Pokok-pokok ini sedang terancam tetapi punca masih belum diketahui.
Pintasan
National Geographic Society
Diterbitkan pada
Ketahanan tanah lembap Amazon bergantung pada kejadian banjir bermusim. Sepanjang tahun lalu, dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex dan National Geographic Society, Thiago Silva dan Julia Tavares telah mengkaji kerumitan ekosistem yang terancam ini.
Sejak April 2022, tujuh pasukan Peneroka dan saintis pelbagai disiplin yang membentuk Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic telah mengembara jauh ke ceruk Amazon. Tumpuan kajian saintifik mereka ialah laluan air di kawasan ini, dari glasier di pergunungan Andes ke muara Sungai Amazon yang luas di Lautan Atlantik.
Pasukan yang terdiri daripada Peneroka National Geographic, Thiago Silva dan Julia Tavares, menjalankan penyelidikan dari sebuah stesen kajian terpencil bagi memahami ekosistem tanah lembap di Rizab Pembangunan Lestari Mamirauá yang diwujudkan oleh Penerima Anugerah Rolex untuk Perusahaan, iaitu mendiang José Márcio Ayres.
Silva dan Tavares menggunakan pendekatan berbeza, iaitu Tavares meneliti butiran halus sehingga ketebalan setiap helai daun, manakala Silva mengambil perspektif lebih besar dengan mengimbas kawasan hutan yang luas menggunakan teknologi Pengesanan dan Julat Cahaya (LiDAR). Dapatan mereka digabungkan untuk membangunkan model maya terperinci bagi hutan tanah lembap tersebut.
Satu ekosistem unik telah terbentuk merentasi hutan tanah lembap yang luas di lembangan Amazon. Apabila musim hujan bermula sekitar Mei, air Sungai Amazon dan anak sungai naik dan melimpah lalu menenggelami dataran banjir di sekitar. Pokok-pokok di sepanjang tebing sungai ditenggelami air hingga 12 meter tetapi masih mampu bertahan selama beberapa bulan sehingga air surut menjelang September.
Kitaran banjir ini membentuk biom unik dengan flora dan fauna yang menyesuaikan diri untuk terus hidup sama ada di atas mahupun di bawah paras air. Sebanyak 52 peratus spesies pokok di Amazon direkodkan wujud di kawasan tanah lembap. Kawasan ini kaya dengan hidupan liar dan menjadi nadi kehidupan ribuan penduduk yang bergantung pada sungai sebagai laluan pengangkutan serta sumber hasil hutan dan perikanan. Walaupun peranannya amat penting, kawasan ini masih kurang dikaji dari sudut saintifik.
Namun, persekitaran yang dinamik ini semakin terjejas apabila perubahan iklim, pembasmian hutan dan pembangunan empangan hidroelektrik mengganggu kitaran banjir semula jadi. Berbekalkan pengetahuan luas dan terperinci masyarakat setempat, Silva dan Tavares berusaha memahami keupayaan luar biasa hutan banjir ini untuk membuat penyesuaian. Mereka berharap dapatan kajian ini dapat meramal kesan ancaman baharu terhadap kawasan tanah lembap, lantas memperkukuh usaha perlindungan sebelum terlambat.
“Perubahan berlaku dengan pantas dalam sistem yang masih kurang difahami. Kita pun belum benar-benar memahami sistem ini, jadi sukar untuk menilai kehilangan yang berlaku atau tindak balas terhadap perubahan itu,” kata Silva.
Perubahan berlaku dengan pantas dalam sistem yang masih kurang difahami. Kita pun belum benar-benar memahami sistem ini, jadi sukar untuk menilai kehilangan yang berlaku atau tindak balas terhadap perubahan itu.
Silva merupakan ahli ekologi dan sains komputer serta mengajar informatik alam sekitar di Universiti Stirling di Scotland. Beliau didorong oleh usaha membina model maya hutan banjir menggunakan teknologi LiDAR.
“Saya berharap suatu hari nanti saya hanya perlu memakai gogal di rumah untuk ‘berada’ di sana dan melihat air mengalir di celah pokok. Saya dapat melihat perubahan suhu berlaku di atas dan di bawah kanopi hutan,” katanya.
Berpaksikan minat terhadap teknologi dan alam semula jadi, Silva menyifatkan dirinya sebagai “ahli ekologi digital”. Teknologi LiDAR berasaskan laser membolehkan pemetaan terperinci kawasan hutan hingga peringkat struktur daun. Apabila dipasang pada dron, teknologi itu mampu memetakan satu kilometer persegi hutan dalam masa 20 minit. Kaedah inventori tradisional memerlukan satu hari penuh untuk beberapa orang meninjau satu plot berukuran 50 x 50 meter.
“Saya seolah-olah membawa pulang seluruh hutan, setiap pohon dan helaian daun. Saya boleh kembali tahun depan untuk membuat imbasan semula dan mencerap perubahan setiap pokok, sama ada membesar, tumbang atau patah dahan,” katanya.
Pemantauan kesihatan tanah lembap dengan ketepatan tinggi dari tahun ke tahun membolehkan Silva mengenal pasti kawasan yang perlu dilindungi sebelum kerosakan tidak dapat dipulihkan.
Silva meninjau kawasan tanah lembap secara menyeluruh, manakala Tavares meneliti pokok secara mendalam untuk memahami fisiologi dan ketahanan dalam persekitaran yang berubah-ubah. Sebagai ahli ekologi tumbuhan, beliau menjalankan tugas dengan mengambil sampel pokok bagi menganalisis kandungan air. Penemuan ini memberikan gambaran tentang kesihatan pokok dan kesan perubahan cuaca terhadap kesihatan pokok. Beliau turut membina makmal sementara di dalam hutan bagi menganalisis ciri fisiologi serta struktur pokok.
Pasukan pendaki Tavares memanjat setinggi 25 hingga 30 meter ke puncak pokok untuk memotong dahan daripada kanopi hutan. Kerja ini dilakukan sekitar jam 3 pagi sebelum matahari terbit ketika pokok mula berfotosintesis dan menghasilkan nisbah air yang tidak seimbang. Sesetengah sampel disimpan dalam kotak berais untuk menghentikan proses metabolik agar tahap gula dan kanji dalam daun serta dahan dapat diukur. Di makmal mudah alih di stesen lapangan, pasukan turut mencetuskan kekurangan air pada semua sampel dahan pokok dan mengukur jumlah gelembung udara yang terhasil sepanjang proses pengeringan. Hasil eksperimen ini menjadi penunjuk penting tentang tahap sensitiviti pokok yang berbeza terhadap kemarau atau kekurangan air.
Pokok-pokok ini sedang terancam tetapi punca masih belum diketahui.
“Pokok-pokok ini sedang terancam tetapi punca masih belum diketahui,” kata Tavares. Beliau bimbang cuaca ekstrem yang semakin kerap boleh mengancam hutan tanah lembap. Namun, pemahaman lebih mendalam tentang kesan perubahan iklim terhadap pokok memastikan usaha pemuliharaan dirancang dengan lebih baik.
Silva dan Tavares menyingkap satu daripada kawasan Amazon yang paling kurang diterokai dengan membawa pemahaman baharu tentang ekosistem yang akan membuahkan harapan kepada usaha perlindungan. Melalui Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic bersama Peneroka lain, mereka memperluas pemahaman tentang ekosistem air tawar terbesar dan paling kaya biodiversiti di dunia.