Pintasan
Ekspedisi Tulang Belakang Afrika
Diterbitkan pada
Menerusi Inisiatif Planet Abadi, Rolex menyokong ekspedisi Tulang Belakang Afrika yang merentasi ribuan kilometer sungai yang tidak pernah didokumentasikan secara saintifik sebelum ini. Kajian ini akan membantu masyarakat dan hidupan liar yang bergantung pada sumber sungai Afrika.
Semua episod
Sungai Lungwevungu: Episod 1 – 2023
Sungai Lungwevungu: Episod 2 – 2023
Sungai Lungwevungu: Episod 3 – 2023
Di tenggara tanah tinggi Angola, terdapat landskap keindahan yang luar biasa dan alam belantara yang sebenar. Apabila penjajah Portugis mula-mula tiba, mereka memanggilnya “Terra do fim do Mundo” (“Daratan di penghujung dunia”). Bagi sesetengah orang, tanah gambut yang tidak dapat diakses, ekosistem yang berkembang pesat dan rupa bumi yang mencabar mungkin menjadi gambaran yang tepat buat mereka, tetapi bagi Sungai Zambezi yang gah, di sinilah segalanya bermula.
Sungai Zambezi ialah nadi kehidupan di selatan Afrika. 20 juta penduduk serta pelbagai spesies tumbuhan dan hidupan yang hanya wujud di kawasan ini bergantung pada aliran Sungai Zambezi yang merentasi Angola, Zambia, Namibia, Botswana, Zimbabwe dan Mozambique. Walaupun Sungai Zambezi merupakan antara sungai teragung di dunia, masih banyak misteri yang belum diketahui, bermula dari kawasan paya di hulu hingga perairan masin Lautan Hindi. Dengan memahami asal usul dan ekosistem unik sungai ini dengan lebih baik, para saintis serta komuniti tempatan dapat melindungi kawasan ini dan memastikan kelangsungan sungai tersebut dalam menghadapi perubahan iklim.
Ekspedisi ini yang diketuai oleh ahli pemuliharaan dari Afrika Selatan dan rakan kongsi Inisiatif Planet Abadi Rolex, Steve Boyes, bermula di Sungai Lungwevungu. Sebagai anak sungai Zambezi, Lungwevungu mengalir keluar dari tanah tinggi Angola yang Boyes percaya kawasan inilah punca sebenar sungai Zambezi. “Sesuatu kawasan hanya boleh dianggap sebagai punca jika menyumbang air terbanyak kepada sistem sungai dan merupakan titik paling jauh dari muara sungai,” jelas beliau.
Selama hampir 100 tahun, Rolex telah menyokong individu luar biasa yang membuat penemuan baharu. Bagi para peneroka hari ini, usaha memelihara kesejahteraan dan kepelbagaian alam semula jadi demi generasi akan datang amatlah penting. Inilah teras kepada siri ekspedisi Tulang Belakang Afrika yang sedang dijalankan oleh Boyes bersama pasukan pakar tempatan, saintis dan pencerita. Siri ekspedisi ini akan memberikan maklumat penting tentang punca Sungai Zambezi, Congo, Niger dan Nil yang menjadi sumber kehidupan 400 juta penduduk serta menyokong dua pertiga ekonomi Afrika. Banyak anak sungai yang bakal diterokai masih belum pernah dikaji secara saintifik.
Bermula dari kawasan tenggara tanah tinggi Angola, Boyes dan pasukannya menuju ke kawasan yang mereka gelar sebagai “Menara Air Okavango-Zambezi”, yang pertama kali ditemukan ketika ekspedisi bersama Projek Belantara Okavango National Geographic (NGOWP). Penemuan ini menjadi permulaan kepada kajian berterusan tentang peranan penting menara air ini yang terletak hampir 800 km (500 batu) dari sungai-sungai utama yang menerima aliran air tersebut. Di rantau ini, menara air berada di kawasan tinggi yang berhutan lebat dan menerima taburan hujan yang tinggi. Tanah gambut ini ibarat span yang membekalkan aliran berterusan kepada sungai walaupun ketika curahan hujan berkurangan. Hutan dan tanah gambut memainkan peranan penting ketika suhu dunia terus meningkat dan corak cuaca berubah tetapi kawasan ini sukar diharungi. “Memang dahsyat sekali,” kata Boyes. “Pada siang hari, asyik disengat serangga, waktu malam pula, kumbang, semut bersayap dan rama-rama berterbangan. Kawasan ini amat mencabar untuk menjalankan kajian saintifik, didiami atau melakukan sebarang aktiviti. Mungkin inilah Terra do fim do Mundo.”
Kawasan ini amat mencabar untuk menjalankan kajian saintifik, didiami atau melakukan sebarang aktiviti. Mungkin inilah Terra do fim do Mundo.
Pasukan ini meredah aliran Sungai Lungwevungu dengan menaiki “mekoro”, kanu tradisional yang biasa digunakan oleh masyarakat di Delta Okavango. Peralatan yang dibawa menjadi bahagian penting dalam ekspedisi ini kerana, menurut Boyes, “setiap data yang boleh diukur, pasti akan kami ukur dan rekodkan.” Sepanjang perjalanan, mereka merekodkan hidupan liar dan komuniti manusia yang ditemukan, mengambil sampel air untuk mengesan DNA persekitaran daripada spesies ikan yang mendiami kawasan itu serta mengkaji invertebrata dalam air. (Dalam beberapa ekspedisi terdahulu di rantau ini menerusi NGOWP, pasukan ini telah menemukan lebih 140 spesies baharu yang belum pernah dikenal pasti oleh dunia sains.)
Dalam perjalanan sejauh 900 km (560 batu) menyusuri Sungai Lungwevungu hingga memasuki Zambia, pasukan ini turut mengkaji struktur dan aliran sungai serta memantau kualiti air sepanjang laluan. Selain tinjauan berterusan, pasukan ini turut menjalankan pemantauan terperinci pada setiap jarak 10 km menggunakan rakaman dron dan gambar habitat. Melalui pengumpulan rekod dan data yang terperinci, mereka berharap dapat membina gambaran menyeluruh tentang tahap kesihatan sungai dan ekosistem sebagai rujukan untuk kajian semula dalam tempoh lima, 10 dan 15 tahun akan datang. “Perubahan yang berlaku mestilah diukur dari semasa ke semasa agar dapat mengenal pasti had perubahan yang boleh diterima, kemudian membawa dapatan ini kepada kerajaan supaya dasar dapat dipinda,” kata Boyes.
Di samping memahami cara terbaik untuk memelihara sungai-sungai ini, Kerllen Costa, ahli biologi dan antropologi alam sekitar dari Angola, menegaskan satu lagi tujuan penting. “Di samping segala penyelidikan dan rekod yang dikumpulkan, ekspedisi ini membantu kami memahami komuniti dengan lebih mendalam supaya kami dapat memahami hubungan mereka dengan alam sekitar,” katanya. Dengan memahami hubungan kedua-dua ekologi ini, kita dapat melihat gambaran yang lebih menyeluruh tentang cara manusia menyumbang kepada ekosistem setempat.
Ekspedisi ini bukan sekadar menjalankan kajian saintifik dan mengumpulkan rekod, malah memahami komuniti dengan lebih baik. Dengan memahami komuniti, kita dapat memahami hubungan mereka dengan alam sekitar.
“Masih banyak usaha jangka panjang yang perlu dilakukan, termasuk mewujudkan garis dasar agar sungai-sungai ini dapat dilindungi dengan lebih baik,” kata Boyes. Ekspedisi ini akan memperkasakan dan mengilhami masyarakat untuk memperkukuh usaha melindungi alam belantara yang masih utuh ini demi generasi akan datang.