Pintasan
Diterbitkan pada
Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Planet Abadi, Anugerah Rolex untuk Perusahaan menyokong individu luar biasa yang memiliki keberanian dan iltizam untuk menyahut cabaran besar serta menerajui projek istimewa yang membawa perubahan bermakna kepada dunia.
Semua episod
Episod 1 – 2024
Episod 2 – 2024
Episod 3 – 2024
Usahawan sosial, Denica Riadini-Flesch, telah berjaya mencipta satu daripada rantaian bekalan sumber tempatan mampan janaan semula pertama di dunia - SukkhaCitta, yang bermaksud kebahagiaan. Bertekad untuk memperkasakan para tukang luar bandar di Indonesia, beliau telah mewujudkan ratusan pekerjaan dengan gaji yang berpatutan bagi mereka yang menghasilkan pakaian mewah menggunakan teknik tradisional dan mampan.
Kerja SukkhaCitta bermula dengan kapas, yang dipastikan oleh Riadini-Flesch bahawa kapas itu diperoleh secara mampan. Petani yang bekerja dengan jenama itu diajar teknik turun-temurun untuk menanam kapas sambil menyuburkan semula tanah. Di ladang mereka, tanaman pelengkap ditanam bersama kapas, masing-masing ada peranan tersendiri untuk menyuburkan semula tanah yang telah diusahakan secara berlebihan. Setelah kapas dituai, dipintal dan ditenun oleh wanita tersebut, kapas diwarnakan menggunakan pewarna semula jadi berasaskan tumbuhan. “Kami telah mencegah pembuangan lebih 3 juta liter pewarna toksik ke sungai dengan menggunakan pewarna semula jadi sepenuhnya,” jelas Riadini-Flesch.
SukkhaCitta turut menubuhkan sekolah kraf di beberapa kampung, tempat para wanita mempelajari teknik pertanian tradisional dan penghasilan tekstil serta kemahiran perniagaan untuk memasarkan hasil kerja mereka. Laman web jenama tersebut membuka akses kepada pelanggan di 32 negara. Riadini-Flesch berkata: “Projek ini membuka mata saya terhadap perkara yang mampu dicapai apabila wanita dan alam menjadi asas dalam keputusan anda.”
Pendorong utama beliau adalah untuk memberi orang ramai peluang untuk mengubah kehidupan mereka. Kebebasan kewangan dalam kalangan wanita mampu membawa perubahan besar kepada seluruh komuniti, dan para pekerja SukkhaCitta mencatatkan peningkatan pendapatan purata sebanyak 60 peratus. Melalui usaha ini, Riadini-Flesch menyaksikan peningkatan dalam pendidikan dan pemakanan serta menambah baik kualiti hidup di kampung-kampung tempat beliau beroperasi.
Projek ini telah membawa perubahan kepada lebih 1,400 individu, termasuk petani, penenun dan tukang jahit mahir. Menjelang 2030, Riadini-Flesch berharap dapat menjangkau hingga 10,000 orang, memulihkan 1,000 hektar tanah yang terjejas serta membangunkan sebuah aplikasi bagi meluaskan latihan SukkhaCitta ke kawasan terpencil di Indonesia.
Pada awal kerjayanya sebagai ahli ekonomi pembangunan, Riadini-Flesch bekerja dengan Bank Dunia di Indonesia dan sering berkunjung ke kampung luar bandar serta bertemu dengan wanita tempatan. Di situlah beliau menyedari bahawa komuniti bukan sekadar memerlukan bantuan. Riadini-Flesch mengasaskan SukkhaCitta bersama-sama tiga wanita lain. Hari ini, seramai 15 penyelaras mengurus lebih 450 penggiat kraf. Purata usia tukang kraf wanita telah menurun daripada 60 kepada 28 tahun, manakala generasi muda mula menghargai nilai ilmu peribumi.
Projek ini membuka mata saya terhadap perkara yang mampu dicapai apabila wanita dan alam menjadi asas dalam keputusan anda.
“Inilah wanita-wanita yang selama ini tersisih namun kini hasil kerja mereka mendapat pengiktirafan di seluruh dunia dan kearifan mereka menjadi sumber ilmu,” kata Riadini-Flesch. Projeknya mengubah cara pakaian dihasilkan dengan mewujudkan manfaat untuk semua, termasuk petani pokok kapas dan si pemakai.