Pintasan
National Geographic Society
Diterbitkan pada
Fernando Trujillo dan María Jimena Valderrama terpesona akan ikan lumba-lumba yang berenang di sepanjang lembangan Sungai Amazon. Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex dan National Geographic Society, kajian antarabangsa terbaru mereka, iaitu penilaian kesihatan ikan lumba-lumba dan habitat, telah membuahkan hasil yang memberangsangkan.
Peneroka National Geographic, Fernando Trujillo dan María Jimena Valderrama, telah menghabiskan masa sepanjang tahun lalu untuk mengkaji ikan lumba-lumba sungai Amazon ketika mengharungi anak sungai yang mengalir melalui Brazil, Colombia, Ecuador dan Peru. Usaha memahami lebih lanjut tentang populasi, pergerakan dan kesihatan ikan lumba-lumba mendedahkan lebih banyak pengetahuan tentang laluan air dan spesies ikan Amazon serta cara perkara ini mempengaruhi berjuta-juta orang yang bergantung pada unsur alam ini. Kerja mereka menjadi bahagian penting dalam Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic: menerokai fungsi ekosistem yang rumit dan saling berkaitan yang melestarikan lembangan air tawar terbesar di dunia.
Terdapat dua spesies ikan lumba-lumba di Amazon, tucuxi, atau ikan lumba-lumba kelabu, dan ikan lumba-lumba sungai merah jambu – atau boto – ikan lumba-lumba sungai terbesar di dunia. Rupa yang tersendiri dan personaliti ingin tahu telah menjadikan ikan lumba-lumba merah jambu sebagai satu daripada spesies akuatik yang paling mudah dilihat di Amazon. Trujillo, ahli biologi marin, melihat ikan ini sebagai duta sungai. Orang yang terserempak dengan mereka sangat menyayangi ikan lumba-lumba. Namun begitu, ikan lumba-lumba sungai kini diancam oleh kegiatan nelayan, lalu lintas kapal, pencemaran dan projek infrastruktur seperti empangan.
Dengan mengkaji ikan lumba-lumba dan ancaman yang dihadapi, Trujillo dan Valderrama, doktor haiwan hidupan liar akuatik, mendapati mereka boleh mendapatkan cerapan tentang ekosistem sungai yang lebih luas. “Ikan lumba-lumba umpama penjaga sungai,” kata Valderrama. Disebabkan penghijrahan yang jauh dan jangka hayat yang panjang, ikan lumba-lumba memberikan petunjuk tentang perkara yang berlaku di seluruh jaringan makanan Amazon, termasuk ikan yang menjadi sumber makanan masyarakat berdekatan. Menurut Trujillo, “Semuanya saling terhubung di Amazon.”
Satu kebimbangan utama Trujillo dan Valderrama ialah pencemaran merkuri daripada perlombongan emas, yang terkumpul apabila bergerak ke bahagian atas rantai makanan daripada tumbuhan kepada ikan dan kepada mamalia seperti ikan lumba-lumba dan juga manusia, yang boleh mencapai paras yang membawa maut. Pembasmian hutan di Amazon juga menyumbang kepada masalah ini kerana merkuri semula jadi di dalam tanah yang dahulu disimpan oleh akar pokok, kini hanyut ke dalam sungai.
Trujillo telah mendedikasikan kehidupan kerjaya untuk menyelidik ikan lumba-lumba sungai, bekerjasama dengan masyarakat tempatan untuk menyatukan pengetahuan peribumi dan saintifik serta membangunkan penyelesaian untuk semua. Orang asli Tikuna mula memanggilnya Omacha, seekor ikan lumba-lumba yang menjadi manusia. “Mereka merasakan bahawa saya telah menjelma sebagai manusia untuk melindungi ikan lumba-lumba. Itu satu penghormatan yang besar,” kata Trujillo. Hal ini menunjukkan hubungannya yang luar biasa sejak sekian lama dengan ikan lumba-lumba sungai dan menjadi nama yayasannya, Fundación Omacha, yang merangka strategi untuk penggunaan sumber sungai yang betul serta menyokong komuniti tempatan.
Dalam kajian terbaru ini, sebagai sebahagian daripada Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic, Trujillo dan pasukan Fundación Omacha menyusuri anak sungai Amazon melalui tujuh sungai dan merentasi empat negara, sambil menghitung ikan lumba-lumba. Mereka menangkap sembilan ekor ikan lumba-lumba, mengutip sampel darah untuk memantau tahap merkuri dan memasang pengesan satelit pada enam ekor ikan tersebut. Berbekalkan kepakaran veterinar Valderrama, pasukan itu dapat melakukan langkah ini dengan cara yang paling lembut. “Saya melakukan pemeriksaan fizikal dan memastikan segala aspek baik,” kata Valderrama tentang penangkapan ikan lumba-lumba. “Keselamatan haiwan ialah perkara yang paling penting bagi kami.”
Mereka merasakan bahawa saya telah menjelma sebagai manusia untuk melindungi ikan lumba-lumba. Itu satu penghormatan yang besar.
Ujian mereka mendedahkan “tahap merkuri yang tinggi dalam ikan lumba-lumba”, ujar Valderrama, yang merupakan kebimbangan bukan sahaja bagi ikan lumba-lumba, malah bagi masyarakat tempatan yang memakan ikan yang sama. Walau bagaimanapun, daya tahan ekosistem Amazon yang menakjubkan memberi Trujillo harapan: “Saya berharap merkuri dalam air dapat disingkirkan dalam masa kurang daripada satu dekad supaya kita akan mempunyai populasi ikan yang sihat.”
Setakat ini, pasukan itu menganggarkan terdapat lebih 3,000 ikan lumba-lumba sungai merah jambu dan hampir 4,000 ikan lumba-lumba kelabu di seluruh kawasan kajian mereka, jauh lebih banyak daripada yang difikirkan sebelum ini. Satu tempat yang menarik perhatian ialah Sungai Javari, yang terletak di sempadan antara Brazil dengan Peru. Trujillo dan Valderrama juga mengenal pasti kawasan yang amat penting bagi ikan lumba-lumba, tempat mencari makan, membiak dan memelihara anak, supaya kerajaan dapat menumpukan usaha pemuliharaan mereka. Menurut Trujillo, “Ahli politik sedar bahawa perlindungan seluruh sistem sungai sangat sukar, maka mereka meminta kami, para saintis, untuk mengenal pasti kawasan tumpuan biodiversiti ini, kemudian cuba membuat perubahan di sana.”
Walaupun pasukan itu menunjukkan hasil kerja yang memberangsangkan, baru-baru ini lebih 150 ekor ikan lumba-lumba telah mati di Tasik Tefé akibat suhu air yang mencecah paras tertinggi semasa musim kemarau di Amazon. Pada bulan Oktober, Trujillo mengetuai mesyuarat deklarasi global untuk perlindungan ikan lumba-lumba sungai dan sungai berkenaan yang melibatkan 11 negara menandatangani deklarasi pertama seumpamanya yang menyatakan komitmen untuk merangka penyelesaian rentas sempadan berasaskan penyelidikan bagi melindungi ikan lumba-lumba sungai di seluruh dunia.
Mereka mahu memulihara kawasan ini kerana itulah tempat untuk anak-anak, keluarga dan komuniti mereka. Kita memerlukan penduduk tempatan untuk menyelamatkan wilayah ini.
Trujillo dan Valderrama juga telah melatih para nelayan untuk menerapkan amalan mesra ikan lumba-lumba dan membimbing pelancong untuk memerhati haiwan karismatik ini. Industri ekopelancongan penting untuk memberikan pendapatan kepada penduduk tempatan dengan cara yang tidak memudaratkan ekosistem Amazon. Mereka juga telah mengajar lebih 500 orang untuk menghitung ikan lumba-lumba, sekali gus mewujudkan legasi pemuliharaan yang berkekalan merentas kawasan yang mereka lawati. “Mereka mahu memulihara kawasan ini kerana itulah tempat untuk anak-anak, keluarga dan komuniti mereka,” kata Valderrama, “kita memerlukan penduduk tempatan untuk menyelamatkan wilayah ini.”
Melalui ikan lumba-lumba sungai, Trujillo dan Valderrama menunjukkan kepentingan kualiti air. Trujillo yakin bahawa paduan pengetahuan peribumi dan saintifik akan membawa perubahan kepada pemuliharaan di lembangan sungai: “Saya rasa kita akan mencapai sesuatu yang penting menerusi Ekspedisi Amazon Planet Abadi.”