Ini bukan sekadar usaha melindungi atau memulihkan lautan. Ini soal manusia. Pemuliharaan lautan perlu menjadi gaya hidup baharu.
Pintasan
Coral Gardeners
Diterbitkan pada
Para pejuang lautan, Titouan Bernicot dan Sylvia Earle, bertemu di Thailand untuk meraikan pelancaran cawangan terbaharu Coral Gardeners. Setelah menyaksikan dedikasi pasukan untuk memulihkan terumbu yang subur, Earle percaya lokasi ini boleh menjadi Kawasan Harapan Misi Biru.
Pulau-pulau kecil Koh Kood dan Koh Mak di timur Teluk Thailand dipenuhi pokok getah dan pokok kelapa yang dikelilingi pasir keemasan. Di sebalik pesisir pantai yang indah terletak beberapa ekosistem biodiversiti yang paling kaya di dunia – terumbu karang. Beribu-ribu spesies boleh ditemukan berenang di perairan yang jernih bersama penyelam pelawat, yang datang untuk menyaksikan hidupan marin kaleidoskopik. Inilah yang cuba diselamatkan oleh Titouan Bernicot, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Coral Gardeners, dengan cawangan terbaru organisasinya di Thailand. Ini merupakan satu peristiwa penting dalam misinya untuk memulihkan terumbu karang dunia yang amat terancam oleh peningkatan suhu lautan.
Kehadiran ahli oseanografi legenda dan Testimoni Rolex, Sylvia Earle, menyaksikan pasukan Thailand melakukan penanaman pertama karang pada terumbu yang terjejas merupakan detik istimewa bagi Bernicot. Ahli pemuliharaan lautan itu telah membangunkan organisasi tersebut dari biliknya ketika remaja di sebuah atol kecil di Polinesia Perancis sehingga meraih pengiktirafan antarabangsa dengan bimbingan dan ilham daripada Earle sebagai mentor penting sepanjang perjalanannya. Kini, beliau menjadi sumber harapan dan dorongan kepada pasukan Bernicot di cawangan ketiga Coral Gardeners. Mereka menyelam bersama untuk meninjau tapak semaian bawah air sebelum memulakan penanaman karang pertama di cawangan tersebut. Saat itu menjadi ruang buat “anak laut” Bernicot berkongsi dan bertukar ilmu tentang pemulihan ekosistem bersama “rakan laut”.
Lautan sentiasa menjadi tempat Bernicot bermain. Kini, laut juga menjadi “bos” hidupnya ketika beliau memperjuangkan kelangsungan terumbu karang. Dengan jaringan saintis marin dan peneroka antarabangsa serta sokongan Rolex melalui Inisiatif Planet Abadi, Bernicot membina sebuah organisasi yang mampu menumbuhkan lebih 25,000 karang setiap tahun. Coral Gardeners mempunyai 82 struktur tapak semaian laut serta sebuah tapak semaian darat yang pertama di Thailand. “Anda perlukan orang yang sehaluan dari segi minat, visi dan matlamat,” kata Bernicot. Berbekalkan semangat itu, dalam dua tahun sahaja mereka berkembang daripada cawangan kedua di Fiji hinggalah Asia Tenggara.
Terumbu karang Thailand begitu kaya dengan biodiversiti tetapi berdepan ancaman serius untuk lenyap selama-lamanya. Para saintis memberikan amaran bahawa dunia mungkin telah tiba pada titik perubahan ekologi pertama apabila pemanasan laut mencetuskan pelunturan terumbu yang teruk hingga karang tidak lagi mampu pulih. Kira-kira separuh terumbu karang dunia kini sudah mati atau semakin merosot. Teluk Thailand adalah antara kawasan paling terjejas. “Misi kami di Coral Gardeners Thailand semakin relevan,” kata Bernicot.
Selepas melihat keindahan terumbu di pulau-pulau terpencil Thailand, Earle percaya kawasan itu berpotensi menjadi Kawasan Harapan Misi Biru pada masa depan, sependapat dengan Bernicot. “Kawasan Harapan pertama di Thailand akan membawa makna besar,” katanya.
Ini bukan sekadar usaha melindungi atau memulihkan lautan. Ini soal manusia. Pemuliharaan lautan perlu menjadi gaya hidup baharu.
Misi Biru yang diasaskan oleh Earle pada 2009 merupakan inisiatif pemuliharaan lautan yang merangkumi 115 negara dengan 168 Kawasan Harapan, iaitu kawasan ekologi penting untuk melindungi spesies marin. “Untuk memastikan terumbu karang kekal sihat, pemulihan bergantung pada lautan yang sihat dengan semua elemen yang masih wujud di situ,” kata Earle. Hanya 8 peratus lautan kini dilindungi, dan organisasi itu terus memperjuangkan peluasan kawasan perlindungan. Bagi Earle, cabaran terbesar adalah menyedarkan orang ramai tentang sebab isu ini perlu diberi perhatian. Misi ini turut dikongsi bersama Bernicot di Coral Gardeners. “Ini bukan sekadar usaha melindungi atau memulihkan lautan. Ini soal manusia. Pemuliharaan lautan perlu menjadi gaya hidup baharu,” jelasnya. “Usaha menyelamatkan planet perlu menjadi sesuatu yang menarik, bermakna dan menyeronokkan.”
Bernicot yakin masih ada peluang untuk memulihkan dan menyelamatkan terumbu karang dengan mengambil tindakan. “Saya percaya masih ada harapan buat karang,” katanya. Karang ialah organisma yang kompleks dan rapuh, manakala ekosistem yang dibentuk oleh karang amat penting untuk menyokong hidupan marin.
Di cawangan Thailand, “pekebun” tempatan membantu untuk memulihkan terumbu sambil memantau ribuan karang yang ditanam dan dipindahkan. “Mereka sangat bersemangat dan komited terhadap misi ini,” kata Bernicot dengan penuh kagum.
Untuk memastikan terumbu karang kekal sihat, pemulihan amat bergantung pada lautan yang sihat dengan semua elemen yang masih wujud di situ.
Pewartaan sebagai Kawasan Harapan Misi Biru bermakna usaha komuniti tempatan untuk memulihkan terumbu akan dipertingkatkan pada skala global. Detik ini amat bermakna buat Bernicot dalam usahanya untuk menghidupkan kembali satu daripada keajaiban alam.
“Antara perkara terpenting yang dilakukan oleh Coral Gardeners, Misi Biru dan Rolex adalah meraikan hubungan manusia dengan alam sambil menegaskan tanggungjawab menjaga jaringan ekosistem yang menjadi asas kepada kehidupan manusia”, kata Earl.