Pintasan
Diterbitkan pada
Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Planet Abadi, Anugerah Rolex untuk Perusahaan menyokong individu luar biasa yang memiliki keberanian dan iltizam untuk menyahut cabaran besar serta menerajui projek istimewa yang membawa perubahan bermakna kepada dunia.
Semua episod
Episod 1 – 2024
Episod 2 – 2024
Episod 3 – 2024
Inza Koné, ahli primatologi pertama Côte d'Ivoire, telah menghabiskan hampir 20 tahun bekerja di Tanoé-Ehy, salah satu hutan hujan utama terakhir di Afrika Barat. Hutan paya yang luas, terletak di sudut tenggara paling jauh di negaranya, merupakan rumah kepada haiwan dan tumbuhan yang tidak ditemukan di tempat lain di dunia. Koné telah menyelidik spesiesnya yang sangat terancam dan mencipta model untuk pemuliharaan yang berpusat pada komuniti yang tinggal di sana.
Tanoé-Ehy mengandungi sekurang-kurangnya 45 spesies tumbuhan dan haiwan endemik. Koné menumpukan perhatian kepada hidupan primat di hutan tersebut. “Dalam hutan paya seluas 11,000 hektar ini, ada beberapa spesies monyet yang paling terancam di Afrika Barat.” Spesies ini termasuk colobus merah Miss Waldron yang mungkin telah pupus, yang tidak didokumenkan secara saintifik sejak 1970-an. Walau bagaimanapun, penduduk tempatan terus melaporkan penampakan di dalam hutan dan Koné sendiri telah mendengar lolongannya yang tersendiri, justeru pencarian diteruskan.
Walaupun Côte d’Ivoire mempunyai tahap kepelbagaian biodiversiti tertinggi di Afrika Barat, kegiatan manusia telah menyebabkan hutan dara tinggal dua peratus sahaja. Pada 2006, Koné menubuhkan sebuah program pemuliharaan bersama 11 komuniti yang tinggal di Tanoé-Ehy. Mereka berjaya melindungi kawasan itu daripada rancangan pembangunan kelapa sawit. Pada 2021, hutan itu diisytiharkan secara rasmi sebagai rizab semula jadi yang diurus oleh komuniti setempat. Kini, hutan itu diurus dan dimiliki bersama oleh komuniti setempat. Bagi Koné, kejayaan usaha ini terletak pada penglibatan komuniti. “Sebanyak 11 kampung telah berganding bahu untuk memelihara warisan mereka.”
Sebanyak 11 kampung telah berganding bahu untuk memelihara warisan mereka.
Hutan tebal dan keadaan berpaya di Tanoé-Ehy melindungi kawasan ini daripada aktiviti perburuan dan pertanian secara besar-besaran tetapi turut menyukarkan usaha penerokaan dan kajian. Namun begitu, berbekalkan pengetahuan penduduk tempatan yang pernah menjadi pemburu haram, pasukan ini dapat menjalankan ekspedisi ke dalam hutan setiap bulan. “Bekas pemburu ini memiliki ilmu yang tidak dimiliki oleh saintis paling berpengalaman sekalipun,” kata Koné.
Beliau memberikan sokongan teknikal dan melatih penduduk tempatan dalam teknik pemantauan alam sekitar, seperti tinjauan dron, pensampelan eDNA dan pemantauan kamera perangkap. Beliau berharap suatu hari nanti komuniti setempat akan dapat mengurus hutan itu sendiri. Bagi memastikan matlamat ini tercapai, pasukan itu membantu 11 komuniti mencari sumber rezeki alternatif yang mampan seperti penanaman ubi kayu. Menerusi penyediaan peralatan moden di sebuah pusat pemprosesan kecil, pendapatan para petani ubi kayu telah meningkat lima kali ganda. Pasukan ini turut membangunkan taman botani pendidikan di setiap kampung, membina sempadan semula jadi di antara kawasan pertanian dengan hutan serta memulihkan tanah sekitar kampung dengan menanam lebih 10,000 pokok asli.
Koné berharap usaha melindungi hutan Tanoé-Ehy dapat diperluas merentasi sempadan ke negara jiran, Ghana. Melalui kerjasama dengan pihak berkuasa dan komuniti di kedua-dua negara, beliau mahu mewujudkan masa depan yang mampan untuk komuniti setempat di satu daripada hutan yang memiliki biodiversiti tertinggi di dunia.