Kini lebih setengah bilion orang mengalami masalah penglihatan dan boleh dibantu dengan sepasang cermin mata ringkas.
Pintasan
Diterbitkan pada
Pakar oftalmologi dan Pemenang Anugerah Rolex, Andrew Bastawrous, mengasaskan Peek Vision untuk membawakan penjagaan mata kepada komuniti terpencil melalui teknologi telefon pintar dan alat kesihatan awam. Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, perusahaan sosialnya telah membolehkan berjuta-juta orang mengakses ujian mata yang sedia ada di negara maju.
Semua video
2025
2021
2016
Baru-baru ini, Peek Vision yang ditubuhkan oleh Andrew Bastawrous ini telah meraikan peristiwa penting: Seramai 10 juta orang telah menjalani saringan penglihatan di 12 negara. Setiap hari, di seluruh dunia, beribu-ribu penyedia penjagaan kesihatan melawat komuniti setempat dan melakukan ujian mata berasaskan aplikasi khas. Pencapaian luar biasa ini bermula dengan cita-cita yang mudah: untuk memberikan ujian kepada orang yang tidak dapat menjalani ujian tersebut. Inisiatif Planet Abadi Rolex telah menyokong usaha Bastawrous untuk mengubah matlamatnya menjadi kenyataan.
Selepas berkhidmat sebagai pakar bedah mata di Perkhidmatan Kesihatan Negara (NHS) United Kingdom, Bastawrous mengharungi titik perubahan dalam kerjayanya. Daripada menjadi perunding, beliau menyedari misinya adalah untuk membawa penjagaan mata asas ke kawasan terpencil. “Kini lebih setengah bilion orang mengalami masalah penglihatan dan boleh dibantu dengan sepasang cermin mata ringkas,” kata Bastawrous. Dalam rangka pengajian PhD di London School of Hygiene and Tropical Medicine, beliau berhijrah ke Kenya bersama keluarganya untuk membangunkan 100 klinik mata sementara. Walaupun berjaya, model pendekatan ini ternyata belum mencukupi. Untuk memberikan impak sebenar, Bastawrous sedar bahawa pakar perlu pergi ke tempat orang ramai berada, bukan sebaliknya. “Perkhidmatan yang dibawa terus ke rumah mereka boleh membawa perubahan besar,” katanya.
Kini lebih setengah bilion orang mengalami masalah penglihatan dan boleh dibantu dengan sepasang cermin mata ringkas.
Daripada kesedaran itu, lahirlah Peek Vision. Namun, perjalanan masih dirintangi pelbagai cabaran. Oleh sebab akses jalan dan perkhidmatan perubatan yang terhad, ujian mata perlu dijalankan oleh bukan pakar, mudah dihasilkan secara besar-besaran dan memerlukan sumber tambahan yang sangat sedikit. Ketika berada di Kenya, Bastawrous mendapati bahawa satu perkara yang semakin meluas ialah liputan Internet yang baik serta akses kepada telefon pintar. Peek Vision mula membangunkan teknologi berasaskan telefon mudah alih untuk mengenal pasti masalah penglihatan serta perisian yang menghubungkan orang ramai dengan perkhidmatan kesihatan dan memantau proses rawatan mereka.
Syarikat itu berkembang pesat dan dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, Bastawrous bersama pasukannya memperluas operasi dari Kenya ke beberapa lokasi di seluruh Afrika. Menjelang 2019, jumlah saringan meningkat kepada 64,000 orang setahun.
“Saya pernah berkata: Kita sepatutnya mencapai jumlah itu bukan setiap tahun, tetapi setiap minggu,” kata Bastawrous, Pemenang Anugerah Rolex 2016. Seiring dengan usaha memperkukuh dan mengembangkan Peek Vision secara berterusan, beliau dan pasukannya menyaksikan penggunaan perkhidmatan mereka melonjak di Asia. Di India, Peek Vision bekerjasama dengan Dr Shroff’s Charity Eye Hospital yang diiktiraf pada peringkat global atas kepakaran penjagaan mata. Ditubuhkan pada 1922 dengan matlamat membasmi kebutaan yang boleh dielakkan dalam semua lapisan masyarakat, institusi ini merupakan antara yang tertua dan terbesar di India. Kerjasama Peek Vision dengan hospital itu merangkumi pelbagai program penjagaan mata berskala besar di utara India melalui tiga projek penyelidikan dan pembangunan yang memanfaatkan perisian canggih serta alat kesihatan awam. Bastawrous berkata: “Ketika ini, hingga 120,000 orang disaring setiap minggu melalui lebih 80 program di 12 negara.”
Cita-cita Bastawrous kian membara. “Perkara yang mungkin dicapai kini perlu dibawa ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. “Itulah fokus saya sekarang. Pencapaian setakat ini ialah satu permulaan yang baik tetapi itu hanyalah permulaan.” Peek Vision merancang untuk menjangkau jutaan lagi orang yang mempunyai masalah penglihatan yang boleh dirawat tetapi mungkin tidak sedar yang mereka sebenarnya boleh dibantu dengan penjagaan asas.
Rupa-rupanya, masih ramai orang tidak sedar bahawa mereka memerlukan cermin mata dan Bastawrous sendiri pernah mengalaminya. Beliau menghadapi kesulitan di sekolah dan dilabel sebagai cemerkap, hinggalah satu ujian mata pada usia 12 tahun mengubah hidupnya. Sebelum itu, beliau tidak tahu bahawa penglihatannya bermasalah. Hanya dengan sepasang cermin mata, hidupnya berubah. Pandangan papan putih yang dahulu kabur kini jelas, membolehkan beliau kembali mengikuti pelajaran bersama rakan sekelasnya. Pada tahun yang sama, Bastawrous pulang ke Mesir bersama keluarganya dan menyedari bahawa ramai kanak-kanak rabun tidak menerima ujian atau rawatan sepertimana dirinya. Bastawrous menyedari ketidakadilan apabila akses kepada penjagaan mata bergantung pada tempat seseorang dilahirkan atau menetap, dan keinginan untuk membetulkan keadaan itu tersemat hingga hari ini.
Dua pengajaran awal ini terus menjadi pendorong usahanya. Ketika lawatan terkini ke utara India, beliau bertemu seorang remaja lelaki berusia 14 tahun bernama Prem. Sama seperti Bastawrous, dia mengalami kesukaran dalam pelajaran akibat masalah penglihatan yang tidak dirawat. Akhirnya, Prem terpaksa berhenti sekolah. Namun, selepas mendapatkan cermin mata melalui program saringan Kesihatan Mata Komuniti kelolaan Peek Vision, beliau kembali ke sekolah dan mula bermain sukan kegemarannya semula, iaitu kriket.
Perkara yang mungkin dicapai kini perlu dibawa ke tahap yang lebih tinggi.
Inisiatif Planet Abadi Rolex menyokong Peek Vision untuk berkongsi kisah seperti Prem serta meningkatkan kesedaran tentang peranan sains dan teknologi untuk kebaikan manusia. Bastawrous yakin bahawa perjalanan untuk menjadi lebih baik tidak akan berakhir. Menurutnya, “Kita sentiasa boleh jadi lebih baik dan cabaran akan sentiasa ada, tetapi kita mampu mengatasinya.”
Di seluruh dunia, ribuan orang mula kehilangan penglihatan mereka setiap hari. Bagi Bastawrous, itu tidak bermakna lebih ramai orang harus terus hidup dengan masalah penglihatan. Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, beliau berhasrat memastikan semua orang berpeluang menerima penjagaan mata yang membolehkan mereka hidup dengan lebih sempurna tanpa mengira keadaan. Bastawrous membuktikan bahawa sepasang cermin mata ringkas mampu mengubah kehidupan manusia.