kertas kerja saya ditolak. Satu detik yang amat sukar.
Pintasan
Diterbitkan pada
Ahli Neurosains dan Pemenang Anugerah Rolex, Grégoire Courtine, telah mengabdikan hidupnya untuk rawatan kecederaan saraf tunjang. Dengan bantuan “ujian perintis” terbaharu, teknologi revolusionernya mencapai hasil yang mampu mengubah kehidupan berjuta-juta insan.
Semua video
2025
2023
2019
Adakalanya, penemuan rawak mampu memberikan implikasi yang meluas. Tiga puluh tahun yang lalu, sebagai pelajar fizik yang gemar memanjat batu, Grégoire Courtine bertemu dengan seorang profesor neurosains di kaki tebing. Perbincangan mereka tentang cara otak mengawal pergerakan fizikal sangat mengilhami Courtine sehingga beliau menukar bidang pengajiannya kepada neurosains.
Pada 2004, berbekalkan PhD dalam bidang neurosains, Courtine berhijrah ke Los Angeles untuk menyandang jawatan pasca kedoktoran di Universiti California, Los Angeles (UCLA). Makmal tempat beliau bekerja ketika itu bekerjasama dengan Christopher and Dana Reeve Foundation. Courtine masih mengingati pelakon terkenal Christopher Reeve yang pernah berucap kepada sekumpulan saintis, mengingatkan mereka: “Apabila anda keluar dari makmal esok, singgah di bilik rehabilitasi untuk lihat pesakit yang berjuang untuk melangkah, lalu tanya diri anda ‘Apakah yang perlu saya ubah untuk memperbaiki hidup mereka?’ Jangan lupa, itu misi anda.”
Detik itu sekali lagi mengubah hidup Courtine yang bertekad “untuk mendedikasikan sisa kerjayanya dalam pembangunan terapi bagi mereka yang mengalami kelumpuhan.”
Beliau menghabiskan lapan tahun berikutnya menyelidik kesan rangsangan elektrik terhadap saraf tunjang yang rosak. Pada 1 Jun 2012, beliau menerbitkan sebuah makalah revolusioner yang menghuraikan penemuannya dan menunjukkan potensi untuk membantu pesakit lumpuh berjalan semula. Hasil kajian tersebut mendapat liputan pada muka hadapan The New York Times.
Namun, penemuan itu mengundang keraguan dalam kalangan komuniti saintifik yang mempertikaikan hasil kajian tersebut dan meragui keberkesanan pendekatan itu. “Akibatnya, projek penyelidikan saya kehilangan pembiayaan dan kertas kerja saya ditolak. Satu detik yang amat sukar,” kenang Courtine.
Akibatnya, projek penyelidikan saya kehilangan pembiayaan dan kertas kerja saya ditolak. Satu detik yang amat sukar.
Kurang sebulan selepas makalah Courtine diterbitkan, satu penemuan penting berlaku apabila pakar bedah saraf, Jocelyne Bloch, datang ke makmalnya di Lausanne untuk meneliti hasil kajian tersebut. Terkesan dengan penemuan itu, beliau bertekad untuk membantu Courtine menerapkan penyelidikan itu kepada manusia.
Pasangan ini mula membangunkan satu sistem bagi memulihkan fungsi pergerakan untuk individu yang mengalami kecederaan saraf tunjang kronik. Menerusi penjana denyutan yang diimplan, mereka dapat menghantar denyutan rangsangan elektrik pada lokasi saraf tunjang tertentu untuk diselaraskan dengan pergerakan kaki yang disasarkan. Proses itu akhirnya membuahkan hasil apabila para pesakit kembali berdiri dan bergerak beberapa langkah untuk kali pertama selepas bertahun-tahun.
Walaupun sistem itu mencapai kejayaan luar biasa, penggunaan dalam kehidupan harian masih rumit kerana pengguna perlu menekan butang setiap kali rangsangan elektrik ingin dicetuskan.
Dengan bantuan Anugerah Rolex yang diterima oleh Courtine, beliau dan Bloch membangunkan “jambatan digital”, iaitu teknologi revolusioner yang menukar fikiran menjadi tindakan. Implan pada otak akan mengukur isyarat yang kemudian dihantar kepada penjana denyutan untuk mencetuskan impuls elektrik yang diperlukan.
Mereka menguji “jambatan digital” itu pada seorang pesakit yang mengalami kecederaan saraf tunjang tidak lengkap dan masih mempunyai sisa keupayaan pergerakan. Walaupun hasilnya memberangsangkan, tiada jaminan bahawa proses itu akan berkesan pada pesakit dengan kerosakan penuh saraf tunjang.
Courtine merujuk pesakit dalam kajiannya sebagai “ujian perintis”. Mereka mestilah berani menjalani rawatan eksperimen serta cukup bermotivasi untuk menumpukan masa dan usaha yang besar dalam proses pemulihan dan latihan yang diperlukan.
Pada Januari 2011, Suzanne Edwards sedang mengikuti kem luncur air di Maghribi apabila pagar balkoni yang disandarnya tiba-tiba runtuh lalu terjatuh kira-kira 20 kaki ke lantai marmar. Kemalangan tersebut menyebabkan saraf tunjangnya rosak. Ketika baru berusia 23 tahun, beliau mengalami kelumpuhan dari paras pinggang.
Empat belas tahun kemudian, selepas melalui proses permohonan yang ketat, beliau menjadi ujian perintis terbaharu bagi Bloch dan Courtine, dan bersetuju untuk berpindah ke Switzerland selama enam bulan. Bloch menjalankan pembedahan untuk menempatkan implan pada otak dan saraf tunjangnya. Selepas pulih daripada pembedahan, tibalah saat untuk melihat sama ada jambatan digital itu mampu menghubungkan fikiran Suzanne dengan pergerakannya.
Usaha itu berjaya. Beliau melangkah untuk kali pertama selepas 14 tahun.
Beberapa minggu selepas pembedahan, Suzanne menjalani latihan intensif untuk menguji ketahanan dirinya ke tahap maksimum. Kemajuannya amat mengagumkan dan menggembirakan Courtine: “Detik paling bermakna dalam kerja saya ialah ketika saya melihat mata Suzanne saat dia berusaha mengorak langkah yang sukar, kemudian menyedari bahawa dia mampu bergerak semula. Kemajuan yang dia saksikan sendiri telah mengukirkan senyuman di wajahnya. Bagi saya, itulah ganjaran yang paling bermakna.”
Perkara yang dahulu dianggap mustahil untuk saya lakukan, kini tiba-tiba menjadi nyata. Masa hadapan saya terasa janggal. Sungguh mengujakan.
Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, Courtine bertekad untuk terus melampaui sempadan sains bagi membantu 20 juta orang di seluruh dunia yang mengalami kecederaan saraf tunjang. Namun aspirasinya tidak terhenti di situ. Beliau dan Bloch kini mula meneliti kemungkinan penggunaan teknologi tersebut untuk merawat pesakit Parkinson atau pesakit yang mengalami strok. Masa hadapan penuh dengan kemungkinan.
Begitu juga bagi Suzanne, yang kini mula membiasakan diri dengan satu perasaan yang asing: “Perkara yang dahulu dianggap mustahil untuk saya lakukan, kini tiba-tiba menjadi nyata. Masa hadapan saya terasa janggal. Sungguh mengujakan.”