Pemuliharaan Amazon tidak mungkin terlaksana tanpa penduduk tempatan, tanpa dialog antara pengetahuan tempatan dengan sains.
Pintasan
Diterbitkan pada
Hampir 30 tahun yang lalu, Pemenang Anugerah Rolex untuk Perusahaan, José Márcio Ayres, telah mewujudkan kawasan hutan hujan terpelihara yang terbesar di dunia. Walaupun beliau meninggal dunia pada tahun 2003, legasinya kekal di bumi Amazon.
Semua video
2024
2002
Di tengah-tengah Amazon, Brazil, terletak hamparan hutan hujan terlindung yang lebih besar daripada Costa Rica, kanopi asli yang luas yang penuh dengan hidupan: Rizab Pembangunan Mampan Mamirauá. Ini ialah satu kejayaan besar bukan sahaja kerana keluasan, malah kerana pendekatan baharu dalam pemuliharaan. Rizab ini ialah cetusan idea ahli primatologi Brazil, ahli pemuliharaan dan Pemenang Anugerah Rolex, José Márcio Ayres.
Beliau mula-mula tertarik kepada kawasan itu setelah melihat monyet uakari botak, seekor primat berwajah merah terang yang populasinya telah berkurangan akibat pembasmian hutan dan pertanian. Di sana, Ayres merangka pendekatan baharu pemuliharaan yang mengutamakan kesejahteraan penduduk tempatan sama seperti hidupan liar yang hidup bersama dengan mereka. Visi beliau adalah untuk membolehkan penduduk tempatan menjadi penjaga hutan. Daripada cuba menghalau mereka dari kawasan itu, beliau memberi mereka sumber pendapatan lain, dengan menjadi pengurus rizab.
Rizab Mamirauá yang ditubuhkan pada tahun 1996 telah meningkatkan mata pencarian 12,500 orang yang tinggal di kawasan itu. Pengurus rizab menerapkan usul mesyuarat komuniti dalam ekspedisi mereka untuk mengekalkan dan mengembangkan usaha kemampanan. “Pemuliharaan Amazon tidak mungkin terlaksana tanpa penduduk tempatan, tanpa dialog antara pengetahuan tempatan dengan sains,” kata Emiliano Esterci Ramalho, Pengarah Saintifik Institut Mamirauá. Ayres mengasaskan institut ini pada tahun 1999 untuk menyokong pengurusan rizab Mamirauá dan Amanã melalui penyelidikan, pembangunan dan pendidikan dalam bidang seperti pertanian dan perhutanan mampan, serta perlindungan dan pemantauan alam sekitar.
Pada tahun 2002, Ayres memenangi Anugerah Rolex sebagai pengiktirafan atas kerjanya di Mamirauá, yang membolehkan beliau mengembangkan projek itu ke Rizab Amanã yang bersebelahan, sekali gus mewujudkan kawasan perlindungan hutan hujan terbesar di dunia pada masa itu. Malangnya, beliau meninggal dunia setahun selepas pencapaian penting itu. Walau bagaimanapun, usahanya untuk mewujudkan syurga dunia diteruskan oleh orang yang berkongsi semangat yang sama.
Pemuliharaan Amazon tidak mungkin terlaksana tanpa penduduk tempatan, tanpa dialog antara pengetahuan tempatan dengan sains.
Kini, Rizab Mamirauá diiktiraf oleh Konvensyen Ramsar antarabangsa sebagai tanah lembap yang mempunyai kepentingan global dan menjadi sebahagian daripada Tapak Warisan Dunia UNESCO yang lebih besar. Model Ayres untuk pemuliharaan berasaskan komuniti begitu berjaya sehingga ditiru di seluruh dunia, termasuk di lebih 30 rizab di Amazon dan sejauh Afrika Timur.
Usaha murni Ayres telah diteruskan oleh João Valsecchi do Amaral dan Ana Rita Alves sebagai Pengarah Eksekutif rizab itu, serta pasukan saintifik di Institut Mamirauá. Sebelum menjadi Pengarah Saintifik organisasi itu, Ramalho merupakan seorang pelatih yang mengkaji arapaima di tasik-tasik Mamirauá. Beliau hanya bertemu Ayres sebentar, tetapi galakan ahli pemuliharaan itu untuk kembali ke Mamirauá bagi mengkaji jaguar telah mendorong Ramalho menghabiskan 20 tahun berikutnya untuk tinggal dan bekerja di rizab pembangunan mampan bagi memahami dan melindungi haiwan yang disayanginya.
Semangat dan inovasi Ayres terus menarik kolaborator baharu ke Mamirauá, seperti saintis bioakustik Perancis, Michel André. Mereka berdua bertemu di Tokyo pada tahun 2002, ketika menerima Anugerah Rolex. André diiktiraf kerana mencipta peranti dalam air yang menangkap bunyi ikan paus dan memberikan amaran kepada kapal berdekatan untuk mengelakkan perlanggaran.
Sepanjang minggu yang diluangkan di ibu kota Jepun itu, André dan Ayres berhubung rapat kerana cinta mereka terhadap Amazon. André berminat terhadap komunikasi ikan lumba-lumba dan setelah mendedikasikan hidupnya untuk pemeliharaan hutan hujan, Ayres ada banyak cerita untuk dikongsi. Selepas menerima anugerah, mereka kembali kepada kerja perintis masing-masing di seluruh pelosok dunia.
Cita-cita kami adalah untuk meliputi seluruh hutan hujan Amazon di sembilan buah negara.
Sedekad kemudian, André membawa anak-anak perempuannya melihat Amazon dan ikan lumba-lumba sungai merah jambu yang ikonik. Setibanya di situ, barulah André menyedari bahawa kawasan rizab tempat mereka menginap ialah kawasan yang diasaskan oleh Ayres. André bukan sahaja kagum akan kebetulan itu, malah takjub akan biodiversiti yang luar biasa di sekelilingnya. Sebaik sahaja mendengar berita kematian Ayres, beliau berasa terpanggil untuk menyumbangkan kepakarannya. Dengan kerjasama Ramalho, beliau mula membangunkan cara menggunakan bunyi untuk memahami dan memelihara hutan hujan serta hidupan di situ.
Diinspirasikan oleh komitmen dan visi Ayres yang teguh, pasangan itu melancarkan Project Providence yang bercita-cita tinggi dan inovatif. André, Ramalho dan pasukan mereka menggunakan teknologi bioakustik terkini untuk menilai dan memantau biodiversiti serta ekosistem melalui bunyi. Maklumat yang dikumpulkan akan digunakan untuk melobi lebih banyak perlindungan dengan menunjukkan betapa mustahaknya langkah pemeliharaan sumber ini kepada penduduk tempatan dan kerajaan.
Pasukan ini telah memasang rangkaian sensor akustik, yang dikenali sebagai nod, di seluruh Rizab Mamirauá. Nod tersebut merakam bunyi merentas pelbagai panjang gelombang dan mampu menangkap bunyi sejauh beberapa kilometer. “Teknologi di sebalik Projek Providence dilahirkan di lautan, tempat kami membangunkan kapasiti ini untuk memantau persekitaran secara automatik dalam masa nyata,” jelas André. Nod menghantar bunyi ke pelayan, kemudian kecerdasan buatan digunakan pada pangkalan data untuk mengenal pasti sumber dan mengukur kelimpahan spesies yang berbeza.
Dengan menganalisis sejumlah besar data yang diekstrak, André dan Ramalho mula membina gambaran pelbagai lapisan tentang biodiversiti dan habitat di hutan hujan. Akhirnya, mereka merancang untuk mereplikakan rangkaian nod sebagai cara penyelidikan biodiversiti merentasi hutan hujan Amazon. Hampir 100 nod telah dipasang dari Andes ke Lautan Atlantik. “Kami akan ke Bolivia, Peru, Ecuador, menyusuri Sungai Amazon,” jelas André, “cita-cita kami adalah untuk meliputi seluruh hutan hujan Amazon di sembilan negara.” Jika mereka mencapai kejayaan ini, yang dibina berteraskan usaha gigih Ayres, cerapan baharu tentang hidupan liar Amazon dapat diperoleh dan mungkin melahirkan cara untuk menambah baik kaedah perlindungan.