Pintasan
Diterbitkan pada
Francesco Sauro menerima Anugerah Rolex untuk Perusahaan pada tahun 2014 kerana keberanian beliau melakukan ekspedisi ke gua-gua yang belum pernah diterokai di bawah tepui (gunung berpuncak rata) di Amerika Selatan. Menerusi Inisiatif Planet Abadi, Rolex terus menyokong usaha beliau dalam penerokaan gua di seluruh dunia.
Pergunungan Alp di Eropah terkenal sebagai destinasi ski yang ideal. Namun di sebalik permukaan itu tersembunyi satu realiti lain yang lebih meresahkan. Seiring dengan kecairan dan kehilangan glasier alp akibat pemanasan global, Rolex menyokong para peneroka perintis yang menerajui ekspedisi baharu bagi memperluas pemahaman tentang perubahan persekitaran ini pada masa hadapan.
Ahli geologi Itali, Francesco Sauro, penerima Anugerah Rolex untuk Perusahaan, sedang menyiasat cara air yang cair meresap ke dalam Glasier Gorner di Switzerland, glasier kedua terbesar di Pergunungan Alp. Beliau ialah ahli speleologi atau seperti yang beliau ungkapkan sendiri, “peneroka dunia bawah tanah yang tersembunyi”. Beliau kini mempunyai misi menyingkap proses dalaman Glasier Gorner serta peranan air cair yang mempercepat kecairan lanjut dari dalam, satu kitaran maklum balas berbahaya yang membawa risiko besar kepada glasier dan komuniti di lembah berdekatan. Setakat ini, model hanya mampu mengambil kira kecairan ais di permukaan. Melalui kerja Sauro, pemahaman yang lebih menyeluruh tentang proses kecairan akan diperoleh supaya model dapat meramal masa depan glasier dengan lebih baik.
Sauro telah mengkaji kedalaman gua di seluruh dunia, meliputi gua di bawah hutan hujan Amazon dan dunia tersembunyi di pulau-pulau terpencil di Lautan Atlantik. Usaha beliau kemudian membawa kepada penerokaan gua ais glasier dan, sejak 2014, beliau memantau Glasier Gorner bersama ahli pasukan La Venta, sebuah persatuan peneroka yang telah meninjau kawasan tersebut selama lebih 20 tahun sambil menyaksikan perubahan ketara pada ais dan geologi. “Keadaan ini berubah dengan sangat pantas dan tempat yang kami kaji hari ini berkemungkinan sudah lenyap sepenuhnya tahun hadapan,” jelasnya. “Gua gelap yang kini kami terokai akan akhirnya terdedah dan batu-batu akan disinari cahaya matahari.”
Keadaan ini berubah dengan sangat pantas dan tempat yang kami kaji hari ini berkemungkinan sudah lenyap sepenuhnya tahun hadapan.
Perubahan landskap yang begitu pantas ini menjadikan kerja Sauro berlumba dengan masa dan berisiko tinggi. Ekspedisi terbaharu beliau ke Glasier Gorner dijalankan pada musim panas 2022 di hemisfera utara ketika musim kecairan memuncak dan air yang mengalir melalui gua mencapai tahap tertinggi. Pada tahap ini, ais berada pada keadaan paling tidak stabil dengan risiko keruntuhan yang ketara. Sauro dan pasukannya merupakan peneroka pertama yang mencuba usaha ini. Dron perintis yang tahan basah dan keadaan ekstrem digunakan untuk meneroka kawasan yang tidak dapat dicapai oleh pasukan di dalam gua dan terowong bawah permukaan. “Kami perlu berhati-hati dan mencari keseimbangan antara kawasan yang boleh kami masuk sendiri untuk mengumpulkan data dengan kawasan yang perlu kami serahkan kepada teknologi seperti dron untuk mendapatkan data,” kata Sauro.
Pasukan menumpukan gua yang terbentuk di antara dasar berbatu glasier dengan lapisan ais. Di sinilah air boleh meresap masuk lalu membentuk ruang gua gergasi sepanjang ratusan meter dengan kedalaman yang hampir sama. Tinjauan terhadap gua terbesar yang terletak di pertemuan Glasier Gorner dan Glasier Grenz dilakukan oleh pasukan dengan memantau pelbagai parameter air yang mengalir masuk ke dalam glasier bagi menganggar pemindahan haba.
Pengimbas laser digunakan untuk membina semula persekitaran secara digital. Apabila keadaan menjadi terlalu berbahaya untuk meneruskan penerokaan, pasukan mengemudi dron khusus yang dilengkapi teknologi pengesanan imej laser ke dalam gua yang lebih dalam serta melalui celah terowong yang sempit. Gambaran 3D dunia bawah tanah yang luas mula terbentuk, sekali gus mendedahkan perubahan glasier dari dalam yang sebelum ini mustahil untuk dilihat.
Apabila air mengalir melalui batu yang dihangatkan oleh cahaya matahari, penyerapan haba berlaku dan suhu meningkat beberapa darjah. Air ini memasuki gua dan menghangatkan ais yang dilintasi lalu menyebabkan kecairan berterusan serta mendedahkan lebih banyak dasar berbatu di bahagian bawah. “Kitaran tindak balas positif sebegini, apabila semakin banyak bahagian yang cair, air menjadi semakin panas pada waktu siang, lalu semakin banyak ais mencair, agak membimbangkan,” ujar Sauro. Namun beliau sedar betapa bertuahnya dapat mengkaji landskap luar biasa ini sambil memanfaatkan sains terkini untuk memahami bahagian paling rapuh di planet kita dengan lebih mendalam.
Glasier telah berkembang sepanjang beribu-ribu, malah puluhan ribu tahun. Walaupun pemantauan perubahan ini menuntut kesabaran dan ketekunan luar biasa, kembali tahun demi tahun untuk melakukan pengukuran, saintis seperti Sauro kini kesuntukan masa. Cara melihat glasier melalui skala masa geologi yang panjang dan juga keperluan tindakan segera, semakin menjadi pendekatan yang amat bernilai. “Sokongan daripada Rolex telah membentuk cara berfikir tentang masa, masa lalu dan masa hadapan serta semua aspek ini yang benar-benar memberikan inspirasi dan penting.” Bagi Sauro, usaha yang seiring dengan visi Inisiatif Planet Abadi Rolex mengajak kita merenungkan kesan yang ditinggalkan hari ini terhadap dunia yang akan datang.
Sokongan daripada Rolex telah membentuk cara berfikir tentang masa, masa lalu dan masa hadapan serta semua aspek ini yang benar-benar memberikan inspirasi dan penting.