Pintasan
National Geographic Society
Diterbitkan pada
Sebagai sebahagian daripada Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic, ahli biologi Quechua dan Penjelajah National Geographic, Ruthmery Pillco Huarcaya, sedang mencari beruang Andes yang menjana semula hutan berawan yang membekalkan air ke lembangan Sungai Amazon.
Kabus menyelubungi hutan berawan di pergunungan Andes dan meresap ke dalam tumbuh-tumbuhan yang subur melitupi tanah. Sebagai sumber air yang penting untuk lembangan Sungai Amazon, hutan berawan ialah rumah bagi beruang Andes, haiwan pemalu namun berani yang menjana semula hutan apabila haiwan itu melintasi landskap yang lembap dan mencabar ini. Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic telah memulakan kajian fungsi lembangan yang amat penting dan saling berkaitan. Dengan sokongan daripada kolaborator akademik jangka panjang dan rakan Peneroka National Geographic, Andrew Whitworth serta pasukan lapangannya - termasuk ahli penting seperti ahli biologi Norma Mamani, Elias Condori dan Mark Thomas, doktor haiwan Diego Rolim dan pembantu tempatan Narciso Llacta - Ruthmery Pillco Huarcaya sedang mendapatkan maklumat tentang cara beruang Andes berinteraksi dengan habitat dan kesannya terhadap masa depan hutan dan lembangan sungai.
Hutan berawan yang terletak di ketinggian 2,200 hingga 3,500 meter ke atas memainkan peranan penting dalam kitaran air Amazon. Pokok, lumut dan pelbagai tumbuhan berbunga menyerap lembapan daripada embun kabus, terbentuk daripada wap air yang tersejat dari Lautan Atlantik. Ibarat span semula jadi yang luas, hutan ini menyimpan air sebelum dilepaskan perlahan-lahan ke dalam tanah. Lama-kelamaan, air itu membentuk anak sungai dan sungai yang mengalir ke lembangan Sungai Amazon. Di Peru, hutan berawan dikenali dengan istilah Sepanyol ceja de selva, “kening hutan hujan”. Di kaki kawasan ini terdapat hutan tanah pamah yang redup dan lembap, manakala di bahagian atas terbentang padang rumput yang diterangi cahaya matahari.
Kini hutan berawan semakin terancam akibat pembasmian hutan yang mengurangkan habitat dan menjadikan kawasan ini semakin kering. Perubahan iklim memburukkan lagi keadaan apabila peningkatan suhu dan keadaan yang semakin kering meningkatkan kebakaran hutan. Kesannya, dasar hutan tanah pamah mula tersesar ke altitud yang lebih tinggi tetapi hutan berawan tidak mampu berganjak ke kawasan padang rumput di atas yang lebih mencabar.
Beruang Andes membawa harapan. Pergerakan beruang Andes merentasi pelbagai kawasan hutan akan menyebarkan benih tumbuhan yang dimakan. “Selepas melalui sistem pencernaan beruang, benih-benih ini diselaputi bahan organik yang melindungi dan menyokong pertumbuhan anak pokok,” kata Pillco Huarcaya. Dengan bantuan beruang Andes, benih-benih ini dapat mengharungi kepanasan siang dan kedinginan malam di padang rumput.
Pillco Huarcaya membesar di sebuah pekan kecil di banjaran Andes Peru dan sering mengunjungi hutan berawan bersama bapanya untuk mengumpulkan benih dan menanam anak pokok. Pemahaman tentang cara beruang menyokong peralihan hutan awan ke kawasan lebih tinggi menjadi kunci kepada usaha beliau melindungi ekosistem untuk generasi akan datang. Whitworth melawat kawasan kajian secara berkala sebagai penasihat saintifik, manakala Pillco Huarcaya menghabiskan masa berminggu-minggu di hutan berawan dalam pelbagai ekspedisi untuk memantau populasi, pergerakan, tingkah laku dan pemakanan beruang.
Dalam kajian terdahulu, beliau menggunakan kamera perangkap untuk menunjukkan bahawa beruang Andes mendiami seluruh hutan berawan dan mampu bergerak jauh merentasi cerun yang curam. “Mereka memerlukan ruang yang luas untuk membiak dan mendapatkan sumber makanan,” kata Pillco Huarcaya. Dalam budaya Andes, beruang ini dihormati sebagai Ukukus, iaitu penjaga alam yang berperanan penting dalam ekosistem. “Ukukus ialah penjaga glasier, penjaga air,” jelasnya lagi. Namun begitu, keagungan mereka tidak melindungi beruang Andes daripada kehilangan habitat dan pemburuan haram.
Ukukus ialah penjaga glasier, penjaga air.
Kini, pasukan ini menambahkan bilangan kamera perangkap serta memasang kolar satelit pada beruang bagi menjejaki pergerakan dan habitat mereka secara lebih dekat. Dengan sifatnya yang pemalu dan muka bumi yang mencabar, usaha ini tidak mudah. Sepanjang dua tahun mengkaji hutan awan, Pillco Huarcaya hanya berpeluang melihat lima ekor beruang di belantara. Pasukan ini juga menjejaki petunjuk yang ditinggalkan oleh beruang, seperti cakaran pada pokok dan jejak DNA di persekitaran hutan. Mereka turut mengumpulkan sampel najis beruang. Mujurlah mereka ada pembantu istimewa untuk tugas ini iaitu Ukuku, anjing pasukan mereka. Najis yang dihidu oleh Ukuku dihantar ke makmal untuk dianalisis bagi memahami diet beruang dan cara mereka menggunakan habitatnya. Menurut Whitworth, “Semua teknologi baharu yang kami gunakan telah mendedahkan sisi kehidupan beruang yang selama ini tidak pernah kita ketahui.”
Semua teknologi baharu yang kami gunakan telah mendedahkan sisi kehidupan beruang yang selama ini tidak pernah kita ketahui.
Pengetahuan yang diperoleh oleh pasukan Pillco Huarcaya dan Conservación Amazónica (ACCA) penting untuk menyerlahkan kepentingan beruang terhadap kemampanan ekologi hutan dan sumber airnya. Tanpa penglibatan komuniti tempatan, usaha memperkukuh dan memperluas perlindungan beruang ini hampir mustahil untuk dicapai.
Melalui Ekspedisi Planet Abadi Rolex dan National Geographic, Pillco Huarcaya dan Whitworth dapat berkongsi penyelidikan mereka dengan komuniti saintis serta peneroka yang mengkaji pelbagai aspek Amazon. “Keistimewaan usaha ini terletak pada kepelbagaian penyelidik yang berusaha untuk memahami ekosistem ini secara menyeluruh,” jelas Pillco Huarcaya. Pendekatan merentas bidang amat penting untuk menemukan pendekatan terbaik bagi memelihara ekosistem kompleks yang menjadi nadi hutan hujan Amazon, hidupan liar dan komuniti yang mendiami kawasan ini.