Pintasan
Diterbitkan pada
Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Planet Abadi, Anugerah Rolex untuk Perusahaan menyokong individu luar biasa yang memiliki keberanian dan iltizam untuk menyahut cabaran besar serta menerajui projek istimewa yang membawa perubahan bermakna kepada dunia.
Semua episod
Episod 1 – 2024
Episod 2 – 2024
Episod 3 – 2024
Usahawan Kenya, Beth Koigi, menggunakan satu teknologi yang menangani antara masalah yang paling meruncing dan rumit di dunia: kekurangan air. Penjana air atmosfera (AWG) ciptaannya menarik, menapis dan memineralkan air daripada udara, semuanya dalam satu unit, yang dikuasakan oleh tenaga suria. Syarikatnya, Majik Water, sedang memasang mesin di kawasan tandus dan separa tandus untuk menyediakan sumber penting ini kepada mereka yang amat memerlukan.
Dibesarkan di Limuru, Kenya yang subur, Koigi dikelilingi air tawar yang banyak. Selepas meninggalkan kampung halaman untuk ke universiti, beliau terkejut apabila menyedari banyak kawasan yang tandus di negara itu, dan rakyatnya sukar mendapatkan air. Beliau mereka bentuk sistem penapisan air yang mudah dan berpatutan, kemudian mula mengembara serta menjual alat ini di sekitar Kenya. Namun begitu, beliau kemudian mendapati bahawa penapis air buatannya tidak mampu menyelesaikan masalah itu sepenuhnya kerana lebih daripada 50 peratus penduduk di negara Afrika Timur itu tidak mempunyai akses kepada air minuman bersih.
Pada 2017, Koigi berganding bahu dengan saintis alam sekitar dari Kanada, Anastasia Kaschenko, dan ahli ekonomi Universiti Oxford, Clare Sewell, untuk menubuhkan Majik Water, sebuah perusahaan sosial yang memasang AWG untuk komuniti luar bandar. Kini Majik Water mengendalikan 20 mesin berkapasiti tinggi dan 10 mesin berskala kecil yang menghasilkan lebih 200,000 liter air setiap bulan.
Kandungan air dalam atmosfera dianggarkan enam kali ganda lebih banyak daripada jumlah air di semua sungai di bumi, maka AWG ciptaan Koigi memanfaatkan sumber semula jadi ini. Kipas menarik udara masuk, kemudian melintasi permukaan yang sejuk. Seperti titisan air pada gelas air limau pada hari yang panas, titisan air terkondensasi pada permukaan tersebut. Kemudian, air ditapis sebelum diperkaya dengan mineral penting seperti kalsium dan magnesium agar dapat diminum.
Udara sentiasa mengandungi tahap kelembapan tertentu.
Walaupun teknologi ini berfungsi dengan baik dalam keadaan kelembapan tinggi, Majik Water membawa mesin ke kawasan separa tandus dan tandus, iaitu lokasi yang paling memerlukan air. Menurut Koigi, “udara sentiasa mengandungi tahap kelembapan tertentu.” Pada tahap kelembapan serendah 30 peratus, AWG masih mampu mengumpulkan air yang mencukupi untuk diminum.
Koigi kini mengorak langkah untuk memperkenalkan “kios air” di Kem Pelarian Kakuma dan Petempatan Bersepadu Kalobeyei, dua petempatan pelarian di wilayah Turkana yang amat tandus di utara Kenya. Majik Water telah melengkapkan seorang peniaga tempatan dengan AWG pertama supaya air yang dihasilkan boleh dijual pada harga berpatutan. Perusahaan rintis ini turut bekerjasama dengan ladang solar bagi membekalkan tenaga kepada mesin tersebut, selain melatih dua juruelektrik dalam penyelenggaraan asas. Melalui model ini, setiap AWG mampu menampung kos operasi masing-masing sambil membekalkan air minuman bersih kepada 50 isi rumah setiap hari.
Koigi berhasrat untuk membina komuniti yang berdikari serta lebih berdaya tahan bagi menghadapi pemanasan iklim. Beliau sedar bahawa penyelesaian perlu dilaksanakan setelah menyaksikan aliran air yang subur di kampung halamannya mengering akibat kemarau baru-baru ini. Usaha membina masa hadapan yang membolehkan manusia menyesuaikan diri dengan perubahan menjadi teras perjuangannya kerana akses kepada air bersih amatlah penting.