Pintasan
Diterbitkan pada
Tujuh puluh tahun yang lalu, Sir Edmund Hillary dan Tenzing Norgay menawan puncak tertinggi di dunia. Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, yayasan di bawah nama mereka terus memberikan impak yang mendalam di kawasan ini.
Berdiri di puncak Gunung Everest buat julung kalinya dalam sejarah manusia, Edmund Hillary dan Tenzing Norgay telah menempa satu pencapaian yang hebat. Tetapi itu bukan pengakhiran kisah mereka. Pada masa itu, dua insan ini belum rapat. Namun dalam beberapa dekad kemudian, mereka menjalinkan ikatan dan perkongsian erat yang akan mengubah kawasan Everest buat selama-lamanya.
Pendakian Everest pada 29 Mei 1953 merupakan antara pencapaian terbesar dalam sejarah penerokaan serta kemuncak usaha selama beberapa dekad. Pada awal abad ke-20, beberapa ekspedisi cuba mendaki Everest tetapi semuanya gagal. Pada tahun 1933, ekspedisi Houston-Everest berjaya melintasi Everest melalui penerbangan dan merakam gambar udara yang menjadi rujukan penting bagi pendaki gunung.
Namun begitu, selepas 20 tahun barulah puncak itu berjaya ditawan. Rolex melengkapi ekspedisi bersejarah pada 1953 dengan membina beberapa kem pada ketinggian berperingkat sebelum cubaan ke puncak dilakukan. Hanya dua orang pendaki, Hillary and Norgay, yang berjaya sampai di puncak.
Dua lelaki ini datang daripada latar yang sangat berbeza, seorang dari Himalaya, seorang lagi dari New Zealand, tetapi bertemu dan berganding bahu sebagai satu pasukan luar biasa yang melangkah ke wilayah yang belum diterokai.
Pasangan itu hanya meluangkan masa 15 minit di puncak dunia kerana bekalan oksigen tangki terhad, yang diperlukan untuk menuruni gunung. Mereka menghayati detik itu sambil menatap keluasan alam yang terbentang. Pada dekad-dekad berikutnya, kedua-duanya menubuhkan yayasan kebajikan yang menumpukan kawasan tersebut.
Usaha organisasi mereka diteruskan hingga hari ini dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi yang dilancarkan pada 2019. Selama hampir satu abad, Rolex menyokong para peneroka perintis yang mengangkat keupayaan manusia ke tahap lebih tinggi, termasuk ekspedisi di Himalaya sejak era 1930-an. Syarikat ini beralih daripada penerokaan yang berfokuskan penemuan kepada komitmen terhadap perlindungan dan pemeliharaan planet.
Pada 1960, tujuh tahun selepas pendakian bersejarah itu, Hillary menubuhkan Himalayan Trust dengan misi “membawa pendidikan, air bersih dan penjagaan kesihatan yang lebih baik” kepada komuniti Sherpa di Nepal. Sherpa ialah kumpulan etnik yang menetap di kawasan pergunungan Nepal dan negara-negara jiran.
Himalayan Trust memfokuskan tiga bidang di wilayah Solukhumbu, kawasan yang menempatkan Everest, iaitu kesihatan, alam sekitar dan pendidikan. Pembinaan hospital dan sekolah telah dilaksanakan sekali gus membantu penubuhan Taman Negara Sagarmatha. Dr Mingma Sherpa dilahirkan di Hospital Khunde, satu daripada dua hospital yang dibangunkan oleh badan amanah tersebut dan kini bertugas di situ hasil pendidikan yang diperoleh di sekolah yang diasaskan oleh yayasan Hillary. “Saya memperoleh pendidikan yang baik daripada sekolah yang dibina oleh beliau,” katanya. “Tanpa usaha Hillary, saya tidak akan berada di sini.”
Yayasan Sherpa Tenzing Norgay (TNSF) yang dikendalikan oleh anak-anak kepada pendaki legenda tersebut mementingkan kebajikan dan budaya masyarakat Sherpa di wilayah Khumbu sekitar Everest. “Di situlah asal-usul kami,” kata Norbu Tenzing, anak kepada Tenzing Norgay. “Kehidupan kami tidak dapat dipisahkan daripada bumi Everest.”
Antara cabaran terbesar yang ingin ditangani oleh TNSF ialah risiko yang sudah lama sebati dengan kehidupan komuniti Sherpa dalam dunia pendakian. “Sejak kecil, kami melihat bapa saudara kami pergi ke pergunungan dan ada antara mereka yang tidak pernah pulang,” kata Norbu Tenzing. TNSF berusaha untuk menambah baik akses kepada penjagaan kesihatan dalam komuniti dan membantu balu pendaki gunung mencapai kebebasan kewangan. Organisasi itu turut menawarkan biasiswa kepada belia Sherpa untuk mengikuti pengajian di Institut Pendakian Gunung Himalaya di Darjeeling, India, yang diasaskan oleh Norgay. Kursus itu memfokuskan aspek keselamatan di kawasan pergunungan agar komuniti Sherpa dapat menghadapi risiko pekerjaan dengan lebih baik.
Di situlah asal-usul kami, kehidupan kami tidak dapat dipisahkan daripada bumi Everest.
Persamaan paling ketara antara Himalayan Trust dengan Yayasan Sherpa Tenzing Norgay ialah fokus terhadap pendidikan. Pendidikan ialah keutamaan nombor satu bagi Hillary. Menurut anaknya, “Seorang Sherpa tempatan pernah memberitahu ayah bahawa perkara paling bermakna yang dapat beliau lakukan untuk komuniti mereka adalah menyediakan sebuah sekolah untuk anak-anak mereka. Beliau menyangka hanya sebuah sekolah yang diperlukan namun menerima banyak permintaan pembinaan sekolah.” Walaupun Himalayan Trust telah memainkan peranan dalam pelbagai bidang, “saya percaya pendidikan tetap menjadi perkara yang paling penting.”
Misi pendidikan TNSF pula membawa makna yang lebih peribadi: Tenzing Norgay tidak pernah berpeluang menerima pendidikan formal tetapi beliau bertekad agar anak-anaknya dan masyarakat Sherpa yang lain mendapat peluang tersebut. Menurut Norbu Tenzing, “Keistimewaan pendidikan ialah apabila seseorang menimba ilmu, ilmu itu menjadi penyuluh hidup mereka.” Kini, menerusi biasiswa yang disediakan oleh organisasi itu, “ramai Sherpa telah menceburi kerjaya sebagai doktor dan peguam”.
Kini, kedua-dua yayasan itu berganding bahu meneruskan legasi yang dibina oleh Hillary dan Norgay 70 tahun yang lalu. Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, kedua-dua yayasan itu telah menambah baik dua pusat kebudayaan di kawasan Everest. Pusat Pelawat Sir Edmund Hillary dan Pusat Warisan Sherpa Tenzing Norgay akan menjadi wadah untuk mengetengahkan kejayaan dan keperluan masyarakat Sherpa serta menjana pendapatan tambahan. Tujuh dekad selepas pendakian Everest yang bersejarah, legasi para pendaki ini kekal sebagai sumber kekuatan penting buat masyarakat di kawasan tersebut.