Pintasan
Diterbitkan pada
Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi, ekspedisi yang diketuai oleh Pemenang Anugerah Rolex untuk Perusahaan, Francesco Sauro ke gua-gua yang belum diterokai di Amazon Colombia telah memperoleh penemuan yang luar biasa dan menjalin ikatan silang budaya yang erat.
Guiana Shield ialah bentukan granit-kuarzit yang luas meliputi timur laut Amerika Selatan. Kawasan hutan hujan tropika, gunung, ngarai dan air terjun ini merupakan satu daripada tempat yang paling kurang diterokai di Amazon, tetapi antara yang memiliki biodiversiti paling tinggi. Bagi ahli speleologi Francesco Sauro, Pemenang Anugerah Rolex untuk Perusahaan 2014, daya tarikan sebenar bukan terletak pada flora dan fauna yang kaya di kawasan ini, tetapi khazanah yang tersembunyi di bawah tanah.
Bersama-sama pasukan saintis dan masyarakat Monochoa, baru-baru ini Sauro memulakan ekspedisi unik ke gua-gua yang belum diterokai di Rizab Orang Asli Monochoa, Colombia. Sebelum mereka dapat menyelidik gua-gua tersebut, mereka perlu melakukan pencarian dahulu, satu proses yang bergantung sepenuhnya pada pengetahuan purba ahli Orang Asli pasukan tersebut.
Ekspedisi itu, yang pertama kali diilhamkan oleh Sauro bersama rakan pakar speleologi, Dan Straley, melibatkan perjalanan merentasi jeram Sungai Yarí dengan bot yang dibina oleh orang Monochoa, kemudian meredah hutan tebal selama berhari-hari. “Hutan ini mencabar,” kata Sauro. “Haiwan, serangga, haba, kelembapan, bahaya, cuaca, hujan – sentiasa basah dan tidak pernah kering. Serangga, tebuan, segala jenis semut boleh hinggap pada anda, pada beg, di dalam buaian, di mana-mana sahaja.”
Namun kesulitan perjalanan itu terbayar setelah tiba di gua. Sauro semakin teruja apabila menyaksikan rakan sepasukan Monochoa melawat ruang suci untuk kali pertama. “Perasaan melihat Orang Asli meneroka gua-gua yang tersergam, dan melihat mata mereka – sungguh menakjubkan. Setiap masalah yang telah kami atasi dan pahit getir yang dilalui terubat dengan emosi yang indah.”
Sebaik sahaja keterujaan reda, pasukan itu mula bekerja, membuat pemetaan digital, mengambil gambar dan mengukur usia gua. Carlos Lasso, dari Instituto Humboldt, Bogota, telah ditugaskan untuk melakukan inventori fauna bawah tanah di dalam gua, termasuk ikan, udang, labah-labah, serangga dan kelawar.
Sampel telah dihantar kepada pakar di Colombia dan di seluruh dunia, dengan jangkaan bahawa banyak spesies baharu dalam dunia sains bakal dikenal pasti. Menurut ahli pasukan ekspedisi, Salvador Andoque, data ini akan menjadi penting kepada penduduk di wilayah ini. “Kita perlu tahu apa yang ada di wilayah kita, supaya kita dapat melindunginya.”
Di luar kemungkinan yang mengilhamkan penyelidikan Lasso, gua-gua tersebut juga mengandungi stromatolit – batuan hidup yang dihasilkan oleh bakteria yang biasanya terdapat di lautan, dan sebelum ini telah didokumentasikan di gua-gua di Brazil dan Venezuela. Secara paradoksnya, penemuan bawah tanah ini membolehkan spekulasi tentang kemungkinan hidupan jauh di luar planet Bumi.
Kehadiran stromatolit ini menunjukkan bahawa bakteria membiak dalam keadaan gelap, yang menurut Sauro, mempunyai implikasi yang mendalam terhadap kemungkinan hidupan di planet lain. "Bawah tanah, tanpa cahaya, dalam persekitaran yang sangat senyap dalam tempoh geologi yang sangat lama, dengan nutrien yang sangat rendah – itulah keadaan yang kita jangkakan di bawah permukaan Marikh," jelasnya.
Bawah tanah, tanpa cahaya, dalam persekitaran yang sangat senyap dalam tempoh geologi yang sangat lama, dengan nutrien yang sangat rendah – itulah keadaan yang kita jangkakan di bawah permukaan Marikh.
Akan tetapi, gua-gua itu masih belum mendedahkan rahsianya yang luar biasa. Sehingga kini, ada pendapat yang mencadangkan bahawa pergunungan di wilayah Monochoa terbentuk sekitar 500 juta tahun yang lalu. Lebih mengejutkan lagi, Sauro menemukan bukti yang mengusulkan pendapat yang berbeza. Gua-gua itu ditemukan di dalam batu besi di antara kuarza – ciri tipikal zaman yang jauh lebih kuno. “Ketika melihatnya, kami terus terfikir ‘wah’! Sunguh tidak dijangka. Sehubungan dengan itu, timbul tanda tanya tentang usia sebenar batu-batu ini. Mungkin jauh lebih tua daripada penaakulan kajian terdahulu.”
Begitulah sifat sains; implikasi sebenar daripada penemuan ini mungkin memerlukan masa sebelum dapat difahami sepenuhnya. Namun bagi Sauro, ekspedisi itu sudah boleh dianggap sebagai satu kejayaan, berkat kerja berpasukan yang berhasil dan ikatan erat yang terjalin antara kakitangan saintifik dengan penduduk Peribumi.
“Objektif asal adalah untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan perspektif budaya yang berbeza serta belajar daripada satu sama lain. Itulah kejayaan yang paling penting bagi saya,” katanya. Pengetahuan dan pengalaman yang dikongsi bukan sahaja penting untuk kejayaan ekspedisi ini, malah menentukan masa depan ekologi sesebuah wilayah yang mengalami ancaman seperti perubahan iklim dan pembasmian hutan. “Apabila anda pergi ke sesuatu tempat, orang yang akan dapat meneruskan penerokaan, pengetahuan dan perlindungan ialah mereka yang tinggal di sana.”
Sauro percaya ekspedisi itu akan membantu masyarakat Orang Asli dalam usaha mereka melindungi hutan. Kehadiran spesies endemik dan penemuan bentukan mineral yang unik bermakna kawasan ini memiliki nilai warisan budaya yang sangat besar. Penggabungan pendekatan saintifik ini dengan hubungan purba masyarakat Monochoa dengan hutan serta flora dan fauna akan membolehkan mereka memelihara alam untuk generasi akan datang. “Paduan dua perspektif, iaitu saintifik dan budaya tempatan membolehkan mereka melindungi kawasan tersebut dengan sangat ketat, supaya tiada sesiapa pun yang dapat mengganggu ekosistem ini,” ujar Sauro.
Paduan dua perspektif, iaitu saintifik dan budaya tempatan, membolehkan mereka melindungi kawasan tersebut dengan sangat ketat, supaya tiada sesiapa pun yang dapat mengganggu ekosistem ini.
Kejayaan ekspedisi itu begitu ketara sehingga beliau percaya khazanah bawah tanah yang terpencil ini akan menjadi antara bidang penyelidikan yang paling penting di Amerika Selatan dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang. Selain penemuan saintifik, semangat pengembaraan dan penerokaan yang diilhamkan oleh perjalanan sedemikian juga tidak kurang pentingnya. Rasa kagum yang dizahirkan oleh ahli ekspedisi itu memberi beliau keyakinan. “Kita perlu menyelami semula jiwa peneroka dalam diri kita untuk menemukan perkara baharu dan kekal takjub akan keagungan alam semula jadi. Jika kita semua masih dapat menghayati semangat ini, kita akan menghormati planet ini dan kita akan dapat hidup bersama dunia di sekeliling kita secara lebih harmoni.”