Pintasan
National Geographic Society
Diterbitkan pada
Ahli biologi marin Colombia, Fernando Trujillo, merupakan Peneroka National Geographic Tahun Ini 2024 Rolex atas kerjanya melindungi ikan lumba-lumba merah jambu Amazon dan sistem sungai yang menjadi habitat mereka.
Fernando Trujillo, Peneroka National Geographic Tahun Ini 2024 Rolex, tidak pernah ragu tentang cara beliau mahu menghabiskan hidupnya. Pelayaran bersama datuknya ke perkampungan Puerto Carreño di tebing Sungai Orinoco di Colombia mengilhamkan penyelidikan ikan lumba-lumba air tawar selama beberapa dekad.
“Saya amat menyayangi ikan lumba-lumba. 37 tahun kemudian, saya masih kagum saat menemukan ikan lumba-lumba di dalam hutan,” kata Trujillo. “Ikan lumba-lumba ialah spesies penting untuk membangkitkan rasa empati dalam kalangan manusia serta memahami pelbagai cabaran yang dihadapi oleh Amazon.”
Anugerah Peneroka National Geographic Tahun Ini Rolex diberikan setiap tahun kepada seorang ahli dalam komuniti Peneroka National Geographic yang menyoroti isu-isu penting, penemuan saintifik, serta cabaran yang dihadapi oleh planet ini sambil mengilhami dunia untuk mengambil tindakan demi masa depan yang lebih lestari.
Trujillo menyifatkan anugerah itu sebagai satu “penghormatan besar” serta berkata “Saya pernah menyaksikan beberapa peneroka yang amat dikagumi menerima pengiktirafan tersebut dan sukar untuk percaya bahawa kini saya mengikuti jejak langkah mereka.” Mengenang kembali betapa kerap kekecewaan dan keletihan hampir memaksanya berputus asa, beliau berkata: “Pengiktirafan seperti ini benar-benar memberikan kegembiraan dan harapan. Saya amat bersyukur.”
Di samping penyelidikannya, Trujillo menyelaraskan usaha kerjasama antarabangsa bagi melindungi ikan lumba-lumba. Beliau merupakan tokoh penting ketika Perjanjian Global 2023 untuk Melindungi Ikan Lumba-lumba Sungai ditandatangani oleh 11 negara di Asia dan Amerika Selatan.
Pengiktirafan seperti ini benar-benar memberikan kegembiraan dan harapan. Saya amat bersyukur.
Sejak 1980-an, populasi ikan lumba-lumba air tawar telah merosot sebanyak 73 peratus akibat aktiviti perikanan, pencemaran dan pembangunan. Malah, spesies ini turut diancam oleh peningkatan suhu air akibat perubahan iklim.
Menurut beliau, anugerah itu memperkukuh lagi kerjanya dalam komuniti antarabangsa. “Ada banyak peluang untuk bekerjasama dengan kerajaan, syarikat dan pelbagai organisasi alam sekitar dalam usaha pemuliharaan Amazon.”
Trujillo berbangga akan pencapaian hasil kerjasama dengan komuniti tempatan dalam pewujudan program pemuliharaan Amazon menerusi ikan lumba-lumba. “Usaha ini turut mengilhami pihak lain untuk melakukan perkara yang sama di sungai-sungai di Asia.”
Beliau juga merupakan ahli Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic, sebuah ekspedisi berbilang tahun yang meneroka ekosistem air tawar yang penting bagi kelangsungan hutan hujan terbesar di dunia. Data yang dikumpulkan oleh tujuh pasukan peneroka merentasi pelbagai ekosistem membolehkan analisis kesihatan wilayah ini secara terperinci dan pengenalpastian penyelesaian yang paling sesuai untuk dilaksanakan bagi usaha pemeliharaan. Trujillo pula telah meninjau sepanjang 1,270 kilometer sungai merentasi empat negara dan terdapat kira-kira 1,366 ekor ikan lumba-lumba merah jambu.
Pada masa hadapan, beliau berharap dapat meneruskan usahanya menerusi kerjasama lanjut dengan komuniti tempatan dan para peneroka lain, pemerolehan lebih banyak sumber serta peningkatan keberkesanan untuk mengetengahkan “penyelesaian inovatif bagi cabaran yang dihadapi oleh wilayah ini”.