Masih banyak lagi penemuan menanti di kawasan ini. Kami mungkin berada di sini 20 tahun lagi dan masih banyak persoalan yang perlu dirungkai.
Pintasan
National Geographic Society
Diterbitkan pada
Dengan sokongan daripada Inisiatif Planet Abadi Rolex dan National Geographic Society, Angelo Bernardino dan Margaret Owuor telah membongkar misteri hutan bakau Brazil di muara Sungai Amazon, salah satu ekosistem yang paling kurang difahami di planet ini.
Dengan kaki terbenam di dalam lumpur yang melekit tatkala hujan turun mencurah, pakar ekologi marin dan Peneroka National Geographic, Angelo Bernardino, mengekstrak sampel teras daripada tanah dengan pantas. Beliau berada jauh di dalam hutan bakau di muara Sungai Amazon dan air pasang semakin tinggi. Dalam beberapa jam, dataran tanah kering ini mungkin ditenggelami beberapa meter air.
Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic membolehkan tujuh pasukan Peneroka National Geographic mengharungi beberapa kawasan paling jauh di lembangan Sungai Amazon yang luas, dari puncak glasier Andes hingga delta labirin tempat pertemuan sungai dengan Lautan Atlantik.
Lembangan Amazon merupakan tempat yang gah. Kawasan ini menempatkan sungai terbesar di dunia mengikut isipadu pelepasan air dan hutan hujan paling luas di Bumi, yang menjadi rumah bagi biodiversiti terbesar di bumi, menyimpan sejumlah besar karbon dan menampung kehidupan berjuta-juta orang. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, semakin timbul kesedaran tentang keperluan segera untuk melindungi hutan hujan daripada ancaman perubahan iklim dan pembasmian hutan. Namun sehingga kini, hutan bakau yang luas di muara sungai masih belum diterokai dan amat jarang dikaji.
Bernardino dan rakan sepasukan Peneroka National Geographic, Margaret Owuor, berharap dapat mengubah hakikat tersebut. Di seluruh rantau tropika, pokok bakau adalah antara spesies pokok yang hidup subur dalam perairan masin dan payau. Bakau mudah dikenali dengan jalinan akar banir yang menyerupai labah-labah yang menyediakan habitat penting untuk anak ikan serta berupaya menyimpan karbon dengan amat cekap. Menurut kajian terkini, hutan bakau Amazon menyimpan lebih dua kali ganda karbon bagi setiap meter persegi berbanding dengan hutan hujan Amazon.
Hutan bakau ialah nadi kehidupan bagi masyarakat tempatan sebagai sumber makanan dan balak, malah menjadi penampan untuk membendung perubahan iklim. Bernardino dan Owuor berharap hasil kajian mereka dapat menarik perhatian terhadap hutan bakau Brazil serta menyokong usaha perlindungan yang lebih menyeluruh bagi ekosistem penting yang sering diketepikan ini.
“Lambat-laun, saya yakin kita akan lebih memahami betapa pentingnya hutan bakau dalam kehidupan kita,” kata Bernardino. Cintanya terhadap lautan dan kepelbagaian ekosistem marin bermula sejak usia remaja ketika mengikuti percutian selam skuba bersama keluarganya.
Bagi Bernardino dan Owuor, penyelidikan hutan bakau bukanlah satu usaha yang mudah. Dengan julat pasang surut yang boleh mencapai hingga lapan meter, tempoh pelaksanaan kerja lapangan menjadi amat terhad. Sekali sehari, arus pasang surut bernama Pororoca akan melanda hutan ini dengan gelombang hingga empat meter tinggi dan mengancam setiap bot yang lalu. Hujan mencurah tanpa henti. Tiada jalan darat dan di tempat tertentu, perjalanan ke pasar atau hospital terdekat memakan masa berhari-hari.
Pada April 2022, pasukan ini berangkat ke utara dari muara Amazon dengan menaiki bot nelayan sewa mengikuti “jaluran” air tawar yang menyusuri pantai ke arah Caribbean. Pada waktu malam, mereka tidur di dalam buaian menggunakan kelambu untuk mengelakkan gigitan nyamuk.
Selama dua minggu, pasukan ini menjalankan penyelidikan saintifik terperinci untuk mencari jawapan bagi beberapa persoalan. Berapakah jumlah karbon yang disimpan oleh hutan bakau ini? Apakah “sumbangan hutan bakau” ini kepada kehidupan masyarakat setempat? Bagaimanakah hutan ini menangani cabaran masa depan seperti paras laut yang terus meningkat, perubahan keadaan lautan, pertumbuhan bandar yang semakin pesat serta amalan penangkapan ikan yang tidak lestari?
Bagi menjawab persoalan ini, ekspedisi tersebut melibatkan penyelidik daripada pelbagai latar kepakaran, termasuk Peneroka National Geographic, Thiago Silva. Dengan teknologi laser, beliau membantu pasukan menghasilkan peta hutan 3D, mengukur saiz pokok untuk menilai keupayaan penyimpanan karbon, menguji sampel tanah dan air serta menemu bual penduduk tempatan.
Masih banyak lagi penemuan menanti di kawasan ini. Kami mungkin berada di sini 20 tahun lagi dan masih banyak persoalan yang perlu dirungkai.
Antara penemuan mengejutkan mereka ialah hutan bakau yang hidup sepenuhnya dalam air tawar, berkongsi ruang dengan spesies tumbuhan yang lazimnya terdapat jauh di hulu sungai hutan hujan. Fenomena ini belum pernah didokumentasikan secara saintifik sebelum ini kerana bakau dipercayai hanya mampu tumbuh dalam persekitaran air masin. Penemuan ini mencetuskan spekulasi baharu tentang rahsia lain dalam persekitaran terpencil ini.
“Itu satu kejutan besar,” kata Bernardino. “Masih banyak lagi penemuan menanti di kawasan ini. Kami mungkin berada di sini 20 tahun lagi dan masih banyak persoalan yang perlu dirungkai.”
Pasukan ini turut menjalankan tinjauan terperinci terhadap masyarakat tempatan untuk lebih memahami hubungan antara penduduk dengan hutan bakau. Sejak turun-temurun, masyarakat tempatan bergantung pada bakau untuk sumber perikanan dan sebagai benteng semula jadi yang penting terhadap perubahan laut yang semakin tidak menentu. Pembuktian kepentingan hutan bakau kepada ekosistem dan komuniti tempatan akan menjadi asas penting dalam usaha Bernardino dan Owuor mengukuhkan perlindungan hutan pesisir ini.
“Setiap kali saya meninjau hutan bakau, saya membayangkan apa yang akan terjadi jika semuanya lenyap,” kata Owuor. “Bagaimanakah kehidupan komuniti ini selepas itu? Pasti lebih terancam. Ekosistem ini bukan sekadar penting untuk hasil perikanan dan sumber makanan mereka, malah menjadi nadi kelangsungan komuniti ini.”
Saya berharap suatu hari nanti kita akan memahami bahawa bumi ini ialah amanah bersama dan kita perlu bersatu untuk menjaganya, bukan hanya untuk kita tetapi untuk generasi seterusnya.
Pasukan ini mendapati bahawa walaupun ramai penduduk tempatan menghargai nilai hutan bakau, tekanan kehidupan seharian menyebabkan sesetengah daripada mereka melihat pembangunan sebagai jalan untuk mendapatkan kemudahan yang lebih baik. Namun, Owuor tetap menaruh harapan.
“Saya berharap suatu hari nanti kita akan memahami bahawa bumi ini ialah amanah bersama dan kita perlu bersatu untuk menjaganya, bukan hanya untuk kita tetapi untuk generasi seterusnya,” katanya.