Ada data yang boleh dikumpulkan dari angkasa tetapi ada maklumat tertentu yang hanya boleh diperoleh apabila berada di lapangan.
Pintasan
Diterbitkan pada
Wanita pertama yang menaiki ski secara solo merentasi Antartika, Felicity Aston, telah mengabdikan hidupnya untuk penerokaan dan pemeliharaan kutub. Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, cabaran ekspedisi Artik terbaru beliau telah membuahkan hasil yang tidak dijangka.
Pada tahun 2000, sejurus selepas menamatkan pengajian universiti, Felicity Aston yang masih muda mengembara ke Antartika untuk bekerja dengan British Antarctic Survey sebagai ahli meteorologi. Beliau tinggal di sana selama dua tahun setengah berikutnya bagi merekodkan data tentang iklim rantau itu lalu jatuh cinta akan keajaiban landskap tersebut. Beberapa bulan selepas itu, beliau dihantar ke ekspedisi solo pertamanya di luar pangkalan dan begitu terpesona akan pemandangan yang tidak pernah dikunjungi oleh manusia. Beliau nekad mahu memahami dan melindungi kawasan kutub.
Detik itu menjadi titik permulaan kerjaya luar biasa Aston dalam penerokaan kutub yang mencatat rekod, merangkumi ekspedisi ke Kutub Artik dan Antartika, Greenland, Iceland dan Kanada: dikatakan Aston sebagai “Semua tempat sejuk di dunia”. Beliau sering mengetuai pasukan serba wanita dalam ekspedisi besar ini dan menjadi wanita pertama menyeberangi Antartika secara solo pada 2012. Pada 2015, beliau dianugerahkan MBE bagi mengiktiraf sumbangannya dalam bidang penerokaan kutub.
Pada tahun yang sama, Aston menaiki sebuah kapal pemecah ais Rusia berkuasa nuklear yang besar di pesisir Siberia Utara untuk mengumpulkan data ais laut sebagai sebahagian daripada program sains rakyat. Apabila data projek itu ditambahkan kepada pangkalan data di Pusat Data Salji dan Ais Negara di Denver, Colorado, Aston mendapati itu merupakan satu-satunya entri dari Lembangan Artik tengah untuk tahun tersebut. Menjelang 2018, kawasan itu benar-benar semakin lenyap, dengan anggaran 85 peratus daripada lapisan ais laut berbilang tahun yang paling tebal ketika itu telah hilang.
Maka tercetuslah idea bagi projek terbarunya, Ekspedisi Penyelidikan Artik Before It’s Gone (B.I.G.). Aston membentuk sebuah lagi pasukan serba wanita yang baru berkecimpung dengan misi merentasi ais laut di Lautan Artik menggunakan ski ke Kutub Utara geografi sementara keadaan masih mengizinkan sambil mengumpulkan data penting tentang ais dan atmosfera. Menurut Aston: “Ada data yang boleh dikumpulkan dari angkasa tetapi ada maklumat tertentu yang hanya boleh diperoleh apabila berada di lapangan.” Namun begitu, ekspedisi itu ternyata jauh lebih rumit dan mencabar daripada yang beliau bayangkan.
Ada data yang boleh dikumpulkan dari angkasa tetapi ada maklumat tertentu yang hanya boleh diperoleh apabila berada di lapangan.
Dua percubaan pertama pasukan ini untuk sampai di Kutub Utara pada April 2022 dan 2023 terpaksa dilencongkan akibat keadaan ais laut yang semakin tidak stabil, bermula di Svalbard, sebuah kepulauan Norway di Lautan Artik dan seterusnya ke glasier paling utara Iceland iaitu Drangajökull.
Memandangkan Svalbard merupakan antara kawasan berpenghuni paling utara di dunia, pasukan ini telah bersedia menghadapi suhu -20°C. Sebaliknya, suhu hanya sekitar sifar dan hujan hampir setiap hari. Pasukan itu menghadapi masalah apabila peralatan yang direka untuk cuaca sejuk menjadi basah kuyup, kemudian membeku apabila suhu menurun.
Di Drangajökull, mereka mendapati kawasan yang sepatutnya bersalji kini hanya dipenuhi rumput di sepanjang lembah menuju ke glasier. Tidak lama kemudian, kereta luncur dan ski mereka menjadi beban apabila diseret merentasi rupa bumi yang kering sambil “melompat dari satu tompok salji ke tompok salji yang lain”. Menurut Aston, “Itulah cabaran terbesar sepanjang perjalanan itu.”
Namun, pasukan itu terus berusaha dan berjaya mengumpulkan sampel salji dan ais yang penting di kedua-dua lokasi, sekali gus membuktikan manfaat ekspedisi mereka walaupun berdepan pelbagai cabaran.
Pada musim bunga 2024, pasukan itu terpaksa membatalkan percubaan ketiga untuk pergi ke Kutub Utara apabila menyedari keadaan tidak lagi mengizinkan (keputusan yang terbukti tepat kerana tiada sesiapa berjaya sampai di Kutub Utara pada musim itu). Sebaliknya, mereka memulakan ekspedisi untuk mengambil sampel di Artik Kanada.
Namun sekali lagi, keadaan tidak menyebelahi mereka. Rantaian sistem ribut melambatkan perjalanan mereka sehingga mereka hanya mempunyai enam hari di atas ais. Setibanya di sana, mereka terperangkap dalam khemah akibat ribut susulan dan tidak dapat mengumpulkan sebarang sampel. Akhirnya, mereka dimaklumkan bahawa pengambilan pulang akan dibuat sehari lebih awal, sekali gus menjadikan misi itu seolah-olah gagal sepenuhnya. Namun begitu, 17 jam sebelum pesawat tiba, Aston dan pasukannya merasakan angin di sekitar kem mereka mula reda. Ketabahan luar biasa yang menjadi ciri ekspedisi B.I.G. terserlah apabila pasukan itu menggunakan sepenuhnya baki masa yang ada untuk bekerja tanpa henti dan berjaya mengumpulkan semua sampel yang dirancang sebelum pulang dengan penerbangan mereka.
Kerap kali, cabaran alam yang dikaji oleh Aston dan pasukan akhirnya menggagalkan usaha mereka ke kutub. Namun, Aston tetap tabah dan membuktikan keupayaan seorang peneroka berpengalaman menyesuaikan diri ketika berdepan cabaran apabila setiap kegagalan yang dialami akhirnya berubah menjadi peluang.
Ekspedisi B.I.G. pada asalnya dirancang sebagai perjalanan selama setahun ke Kutub Utara. Empat tahun kemudian, akibat pelbagai cabaran yang dihadapi, ekspedisi itu berakhir sebagai satu misi merentasi Artik selama beberapa tahun yang memperoleh pelbagai sampel dari tiga persekitaran Artik yang berbeza.
Saya berharap mereka benar-benar merasai sumbangan saintifik yang telah diberikan sambil mengurut badan yang keletihan.
Antara institusi yang menganalisis sampel ini ialah Pusat Oseanografi Negara di Universiti Southampton, tempat Aston menjalankan penyelidikan mikroplastik bawaan udara yang mendap di atas ais laut Artik. Beliau tahu segala cabaran yang diharungi oleh pasukannya untuk mengumpulkan sampel ini.
Sepanjang tiga ekspedisi itu, mereka berjaya mengumpulkan kira-kira satu pertiga tan sampel salji, ais dan air yang semuanya diangkut menggunakan kereta luncur salji. Usaha luar biasa mereka yang disokong oleh Inisiatif Planet Abadi Rolex berjaya memperoleh data penting untuk melindungi kawasan kutub. Aston amat mengagumi pasukannya. “Saya berharap mereka benar-benar merasai sumbangan saintifik yang telah mereka lakukan sambil mengurut badan yang keletihan.”