Matlamat utama projek ini adalah untuk memperoleh perlindungan bagi Ngarai Caprera supaya pemuliharaan pelbagai spesies yang mencari makan di situ dapat dilaksanakan.
Pintasan
Diterbitkan pada
Melalui Inisiatif Planet Abadi, Rolex menyokong Yayasan One Ocean yang meninjau ikan paus dan haiwan lain yang hidup subur di perairan Ngarai Caprera di Mediterranean untuk melindungi haiwan ini dengan lebih baik.
Setiap bulan, ahli biologi marin Yayasan One Ocean, Ginevra Boldrocchi, keluar ke laut Mediterranean. Di sana, beliau kerap melihat ikan paus sperma, pemangsa terbesar yang masih wujud di planet ini, dan ikan paus sirip – haiwan kedua terpanjang di dunia selepas ikan paus biru dan lain-lain. Lebih menarik lagi, baru-baru ini terdapat juga penampakan anjing laut sami Mediterranean yang terancam.
Oasis biodiversiti ini ialah Ngarai Caprera, sebuah lembah dalam air yang terletak di antara pantai timur Sardinia dengan pantai barat tanah besar Itali. Walaupun ngarai itu sendiri tidak kelihatan di permukaan, ekosistem yang disokong sungguh menakjubkan, namun tetap terjejas akibat kegiatan manusia.
Boldrocchi bekerjasama dengan Yayasan One Ocean untuk mengetahui lebih lanjut tentang haiwan di ngarai dan ancaman yang dihadapi. Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, yayasan itu berhasrat untuk mendapatkan perlindungan bagi kawasan ini dan hidupan liar di situ.
Ngarai bawah laut seperti Caprera penting untuk ekosistem lautan. Arus laut dalam yang mengalir di sepanjang dinding ngarai memaksa air yang kaya dengan nutrien dari dasar laut naik ke permukaan. Nutrien ini menyokong ekosistem yang mungkin tidak akan wujud tanpa nutrien tersebut. Nutrien ini membolehkan alga fotosintetik dan plankton tumbuh, yang seterusnya menarik haiwan pemakan plankton. Hasilnya, ngarai bawah laut mengandungi “kepelbagaian biodiversiti yang sangat tinggi”, kata Boldrocchi, yang sedang menjalankan penyelidikan di Universiti Insubria di Como, Itali.
Kerja yang dijalankan oleh Yayasan One Ocean melengkapi tinjauan bot biasa yang telah dijalankan di kawasan ini sejak tahun 2011. Mereka bergerak di sepanjang garis lurus yang dipanggil rentasan dan memerhatikan mamalia laut seperti ikan paus dan ikan lumba-lumba. Data selama lebih sedekad menunjukkan rentasan itu merupakan rumah kepada pelbagai spesies nadir. “Ada tujuh daripada lapan spesies setasea yang biasanya kami lihat di Laut Mediterranean,” katanya. “Anda boleh menemukan kesemuanya di kawasan yang agak kecil.”
Usaha sama ini telah dipertingkatkan susulan pelancaran Yayasan One Ocean pada tahun 2018. Misi yayasan ini adalah untuk “menyegerakan penyelesaian isu lautan” dan terlibat dalam kerja mempromosikan ekonomi biru yang mampan, aktiviti pendidikan dan penyelidikan alam sekitar. Boldrocchi bertanggungjawab untuk menyelaraskan semua usaha penyelidikan saintifik yayasan tersebut.
Ada tujuh daripada lapan spesies setasea yang biasanya kami lihat di Laut Mediterranean. Anda boleh menemukan kesemuanya di kawasan yang agak kecil.
Matlamat utama projek ini adalah untuk memperoleh perlindungan bagi Ngarai Caprera supaya pemuliharaan pelbagai spesies yang mencari makan di situ dapat dilaksanakan. Satu daripada penyelesaian yang boleh dilakukan ialah, Pasukan Petugas Kawasan Perlindungan Mamalia Marin – sebuah badan antarabangsa yang diwujudkan oleh Kesatuan Pemuliharaan Alam Semula Jadi Antarabangsa (IUCN) dan institusi lain – perlu mewartakan ngarai itu sebagai Kawasan Mamalia Marin Penting (IMMA). IMMA ini sering disertakan dalam Kawasan Perlindungan Marin (MPA) yang baharu, yang aktiviti seperti penangkapan ikan dikawal ketat atau tidak dibenarkan sama sekali.
Walau bagaimanapun, untuk mencapai matlamat ini, ekosistem ngarai tersebut mestilah dikaji dengan lebih lanjut.
Matlamat utama projek ini adalah untuk memperoleh perlindungan bagi Ngarai Caprera supaya pemuliharaan pelbagai spesies yang mencari makan di situ dapat dilaksanakan.
Terdapat beberapa ancaman terhadap ekosistem yang mahu difahami dengan lebih jelas oleh pasukan Yayasan One Ocean. Oleh sebab terlalu dekat dengan Sardinia, Ngarai Caprera berada dalam lingkungan bot nelayan, maka setasea boleh tertangkap secara tidak sengaja. Bot besar seperti feri juga kadangkala terlanggar haiwan, lalu mencederakan mereka. Satu lagi ancaman ialah tahap bahan pencemar kimia yang tinggi di perairan Mediterranean.
Cabaran yang dihadapi ialah usaha memahami spesies yang memanfaatkan ngarai itu dan mekanisme yang terlibat dengan tepat. Contohnya, jika haiwan kebanyakannya memanfaatkan kawasan ini pada masa-masa tertentu dalam setahun, maka pengehadan aktiviti penangkapan ikan mungkin boleh dilaksanakan hanya pada bulan-bulan tersebut. Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas, yayasan itu telah mengadakan lawatan setiap bulan selama satu setengah tahun yang lalu, yang melengkapi tinjauan visual dengan hidrofon dan teknik DNA persekitaran (eDNA).
Hidrofon ialah mikrofon dalam air yang dapat merakam bunyi seperti vokalisasi ikan paus. Berbilang hidrofon diturunkan ke dalam air dan dihalakan ke arah yang berbeza. Hidrofon bukan sahaja dapat menentukan spesies, malah bilangan individu dan anggaran kedudukan mereka. Pasukan ini juga sedang menjalankan eksperimen sensor akustik 3D yang diletakkan di tiga titik strategik untuk memantau kehadiran pelbagai spesies. Ditambat kira-kira 200 m di atas dasar laut, prob ini mengambil rakaman secara berterusan selama tiga bulan pada satu-satu masa untuk melanjutkan penyelidikan tentang setasea yang datang ke perairan dalam di ngarai tersebut.
Rakaman audio penting kerana banyak setasea menyelam untuk jangka masa yang lama. Boldrocchi mengimbas kembali satu masa apabila tiada apa-apa yang dapat dilihat di permukaan, “seekor burung laut pun tiada”. Namun hidrofon telah menangkap kehadiran ikan paus sperma berpuluh-puluh meter di bawah permukaan.
Sementara itu, eDNA membolehkan pasukan itu mengesan haiwan yang berada di kawasan itu baru-baru ini, walaupun mereka telah beredar. Hal ini kerana haiwan meninggalkan kesan DNA di dalam air, contohnya sel kulit mati. Bergantung pada keadaan, eDNA mampu bertahan selama berjam-jam atau bahkan berhari-hari. Pasukan itu mengambil sampel air laut dan menjalankan ujian untuk melihat DNA yang hadir. Penggunaan eDNA telah mengesan jejak ikan paus paruh Cuvier, spesies yang dianggap sebagai kurang data oleh IUCN di Mediterranean, dan sukar dikesan secara visual kerana gemar menyelam di laut dalam.
Penyelidikan pemuliharaan boleh memberikan kesan yang besar kepada biodiversiti, jelas Boldrocchi. Anjing laut sami Mediterranean hampir pupus beberapa tahun yang lalu, tetapi populasinya kian meningkat susulan usaha yang dijalankan merentasi Mediterranean. “Kami nampak anjing laut sami di selatan Itali berkali-kali,” katanya tentang mamalia marin yang telah ditemukan DNA di Ngarai Caprera. Menurut Boldrocchi, dalam beberapa dekad akan datang, orang yang berenang di Mediterranean mungkin kerap melihat anjing laut sami. “Memang sukar untuk dipercayai, tetapi jika kita meneruskan usaha ini, anjing laut sami bakal kembali.”
Sokongan yang diberikan oleh Rolex melalui Inisiatif Planet Abadi yang dilancarkan pada tahun 2019 adalah penting untuk membolehkan projek Yayasan One Ocean ini menjalankan penyelidikan meluas di Ngarai Caprera. Selama hampir 100 tahun, jenama ini telah menyokong peneroka perintis yang mengatasi batasan manusia dan, pada abad ke-21, telah beralih daripada memperjuangkan penerokaan demi penemuan kepada usaha melindungi planet ini.