Pintasan
Diterbitkan pada
Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Planet Abadi, Anugerah Rolex untuk Perusahaan menyokong individu luar biasa yang memiliki keberanian dan iltizam untuk menyahut cabaran besar serta menerajui projek istimewa yang membawa perubahan bermakna kepada dunia.
Semua episod
Episod 1 – 2024
Episod 2 – 2024
Episod 3 – 2024
Pakar penderiaan jauh Liu Shaochuang cuba menyelamatkan unta liar yang sangat terancam menggunakan teknologi angkasa lepas. Unta liar telah berkeliaran di dataran gersang Gurun Gobi di Mongolia dan China selama beribu-ribu tahun, tetapi kini hanya tinggal kira-kira 1,000 ekor. Menerusi penjejak satelit dan teknologi penderiaan jauh, Liu menawarkan pandangan baharu tentang perubahan dalam habitat unta yang boleh menjadi kunci untuk usaha pemeliharaan.
Pada tahun 2011, Liu mengembara ke Gurun Gobi, yang landskap kering dan berbatu di situ sesuai untuk menguji rover bulan Chang'e 3. Semasa di sana, beliau diberitahu tentang nasib buruk unta liar itu, yang kian berkurangan akibat perubahan iklim, kehilangan habitat, pemangsa, perburuan, penyakit, penjinakan dan pembiakan kacuk oleh manusia.
Populasi unta liar yang sedikit dan bertaburan di kawasan liar seluas 200,000 kilometer persegi yang sukar diterokai menjadikan usaha pemantauan satu cabaran yang besar. Liu menyedari bahawa kepakarannya membolehkan beliau menyumbang dalam bidang penderiaan jauh, iaitu penggunaan satelit untuk memerhati permukaan bumi. Sepanjang usaha memantau unta liar, Liu dan pasukannya telah memasang kolar penjejak pada tujuh ekor unta. Sebaik sahaja kedudukan unta dikenal pasti melalui kolar penjejak, Liu boleh menggunakan teknologi penderiaan jauh untuk mengkaji perubahan habitat dari pejabatnya di Beijing.
Liu kerap kembali ke Gurun Gobi untuk meneruskan kajiannya. Gurun Gobi memang mencabar tetapi keadaan itu bukan sesuatu yang menakutkan bagi Liu. Pada April 2002, beliau menjadi orang pertama dari China yang berjaya sampai ke Kutub Utara seorang diri dengan berjalan kaki. “Sudah tentu ada cabaran apabila berada dalam persekitaran yang dahsyat seperti Gurun Gobi, tetapi setiap kesukaran pasti dapat diatasi.”
Menurut Liu, perubahan iklim dan aktiviti manusia telah menyebabkan habitat unta semakin berkurangan sehingga memaksa haiwan itu berpindah ke kawasan yang lebih sejuk dan altitud yang lebih tinggi. Apabila habitat kian terhad, unta liar menjadi lebih mudah terancam oleh pemangsa seperti serigala. Kekurangan lokasi untuk mendapatkan air pula meningkatkan risiko wabak menular dalam populasi unta.
Langkah pertama untuk melindungi unta adalah dengan memahami cabaran yang mengancam kemandirian hidup. “Dengan mengetahui pergerakan unta, tempat minum dan ancaman yang dihadapi, kami dapat merancang cara yang lebih berkesan untuk menjaga sumber air serta menentukan kawasan perlindungan,” kata Liu. Data Liu akan memainkan peranan penting dalam usaha mewujudkan dua zon pemuliharaan berskala besar iaitu Taman Negara Unta Liar China dan Rizab Semula Jadi Unta Liar Rentas Sempadan China-Mongolia.
Impian kami adalah untuk menerapkan model ini dalam usaha pemuliharaan spesies lain seperti harimau bintang salji dan harimau Siberia. Jika tidak dilindungi, haiwan ini akan menerima nasib yang sama seperti unta liar.
Usaha Liu untuk unta liar hanyalah permulaan. Beliau berharap model yang dibangunkan oleh pasukannya dapat digunakan untuk melindungi spesies terancam yang lain. “Impian kami adalah untuk menerapkan model ini dalam usaha pemuliharaan spesies lain seperti harimau bintang salji dan harimau Siberia. Jika tidak dilindungi, haiwan ini akan menerima nasib yang sama seperti unta liar.”