Pintasan
National Geographic Society
Diterbitkan pada
Selama bertahun-tahun, João Campos-Silva dan Andressa Scabin telah bekerjasama dengan komuniti tempatan untuk melindungi hidupan liar di Sungai Juruá. Kini, dengan sokongan daripada Inisiatif Planet Abadi Rolex dan National Geographic Society, mereka mengubah pemahaman kita tentang Amazon.
Sepanjang tahun lalu, tujuh pasukan Penjelajah dan saintis pelbagai disiplin telah mengkaji lembangan Sungai Amazon sebagai sebahagian daripada Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic. Satu daripada pasukan Peneroka National Geographic ini terdiri daripada Pemenang Anugerah Rolex untuk Perusahaan, João Campos-Silva dan rakan Peneroka National Geographic, Andressa Scabin. Mereka telah bekerjasama dengan komuniti tempatan dan organisasi akar umbi untuk menyelidik habitat dan corak migrasi megafauna akuatik di sepanjang Sungai Juruá serta membina model pemuliharaan yang mampu memakmurkan sungai dan juga penduduk sekitar.
Dari banjaran Andes di bahagian barat, lembangan Sungai Amazon merentasi kawasan yang amat luas melalui lapan negara sebelum mengalir ke Lautan Atlantik di sebelah timur. Lembangan ini menyediakan sejumlah besar air tawar dunia, menjadi habitat ribuan spesies ikan serta sumber semula jadi yang amat penting bagi jutaan penduduk. Namun, seperti hutan hujan yang terdapat di situ, ekosistem luar biasa ini turut berdepan ancaman. Penangkapan ikan berlebihan, perubahan iklim dan pembasmian hutan memberikan tekanan kepada ekosistem ini. Namun, terdapat sebatang anak sungai yang terus subur, iaitu Sungai Juruá. Dengan panjang lebih 2,000 kilometer, Sungai Juruá ialah satu daripada anak sungai terpanjang di Sungai Amazon yang menyokong kehidupan, budaya dan mata pencarian ribuan penduduk. Organisasi akar umbi yang dipimpin oleh komuniti setempat memainkan peranan sebagai penjaga sungai dengan usaha memulihkan dan memelihara populasi spesies liar yang penting.
Campos-Silva telah bekerjasama dengan komuniti ini selama lebih sedekad, memperoleh Anugerah Rolex atas kerja yang menunjukkan bahawa model pemuliharaan komuniti ini dapat menyelamatkan arapaima yang terancam. Sejak itu, model yang diterajui komuniti ini diperluas kepada lebih banyak komuniti luar bandar, lantas menyelamatkan arapaima, ikan air tawar terbesar di dunia daripada pupus. Berkat usaha pemuliharaan ini, populasi arapaima di Sungai Juruá meningkat lebih 600 peratus sepanjang 15 tahun yang lalu. Selain memperkukuh ekosistem akuatik, usaha ini turut membawa manfaat sosial dan ekonomi kepada komuniti setempat yang kini boleh menangkap ikan arapaima secara lestari sebelum dijual secara sah dengan harga berpatutan. Dahulu, perikanan banyak diurus oleh lelaki. Namun begitu, limpahan arapaima memerlukan nelayan dan pengurus perikanan yang lebih profesional, yang membolehkan kaum wanita memegang peranan itu dan menjana pendapatan sendiri. “Kami memanggil arapaima sebagai ‘ikan perubahan’ selepas mencetuskan transformasi sosial yang besar di Sungai Juruá,” jelas Campos-Silva.
Kami memanggil arapaima sebagai ‘ikan perubahan’ selepas mencetuskan transformasi sosial yang besar di Sungai Juruá.
Melalui Ekspedisi Amazon Planet Abadi, Campos-Silva dan Scabin meneliti populasi, habitat serta pergerakan arapaima di antara kawasan perlindungan bagi mengenal pasti tahap perlindungan minimum yang diperlukan untuk memastikan spesies ini terus hidup dan berkembang. Maklumat penting ini kemudian boleh digunakan untuk merangka usaha pemuliharaan pada masa hadapan di bahagian sungai yang lain serta kawasan sekitar.
Selain arapaima, Campos-Silva dan Scabin turut menjejaki spesies megafauna lain. Mereka turut memantau kaiman hitam, iaitu reptilia jenis buaya, memerang gergasi, penyu Amazon gergasi, lumba-lumba sungai merah jambu dan manati. Manati dan arapaima masing-masing ada cabaran tersendiri: arapaima sukar dipasang alat penjejak, manakala manati sangat sukar ditemukan. “Ini haiwan paling sukar untuk ditangkap,” kata Scabin, “Saya sudah 14 tahun bekerja di Amazon, tetapi tidak pernah melihat manati.” Melalui kerjasama komuniti setempat termasuk bekas pemburu manati yang kini menjadi ahli pemuliharaan, mereka semakin berjaya mendekati haiwan yang sukar dikesan itu, malah mencatat sejarah sebagai kumpulan pertama yang memasang tag GPS (Sistem Penentududukan Global) pada arapaima.
Dalam ekspedisi terbaru mereka, Campos-Silva dan Scabin menyertai pasukan nelayan tempatan untuk mencari enam spesies utama. Mereka menjalankan tinjauan visual dan menandai haiwan untuk mula menganggarkan bilangan dan aktiviti mereka, yang seterusnya akan memberi mereka gambaran tentang kesihatan sungai secara umum. “Semua haiwan ini sangat penting untuk ekosistem akuatik,” jelas Scabin. “Sebahagian haiwan itu ialah pemangsa pada puncak rantai makanan, seperti kaiman hitam, memerang gergasi dan ikan lumba-lumba sungai. Ada haiwan yang penting untuk kitaran nutrien, seperti manati. Terdapat juga kura-kura gergasi dan arapaima yang mempunyai kepentingan budaya dan ekonomi yang besar untuk masyarakat tempatan.”
Campos-Silva dan Scabin bertemu pemimpin masyarakat luar bandar dan kumpulan pemuliharaan di sepanjang Sungai Juruá secara berkala untuk merangka strategi bersama bagi tujuan pemburuan, penangkapan ikan dan penggunaan sumber yang mampan, serta untuk belajar daripada satu sama lain. Pengetahuan dan keperluan warga tempatan adalah penting untuk membina model pemuliharaan. Perlindungan alam semula jadi mestilah memberikan peluang baharu dan kualiti hidup yang lebih baik kepada manusia supaya komuniti diperkasakan untuk terus menjaga ekosistem dan hidupan liar. Melalui langkah ini, Campos-Silva dan organisasi akar umbi dari Sungai Juruá merancang untuk mencipta model berskala yang boleh diluaskan dan digunakan di seluruh lembangan Sungai Amazon. Seperti yang mereka tekankan, manusia ialah bahagian penyelesaian yang paling penting. Campos-Silva berkata: “Ini merupakan perkongsian yang sangat saksama antara pengetahuan sains dengan tradisional. Kami percaya bahawa masa depan yang mampan dan adil untuk Amazon hanya akan dapat dicapai jika penduduk tempatan menjadi watak protagonis bagi model-model ini.”
Kami percaya bahawa masa depan yang mampan dan adil untuk Amazon hanya akan dapat dicapai jika penduduk tempatan menjadi watak protagonis bagi model-model ini.
Melalui Ekspedisi Planet Abadi Amazon Rolex dan National Geographic, Campos-Silva dan Scabin berkongsi kisah pemuliharaan di Amazon yang mengutamakan organisasi dan tindakan komuniti tempatan. Mereka menunjukkan kemungkinan untuk mencipta masa depan yang lebih cerah buat semua makhluk yang mendiami lembangan ini. Usaha inovatif ini serta kerja Peneroka National Geographic yang lain dalam ekspedisi ini membantu kita memahami laluan air Amazon dan peranan penting yang dimainkan pada peringkat global.