Pintasan
Di Bawah Kutub
Diterbitkan pada
Menerusi sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, program penjelajahan bawah air Di Bawah Kutub telah meneroka perairan berais Lautan Artik untuk mengkaji dan meningkatkan kesedaran tentang ekosistem yang kaya tetapi kurang dikenali yang dipanggil hutan haiwan marin.
Semua episod
Ekspedisi Svalbard: Episod 1 – 2023
Ekspedisi Svalbard: Episod 2 – 2023
Ekspedisi Svalbard: Episod 3 – 2023
Tersembunyi di bawah permukaan lautan, terdapat hutan yang terbentuk daripada haiwan.
Antara 30 ke 200 meter di bawah permukaan air, di zon mesofotik, lautan kurang bercahaya tetapi tidaklah gelap-gelita. Organisma seperti alga yang bergantung pada cahaya matahari tidak dapat hidup dalam dunia yang suram ini. Sebaliknya, ekosistem ini dikuasai oleh haiwan seperti karang, gorgonia (karang lembut) dan bunga karang yang melekat pada batu. Keadaan dalam hutan ini lebih stabil daripada di perairan terbuka.
“Hutan di dasar laut ini benar-benar sama seperti hutan yang terdapat di daratan,” kata Ghislain Bardout, Pengarah Bersama Di Bawah Kutub. Struktur tiga dimensinya menaungi pelbagai hidupan.” Namun, tidak seperti hutan di daratan, banyak hutan bawah laut masih belum diterokai.
Bardout mengetuai sekumpulan penyelam dan saintis meneroka perairan sejuk berhampiran kepulauan Svalbard di luar pesisir utara Norway, iaitu sebuah landskap putih yang terbentang luas dengan ais laut hingga ufuk. Sepanjang hidupnya, beliau sentiasa terpesona akan keindahan Artik. “Saya masih ingat lagi betapa kagumnya saya melihat hamparan putih yang saujana ini, dengan ais yang terbentang sejauh mata memandang,” katanya.
Matlamat Di Bawah Kutub di Svalbard adalah untuk menemukan dan mengkaji hutan haiwan marin serta memperkenalkan ekosistem yang kaya dengan biodiversiti tetapi masih kurang dikenali dan rapuh ini.
Pasukan ini mula mengkaji peta dengan teliti untuk menemukan kawasan yang berpotensi menjadi habitat yang kaya dengan hidupan laut. Antara petunjuk penting ialah kewujudan arus kuat yang membawa nutrien dan menyokong kelangsungan hutan haiwan marin. Mereka memilih beberapa lokasi di sekitar Spitsbergen, iaitu pulau terbesar di Svalbard. Ekspedisi ini melibatkan pelayaran di antara ais laut yang terapung dalam suhu yang kerap turun hingga -30° C. “Kesilapan tidak boleh berlaku,” kata Emmanuelle Périé-Bardout, Pengarah Bersama Di Bawah Kutub.
Untuk menemukan hutan haiwan marin, anggota pasukan menyelam ke perairan Lautan Artik berulang kali. Bardout mengakui bahawa usaha ini penuh dengan cabaran: Kesejukan di sini memeritkan, merosakkan peralatan dan melemahkan pasukan.” Mereka juga menyelam jauh melebihi kedalaman 30 meter yang lazim bagi penyelam rekreasi. Untuk tujuan ini, mereka menggunakan alat penafas semula khas yang mengitar semula oksigen daripada udara yang dihembus keluar untuk melanjutkan tempoh bekalan udara mereka.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, penyelaman di Artik ada keajaiban tersendiri, khususnya pada musim dingin. “Kami bermula dalam dunia serba putih, kelabu dan sesekali biru, sebelum memasuki dunia ais yang begitu asing dan belum pernah disaksikan oleh mata manusia,” kenang Bardout mengenai ekspedisi pertamanya di kutub.
Biodiversiti di Artik merupakan antara yang paling terancam di bumi akibat keadaan yang berubah dengan pantas. Walaupun pengeluaran gas rumah hijau telah menyebabkan pemanasan di seluruh dunia, Artik mengalami peningkatan suhu yang lebih pantas berbanding dengan kawasan lain. Ais laut terapung yang meliputi sebahagian besar Lautan Artik telah menyusut separuh dalam tempoh 40 tahun yang lalu.
Penemuan hutan haiwan Artik pertama dalam air merupakan detik yang amat mengujakan.
Bagi hidupan yang bergantung pada perairan di bawah ais laut, perubahan ini boleh memberikan kesan yang besar. Dengan memaparkan ekosistem Lautan Artik, Bardout dan pasukannya berharap dapat meningkatkan kesedaran tentang ancaman yang dihadapi serta menemukan jalan untuk melindungi ekosistem tersebut.
Mujurlah Di Bawah Kutub berpengalaman luas dalam pelayaran dan penyelaman di Artik. “Di sinilah, 15 tahun yang lalu, saya belajar cara mengharungi kawasan kutub,” ujar Périé-Bardout.
Pengalaman itu amat bernilai kerana Artik ialah persekitaran yang penuh pancaroba. “Tiada yang mudah di sini,” kata Périé-Bardout. Pelayaran mencabar, pembaikan sukar dilakukan dan keadaan angin serta ais perlu diramalkan setiap masa.”
Dalam beberapa selaman pertama, pasukan ini sering kali pulang tanpa hasil. Pada selaman terakhir, mereka menemukan hutan haiwan marin pertama yang dikenal pasti di Artik. Hutan ini dihuni oleh hidroid, sejenis haiwan yang berkait rapat dengan obor-obor dan karang. Hidroid ini dikenali secara saintifik sebagai Hydrozoa dan menjalani sebahagian daripada kitar hidup dengan melekat pada dasar laut serta menyerupai loceng, bunga dan pakis.
“Penemuan hutan haiwan Artik pertama dalam air merupakan detik yang amat mengujakan,” kata Périé-Bardout. Dalam beberapa selaman, pasukan ini merekodkan pelbagai spesies yang menghuni hutan tersebut. Mereka turut mengumpulkan data persekitaran seperti suhu untuk memahami keadaan yang menyokong pembentukan hutan sebegini.
Namun, ini hanyalah permulaan. “Kami akan dapat kembali untuk melihat perkembangan ekosistem ini”, kata Périé-Bardout. “Gambaran awal ini amat bernilai untuk dunia sains bagi mencerap perubahan dalam ekosistem bawah laut.”
Sementara pasukan ini meneruskan penerokaan di perairan lain yang beriklim sederhana dan tropika, hasil kajian Svalbard akan diterbitkan untuk membantu perangkaan rancangan pemuliharaan dan pengurusan masa hadapan bagi kawasan tersebut. Ekspedisi ini melibatkan 13 institusi akademik dari Perancis, Norway, Sepanyol, Itali, Belgium dan Brazil. “Pengetahuan yang kami peroleh bersama para saintis amat penting untuk membuahkan harapan dan membuka peluang untuk mengubah sikap manusia.” ujar Bardout.
Pengetahuan yang kami peroleh bersama para saintis amat penting untuk membuahkan harapan dan membuka peluang untuk mengubah sikap manusia.
Program DEEPLIFE akan diteruskan sepanjang dekad ini dengan visi Périé-Bardout untuk melihat dunia yang “berjaya menyingkap ruang dan hutan yang tersembunyi ini serta memastikan usaha perlindungan.” Tambahnya lagi: “Itulah pencapaian terbesar yang saya harapkan.”
Ekspedisi Svalbard ialah ekspedisi pertama dalam program baharu Di Bawah Kutub, DEEPLIFE 2021–2030 yang mendapat sokongan daripada Inisiatif Planet Abadi Rolex. Program ini bertujuan untuk meneroka hutan haiwan marin di seluruh lautan dunia.
Di Bawah Kutub adalah antara perkongsian yang disokong oleh Inisiatif Planet Abadi yang menyatukan individu dan organisasi dalam usaha melindungi dan menjaga bumi melalui penerokaan saintifik.