Kebanggaan terbesar saya ialah hubungan dengan komuniti dan kepercayaan terhadap projek ini.
Pintasan
Ekspedisi Tulang Belakang Afrika
Diterbitkan pada
Setelah mengharungi banyak ekspedisi berbahaya, peneroka Steve Boyes dan pasukannya telah membuktikan bahawa Tanah Tinggi Angola ialah sumber Sungai Zambezi yang gah. Dengan sokongan Rolex, beliau menggunakan penemuan ini untuk mendapatkan perlindungan sebenar bagi kawasan yang penting ini.
Pada Konvensyen Ramsar tentang tanah lembap di Zimbabwe, Steve Boyes, pengasas siri ekspedisi Tulang Belakang Afrika, berdiri di hadapan raja, pembesar dan pemimpin global untuk berkongsi penemuan yang luar biasa: sumber utama Sungai Zambezi, yang menjadi nadi kehidupan berjuta-juta orang dan hidupan liar, berada di Tanah Tinggi Angola. Di sana, tanah lembap pergunungan yang dikenali sebagai “menara air” bertindak sebagai span yang menyalurkan air ke anak sungai, yang akhirnya menyatu ke Sungai Zambezi yang deras. Penemuan itu merupakan kesimpulan daripada 50 ekspedisi yang mencabar merentasi beribu-ribu kilometer laluan air yang belum dipetakan, demi menjejak punca air Zambezi.
Pembentangan hasil kerja kepada kerabat diraja daripada kerajaan lama yang dilalui oleh Boyes dan pasukannya merupakan satu detik penting kerana sokongan para raja menjadi tunjang kepada keseluruhan projek ini. “Mereka penjaga sungai,” kata Boyes. “Mereka masih berbangga akan air ini. Mereka masih merasakan air itu milik mereka. Reaksi mereka benar-benar mengujakan.”
Konvensyen Ramsar 2025 berlangsung di bawah bayangan Air Terjun Victoria di Sungai Zambezi yang menerima lebih daripada 70 peratus air dari Tanah Tinggi Angola. Delegasi dari seluruh dunia, termasuk Nyambe Nyambe, Pengarah Eksekutif Kawasan Pemuliharaan Rentas Sempadan Kavango Zambezi (KAZA TFCA), berhimpun untuk mengiktiraf serta memulihara tanah lembap yang amat penting ini.
Kawasan yang telah dibuktikan secara saintifik oleh Boyes dan pasukannya sebagai sumber utama Sungai Zambezi dikenali sebagai Lisima Lya Mwono (“Sumber Kehidupan”) dan terletak di bahagian timur Tanah Tinggi Angola. Kawasan ini telah dicalonkan untuk pengiktirafan sebagai Tapak Ramsar rasmi. “Ini akan menjadi Tapak Ramsar ketiga terbesar di Afrika, dan yang kelima terbesar di dunia jika disenaraikan dalam beberapa bulan akan datang,” jelas Boyes.
Apabila pencalonan Tapak Ramsar Lisima Lya Mwono dimuktamadkan, kawasan ini akan diiktiraf secara rasmi sebagai tanah lembap yang mempunyai kepentingan antarabangsa. Penyertaan 172 kerajaan negara dalam Konvensyen Ramsar yang diketuai oleh Setiausaha Agung, Musonda Mumba, mengukuhkan perlindungan kawasan ini melalui rangka kerja pemuliharaan nasional dan antarabangsa dengan fokus terhadap penggunaan serta pengurusan tanah yang mampan.
Boyes dan pasukannya telah meraih satu pencapaian hebat hasil bertahun-tahun ekspedisi yang mencabar dan penuh risiko sambil menjalankan penyelidikan yang teliti demi memelihara landskap yang lebih besar daripada England.
Kebanggaan terbesar saya ialah hubungan dengan komuniti dan kepercayaan terhadap projek ini.
Berpaksikan kejayaan Projek Belantara Okavango National Geographic, Boyes menubuhkan Projek Belantara pada 2018 untuk mengkaji dan melindungi lembangan sungai utama di Afrika. Empat tahun kemudian, dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, beliau melancarkan usaha bercita-cita tinggi organisasinya yang masih muda, iaitu siri ekspedisi Tulang Belakang Afrika. Usaha ini menyediakan asas saintifik pertama bagi menilai menara air utama Afrika, (kawasan yang berfungsi sebagai takungan semula jadi air) dan menyiasat peranannya sebagai sumber Sungai Zambezi, Congo, Niger dan Nil yang menjadi nadi kepada dua pertiga ekonomi Afrika.
Kerllen Costa, rakan ekspedisi Boyes, memainkan peranan penting dengan membina hubungan rapat bersama masyarakat tempatan yang akan melindungi rantau ini pada dekad-dekad mendatang. “Kebanggaan terbesar saya ialah hubungan dengan komuniti dan kepercayaan terhadap projek ini,” ujar Costa.
Misi pertama Tulang Belakang Afrika mereka ialah Ekspedisi Lungwevungu yang meneroka kawasan terpencil di Tanah Tinggi Angola. Menara air di kawasan ini telah lama diiktiraf oleh masyarakat peribumi sebagai sumber kepada banyak sungai besar di Afrika tetapi belum pernah didokumentasikan secara saintifik. Ketika menyusuri laluan air, Boyes, Costa dan pasukan mengambil ukuran sungai serta hidupan liar bagi membangunkan asas data ekosistem tersebut. Ekspedisi ini penting untuk merekodkan kesihatan serta biodiversiti kawasan ini. Perjalanan ini bukan sahaja berisiko daripada ancaman buaya dan badak, malah memenatkan mental dan fizikal. Setiap ekspedisi diakhiri dengan rasa syukur dan gembira apabila pasukan akhirnya tiba di titik penamat sungai. Menurut Boyes, “Selepas berbulan-bulan berada di lapangan, apabila melihat lokasi mendarat, kami akan berhenti seketika dan berkata, ‘akhirnya’, seraya bersorak dan saling berpelukan.”
Bagi Boyes khususnya, yang disahkan menghidap kanser beberapa tahun lalu dan terpaksa berehat untuk pemulihan, kembali ke dunia penerokaan menjadi satu pengalaman yang istimewa. Kini beliau semakin bersemangat dan bertenaga untuk mencapai kejayaan dalam misinya. Melalui pengumpulan maklumat dan pengetahuan merentas projek, Boyes dan Costa berjaya mencapai satu matlamat yang mengagumkan, iaitu menjejaki perubahan tanah lembap dan sungai agar dapat dilindungi dengan lebih baik.
Kami berhasrat untuk melindungi 1.2 juta kilometer persegi kawasan tadahan air Afrika. Kami mahu mencapai matlamat itu menjelang 2035, mungkin seawal 2030 dengan pelaksanaan yang betul.
Boyes dan pasukan telah menerbitkan kertas kajian yang menghuraikan penilaian perintis mereka terhadap sumber air Sungai Zambezi, yang dihasilkan menerusi usaha selama lebih satu dekad yang membuktikan kepentingan Tanah Tinggi Angola pada peringkat serantau, bukan sahaja kepada lembangan saliran utama, malah kepada lembangan kecil sungai tersebut. Kawasan ini menjadi sumber kepada anak-anak sungai utama yang mengalir ke Okavango dan Congo. Secara keseluruhan, sekitar 400 juta orang serta dua pertiga daripada populasi gajah Afrika yang masih ada bergantung pada kawasan yang sedang dipelihara oleh Boyes dan Costa dengan sokongan komuniti serta kepimpinan tempatan.
“Kami berhasrat untuk melindungi 1.2 juta kilometer persegi kawasan tadahan air Afrika. Kami mahu mencapai matlamat itu menjelang 2035, mungkin seawal 2030 dengan pelaksanaan yang betul.” Pengiktirafan rasmi serta perlindungan sebagai Tapak Ramsar bagi Lisima Lya Mwono akan menjadi langkah besar ke arah mencapai matlamat ini. Boyes yakin bahawa dengan perlindungan yang lebih kukuh terhadap kawasan ini, negara serantau akan menjadi lebih berdaya tahan untuk menghadapi perubahan iklim, sekali gus melindungi keterjaminan air dan makanan mereka.
Usaha pasukan ini akan membentuk masa hadapan yang lebih baik bagi mereka yang bergantung pada kesihatan Tanah Tinggi Angola. “Legasi para saintis, penjaga sungai dan pencerita sungai yang kami bina dengan sokongan berterusan di negara-negara ini akan berkembang menjadi satu kekuatan besar yang akan menggalas usaha ini pada masa hadapan,” kata Boyes.
Pembentangan di Konvensyen Ramsar ialah satu pencapaian penting bagi Boyes dan pasukan Tulang Belakang Afrika yang mencerminkan usaha besar yang telah dilakukan sepanjang dekad yang lalu. Namun bagi Costa, “Saya rasa ini hanyalah permulaan.”