Pintasan
National Geographic Society
Diterbitkan pada
Selama hampir satu abad, Rolex telah menyokong para peneroka perintis yang berusaha melampaui batasan keupayaan manusia. Melalui Inisiatif Planet Abadi, Rolex menyokong mereka dengan misi baharu: untuk memahami cara kita dapat memelihara alam semula jadi.
Rolex dan National Geographic Society menyokong penyelidikan saintifik di beberapa persekitaran yang paling terancam di bumi melalui Ekspedisi Planet Abadi. Perkongsian itu memanfaatkan kepakaran saintis tersohor dunia dan teknologi canggih untuk mendedahkan penemuan baharu tentang kesan perubahan iklim.
Semua episod
Ekspedisi Gunung Logan: Episod 1 – 2023
Ekspedisi Gunung Logan: Episod 2 – 2023
Di puncak Gunung Logan, gunung tertinggi di Kanada, terdapat dataran tinggi yang dilitupi ais dengan kedalaman melebihi 400 m. Ais ini menyimpan sejarah iklim selama berpuluh-puluh ribu tahun yang bakal didedahkan oleh saintis teras ais, pendaki gunung altitud tinggi dan Peneroka National Geographic, Alison Criscitiello.
Gunung Logan terletak berhampiran sempadan di antara Alaska dengan Yukon di Kanada. Kedudukan gunung yang berhampiran dengan Teluk Alaska membawa angin pesisir, kelembapan serta cuaca yang sukar dijangka, manakala kawasan belantara membentuk landskap luas dan terpencil yang menuntut semangat penerokaan sejati daripada bakal pengembara. Lapisan ais di kawasan ini merupakan satu daripada segelintir tempat di luar kawasan kutub yang tidak mengalami kecairan pada musim panas, sekali gus memastikan rekod iklim jangka panjang kekal terpelihara di dalam ais tersebut. Analisis teras ais, iaitu silinder yang diambil daripada lapisan ais membolehkan Criscitiello dan para saintis yang bekerja dengannya mula membina semula keberubahan atmosfera merentas skala masa geologi. Dengan menelusuri masa lampau, Criscitiello juga dapat membina gambaran yang lebih jelas tentang kesan perubahan iklim hari ini terhadap masa hadapan kita.
Criscitiello merupakan Pengarah Makmal Teras Ais Kanada di Universiti Alberta. Ekspedisi beliau melengkapi Ekspedisi Planet Abadi Rolex dan National Geographic yang terdahulu ke persekitaran pergunungan tinggi, termasuk Gunung Everest pada 2019 dan gunung berapi Tupungato di Andes pada 2021.
Untuk menggerudi dan mengumpulkan teras ais dari puncak Gunung Logan, Criscitiello memerlukan satu pasukan saintis dan pendaki yang berjiwa kental untuk mendaki ketinggian 6,000 meter bersamanya. “Umpama takdir, pasukan itu terbentuk dengan sendirinya kerana hanya segelintir orang yang benar-benar sesuai untuk tugas ini,” katanya. Setiap ahli memiliki kemahiran dan kekuatan yang amat bernilai bagi menjayakan usaha yang begitu mencabar ini. Criscitiello menyedari hakikat ini. “Beliau sememangnya antara pakar radar kriosfera terbaik di dunia,” ujarnya tentang ahli glasiologi, Seth Campbell, yang dapat meninjau tapak tersebut bagi mengenal pasti lokasi penggerudian paling sesuai. “Kegagalan beliau sampai ke sana boleh menjejaskan keseluruhan ekspedisi,” jelasnya tentang Etienne Gros, jurutera yang membina gerudi teras ais merangkap mekanik di lokasi. “Ekspedisi ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa beliau,” katanya tentang rakan pendaki dan ahli geologi, Rebecca Haspel.
Saiz dan berat peralatan gerudi memerlukan pengangkutan menggunakan helikopter ke puncak gunung. Namun hal yang sama tidak dapat diberikan kepada Criscitiello dan pasukannya. “Untuk membolehkan tubuh kami berfungsi di altitud setinggi itu, pendakian perlu dilakukan sepenuhnya,” jelasnya. “Kami melaksanakan ‘double carry’, iaitu mendaki setiap bahagian sebanyak dua kali, satu kaedah yang membolehkan tubuh menyesuaikan diri secara beransur-ansur dengan altitud.” Selepas 10 hari meluncur ski dan mendaki, pasukan akhirnya tiba di dataran puncak, berdiri menghadap hamparan salji putih yang luas sejauh 20 kilometer. Walaupun pendakian ini mencabar, mereka perlu segera memulakan kerja dengan memasang peralatan gerudi serta menjalankan tinjauan radar bagi memperincikan kawasan dan mengesahkan lokasi penggerudian yang paling sesuai. Radar memberikan gambaran struktur dalaman serta lapisan ais agar mereka dapat menentukan sama ada lapisan yang terbentuk dari masa ke masa telah terganggu oleh aliran ais, khususnya di bahagian dasar. Kemudian tibalah saat untuk memulakan penggerudian jauh ke dalam ais. “Di altitud setinggi itu, apa-apa kerja yang dilakukan, tubuh tidak sempat pulih sepenuhnya, apatah lagi untuk sembuh.” Tubuh semakin lama semakin lemah.”
Di altitud setinggi itu, apa-apa kerja yang dilakukan, tubuh tidak sempat pulih sepenuhnya, apatah lagi untuk sembuh. Tubuh semakin lama semakin lemah.
Semakin jauh penggerudian dilakukan ke dalam ais, semakin banyak cabaran dan risiko baharu yang dihadapi oleh pasukan. Kabel keluli yang tebal digunakan untuk menurunkan gerudi ke dalam lubang. Semakin dalam penggerudian dilakukan, semakin berat beban dan tekanan pada peralatan, lantas merumitkan lagi usaha pembaikan apabila berlaku sebarang masalah. Ais juga perlu diekstrak dengan berhati-hati bagi mengelakkan keretakan akibat perubahan tekanan ketika diangkat ke permukaan. Berkat kegigihan pasukan, ais sedalam 327 meter berjaya dikumpulkan, sekali gus mencatatkan rekod bagi teras glasier gunung di altitud tinggi. Sampel ini berkemungkinan mengandungi hingga 30,000 tahun sejarah iklim.
Teras ais yang diambil pada kedalaman sedemikian amat penting bagi membina semula rekod iklim merentas skala masa yang panjang. Setakat ini, kajian ini kebanyakannya tertumpu pada ais di kawasan kutub. Namun, kerja yang dilakukan oleh Criscitiello bakal mengembangkan penyelidikan ini ke latitud baharu serta meluaskan pemahaman tentang perubahan atmosfera global. Di makmalnya di Edmonton, Criscitiello dan rakan-rakan kini selamat kembali untuk memotong, merakam imej dan memproses ais dengan teliti sambil menganalisis pelbagai kandungan meliputi abu gunung berapi, kebakaran hutan dan aerosol marin yang terperangkap di dalam ais dari lautan. Setiap pengukuran membolehkan mereka memahami aspek sejarah persekitaran yang berbeza di kawasan tersebut.
Kapsul masa mini ini turut membuka kemungkinan kepada penemuan baharu. Bagi Criscitiello, penemuan yang bakal diperoleh masih menjadi tanda tanya. Penemuan yang diperoleh akan membantu saintis seperti beliau merungkai kisah iklim bumi serta memberikan gambaran tentang bab seterusnya. Matlamat ini terus mendorong Criscitiello untuk menggabungkan minatnya terhadap penyelidikan dan pengembaraan.
Saya berharap dapatan daripada teras ais ini benar-benar sesuatu yang baharu, bahkan hingga kini pun belum dapat saya bayangkan.
“Gunung Logan begitu istimewa bagi saya. Inilah kali pertama segala latar belakang, pengalaman dan minat saya benar-benar disatukan. Antara pendorong utama dalam hidup saya ialah menguji had fizikal diri di persekitaran seperti ini. Usaha ini yang dilakukan untuk mengatasi batasan sains amat mengujakan.”