Stesen-stesen cuaca dipasang di kawasan yang sukar dicapai bagi memahami keadaan iklim semasa dengan lebih tepat dan menjelaskan kesan perubahan iklim pada masa hadapan.
Pintasan
National Geographic Society
Diterbitkan pada
Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex dan National Geographic Society, Peneroka Baker Perry dan Tom Matthews mendaki satu daripada puncak tertinggi di Andes untuk mengumpulkan data penting yang hilang mengenai kesan perubahan iklim di Amazon.
Dengan kaki mereka berdiri teguh di atas salji tebal yang mengeras, saintis iklim dan Peneroka National Geographic, Baker Perry dan Tom Matthews, melawan angin manakala ahli meteorologi Peru mengimbangkan badan mereka untuk menambahkan pelarasan terakhir pada stesen cuaca berteknologi tinggi yang baru dipasang. Mereka perlu bekerja dengan cepat. Mereka berada pada ketinggian hampir 6,350 meter di puncak Nevado Ausangate (puncak yang menjulang tinggi di Andes Peru), dan bekerja keras dengan oksigen terhad yang melemahkan tenaga mereka dengan begitu cepat.
Pemasangan stesen cuaca di puncak-puncak gunung yang tinggi di dunia merupakan satu tugas yang mencabar, memerlukan keberanian, ketekunan dan kepakaran. Oleh sebab itu, kemudahan ini masih terhad sedangkan pemahaman kita tentang persekitaran yang penting ini masih terbatas.
Selama hampir satu abad, Rolex telah menyokong para peneroka yang berdepan cabaran sebegini demi memperkaya pengetahuan manusia. Syarikat ini kini beralih daripada memperjuangkan penerokaan demi penemuan kepada usaha melindungi planet melalui Inisiatif Planet Abadi yang diwujudkan pada 2019.
Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic selama beberapa tahun ini membantu pasukan penyelidik mengakses beberapa kawasan terpencil di Lembangan Sungai Amazon yang luas merangkumi hutan tanah rendah yang lembap dan panas hinggalah sumber air di pergunungan Andes.
Disebabkan oleh kesan perubahan iklim yang meruncing yang mengganggu corak cuaca di seluruh dunia, masa depan glasier di kawasan pergunungan tinggi menjadi semakin tidak menentu. “Menara air semula jadi” ini menjadi sumber air kepada kira-kira 1.9 bilion orang serta membentuk keadaan cuaca melampaui kawasan sekitar. Perancangan terhadap kesan perubahan iklim yang semakin panas serta perubahan alam sekitar lain amat penting. Selagi para saintis belum memahami sistem ini dengan lebih baik, unjuran yang tepat masih sukar diperoleh.
Stesen-stesen cuaca dipasang di kawasan yang sukar dicapai bagi memahami keadaan iklim semasa dengan lebih tepat dan menjelaskan kesan perubahan iklim pada masa hadapan.
Perry dan Matthews bertekad mengisi jurang pengetahuan yang penting ini tanpa membiarkan ancaman runtuhan salji serta ribut salji menghalang mereka.
“Data cerapan cuaca di kawasan pergunungan tinggi amat terhad, maka setiap maklumat yang diperoleh amat berharga,” kata Matthews yang mula bekerjasama dengan Perry pada 2019 ketika memasang stesen cuaca tertinggi di dunia di Gunung Everest sebelum para Peneroka itu bergabung tenaga dan memecahkan rekod mereka sendiri dengan memasang stesen cuaca yang lebih tinggi di Everest pada 2022. “Kami memasang stesen cuaca di kawasan yang sukar dicapai bagi memahami keadaan iklim semasa dengan lebih tepat dan menjelaskan kesan perubahan iklim pada masa hadapan.”
Perry yang pernah menghabiskan sebahagian zaman kanak-kanaknya di kawasan Andes tropika turut menyedari peranan penting pergunungan itu serta bekalan airnya yang amat berharga.
“Ketika membesar di Bolivia dan Peru, saya mula menghargai kepentingan salji dan ais di pergunungan tinggi,” jelasnya. “Bukan sahaja menyokong tanaman pertanian dan ternakan, malah menjadi sumber air minuman yang penting bagi masyarakat.”
Ausangate menyalurkan banyak air ke utara lembangan Sungai Amazon. Kemudian, wap air dari hutan hujan Amazon bergerak kembali ke arah barat dan membentuk hujan yang mengekalkan glasier serta litupan salji di pergunungan. Namun, kitaran semula jadi yang rumit ini semakin terancam akibat kesan perubahan iklim dan juga pembasmian hutan.
Ekspedisi ini menghimpunkan pasukan luar biasa yang terdiri daripada malim peribumi Aymara dan Quechua, saintis, porter serta kakitangan sokongan…
Pengalaman Perry semasa membesar di Andes turut memupuk penghargaan yang mendalam terhadap sejarah dan budaya kawasan itu, sekali gus menjadikan ekspedisi ke Ausangate lebih bermakna baginya.
“Ekspedisi ini menghimpunkan pasukan luar biasa yang terdiri daripada malim peribumi Aymara dan Quechua, saintis, porter serta kakitangan sokongan… dan akhirnya menjadi satu sambutan yang amat bermakna terhadap komuniti dan budaya Andes.”
Antara ahli pasukan perintis itu ialah Cholitas Escaladoras, sekumpulan pendaki wanita Bolivia yang merintis jalan dan kini terkenal di seluruh dunia kerana bukan sahaja mampu menawan gunung-gunung yang mencabar dari segi teknikal, malah mendaki dengan pakaian tradisional Aymara mereka. Perry menyifatkan sumbangan mereka sebagai “amat penting” dari segi peranan mereka sebagai malim mahupun aura positif yang terserlah sepanjang ekspedisi.
Beliau menceritakan pengalaman selepas satu pendakian malam yang menguji ketahanan merentasi dinding ais hampir menegak dengan deruan angin kencang serta suhu bawah sifar, Cholitas berjaya menyuntik semangat kepada pasukan: “Mereka tersenyum lebar sambil menyanyikan lagu Aymara dan terus menari santai supaya kami dapat menikmati detik yang menyeronokkan.”
Setibanya di puncak Ausangate, kumpulan itu berdepan cabaran baharu. Bagi memastikan tiang stesen cuaca itu cukup kukuh untuk menahan cuaca ekstrem yang bakal dihadapi, anggota ekspedisi terpaksa menggali lubang besar jauh ke dalam salji. Mereka bekerja secara bergilir-gilir apabila tenaga menyusut dengan cepat akibat kekurangan oksigen pada altitud tinggi. “Betul-betul penat.” “Berlonggok-longgok salji kami korek,” kenang Matthews.
Selepas peralatan dipasang, mereka menanti dengan gusar sebelum dapat mengesahkan bahawa stesen itu berjaya menghantar data. Pada masa yang sama, ahli pasukan yang lain mengumpulkan sampel salji untuk ujian isotop dan mikroplastik. Ketika ribut bakal melanda pada bila-bila masa, penghantaran data bermula dan pasukan itu mula menuruni gunung.
Stesen itu dipasang untuk merekodkan pelbagai data termasuk suhu udara, kelajuan angin, kelembapan dan sinaran matahari. Usaha ini akan membantu ramalan kehilangan salji dan ais pada tahun-tahun akan datang serta memberikan gambaran lebih jelas tentang kitaran air yang dinamik di seluruh lembangan Amazon.
“Pendakian ke puncak-puncak gunung terpencil ini memberikan pengalaman yang amat mendebarkan dan sukar dilupakan apabila menyaksikan perubahan di depan mata,” kata Matthews. “Namun pendorong kami ialah keinginan untuk memelihara dan melindungi sumber alam ini.”