Belantara air ini sebesar Australia tetapi suasana Amazon dari sudut pandang akuatik jarang sekali dapat dialami. Kehebatan ekosistem ini mestilah ditonjolkan.
Pintasan
National Geographic Society
Diterbitkan pada
Selepas dua tahun Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic, tujuh pasukan itu menamatkan kajian mereka, dengan harapan bahawa penemuan mereka, digabungkan dengan kewartawanan foto yang mantap, dapat merangka semula cara kita melihat Amazon.
Di bawah permukaan air, yang sedang bernafas dengan berhati-hati dan berterusan ialah Jurugambar dan Peneroka National Geographic, Thomas Peschak. Beliau berada di perairan hitam Rio Negro Amazon di Brazil, rumah kepada ikan lumba-lumba merah jambu. Ketika itu ialah musim air pasang, apabila hutan berubah menjadi taman bawah air. Ikan lumba-lumba sedang menunggu kawanan ikan bergerak ke saluran utama sungai. Peschak melaraskan kedudukannya dan membuka pengatup kamera, ketika sekumpulan ikan lumba-lumba mula melonjak melalui hutan bawah air.
Walaupun hutan hujan Amazon sering menjadi tumpuan, kitaran air yang menjadi tunjang kepada hutan ini sering terlepas pandang. Bagi mengubah keadaan ini, Inisiatif Planet Abadi Rolex dan National Geographic Society telah berganding bahu. Menerusi pelancaran Ekspedisi Amazon Planet Abadi Rolex dan National Geographic pada 2022, tujuh pasukan Peneroka National Geographic telah menjelajah ke pelosok terpencil di Lembangan Sungai Amazon dari puncak glasier di pergunungan Andes ke muara sungai yang bergelora.
Lembangan Sungai Amazon yang menjadi habitat kepada tiga juta spesies tumbuhan dan haiwan membekalkan jumlah hujan terbesar di dunia. Melalui kitaran hidrologi, sungai Amazon dan anak sungai bukan sahaja menjadi nadi di kawasan itu, malah mempengaruhi seluruh planet. Ketujuh-tujuh pasukan ini telah bekerjasama dengan komuniti setempat untuk memahami kerumitan ekosistem akuatik sambil mengkaji tahap kerentanan terhadap perubahan iklim. Peschak dan kameranya mengikuti perjalanan setiap pasukan, merakam imej yang membawa penemuan luar biasa mereka untuk tatapan dunia.
“Belantara air ini sebesar Australia tetapi suasana Amazon dari sudut pandang akuatik jarang sekali dapat dialami,” jelas Peschak. “Kehebatan ekosistem ini mestilah ditonjolkan.”
Belantara air ini sebesar Australia tetapi suasana Amazon dari sudut pandang akuatik jarang sekali dapat dialami. Kehebatan ekosistem ini mestilah ditonjolkan.
Tujuh pasukan Peneroka National Geographic menjalankan penyelidikan di tujuh landskap yang amat berbeza. Di kawasan pergunungan tinggi, Ruthmery Pillco Huarcaya, Baker Perry dan Tom Matthews menyelidik dua sumber air terpenting Amazon.
Pillco Huarcaya dan pasukannya menggunakan teknologi canggih untuk menjejaki serta menilai kesihatan populasi beruang Andes dan peranannya untuk mengekalkan hutan berawan Andes yang menghasilkan hujan.
Perry dan Matthews mendaki gunung Nevado Ausangate untuk memasang stesen cuaca tertinggi di Andes tropika pada ketinggian 6,349 meter (20,830 kaki). Seiring dengan perubahan iklim yang meruncing, masa depan sistem cuaca pergunungan kelihatan tidak menentu, maka peramalan impak amatlah penting. Peschak berusaha selama beberapa hari untuk merakam imej yang ujarnya, “meraikan keagungan Nevado Ausangate serta memperlihatkan peranan penting ekosistem tersebut”. Akhirnya, beliau berjaya merakam keindahan gunung itu pada waktu malam ketika puncak muncul seketika di sebalik lapisan awan tebal.
Sebahagian besar pasukan ekspedisi bekerja di kawasan altitud lebih rendah untuk menyelidik rangkaian aliran air yang merentasi hutan.
Andressa Scabin dan penerima Anugerah Rolex untuk Perusahaan, João Campos-Silva, bekerjasama dengan komuniti setempat di sepanjang Sungai Juruá untuk mengkaji serta melindungi enam spesies megafauna sungai utama Amazon. Mereka menjadi individu pertama di dunia yang memasang tag GPS pada arapaima, iaitu ikan air tawar bersisik terbesar di dunia. Mereka melaksanakan perjanjian pengurusan perikanan bagi memulihkan populasi arapaima terancam yang meningkatkan populasinya sebanyak 130 peratus sepanjang tempoh ekspedisi dua tahun tersebut.
Thiago Silva dan Julia Tavares menggunakan teknologi Pengesanan dan Julat Cahaya (LiDAR) untuk mengimbas kawasan tanah lembap hutan yang ditenggelami air mengikut musim serta memahami cara pokok menyesuaikan diri dengan persekitaran tersebut. Usaha ini menghasilkan model LiDAR 3D pertama di dunia bagi kawasan tanah lembap tersebut.
Hinsby Cadillo-Quiroz, Jennifer Angel-Amaya dan Josh West menyelidik kolam buatan yang terhasil daripada aktiviti manusia di dalam hutan. Mereka menyaksikan jumlah hidupan liar yang tidak dijangka kembali ke landskap yang telah terjejas teruk serta menemukan beberapa penyelesaian yang berpotensi untuk memulihkan ekosistem tersebut.
Fernando Trujillo, Peneroka National Geographic Tahun Ini 2024 telah menghabiskan beberapa dekad untuk melindungi ikan lumba-lumba sungai Amazon. Tinjauan sepanjang 1,270 kilometer sungai merentasi empat negara yang dijalankan bersama María Jimena Valderrama mencatat anggaran 1,366 ekor ikan lumba-lumba sungai di kawasan tersebut. Kepakaran Trujillo membantu Peschak merakam imej menakjubkan makhluk lembut ini yang meluncur di hutan bawah air. “Ikan lumba-lumba merah jambu ini terbang melalui kanopi seperti burung,” jelasnya.
Di muara sungai, tinjauan hutan bakau oleh Angelo Bernardino dan Margaret Awuor Owuor dijalankan bagi menilai kepentingan hutan bakau kepada komuniti setempat. Aliran air dari sungai ini ke Lautan Atlantik membentuk jaluran air tawar di sepanjang Pesisir Amerika Selatan yang menjangkau hingga Caribbean. Dalam habitat unik ini, Bernardino mencatat penemuan mengejutkan iaitu hutan bakau pertama yang diketahui sains tumbuh sepenuhnya dalam air tawar.
Perjalanan jaluran Amazon hingga Caribbean menjadi latar Peschak merakam gambar memukau dua anak penyu belimbing yang baru menetas. “Kebanyakan orang menganggap perjalanan Amazon berakhir di muara,” katanya. “Namun, jaluran ini sebenarnya merentang sejauh ribuan batu ke utara merentasi Caribbean lalu membentuk ekosistem yang masih dipengaruhi oleh sistem sungai ikonik tersebut.”
Kisah dunia bawah air yang jarang sekali disaksikan ini merupakan yang paling kompleks pernah saya ceritakan sepanjang hidup saya.
Fotografi bawah air di kawasan ini masih terhad kerana kebanyakan perairan keruh Amazon berbahaya atau sukar diharungi. “Kisah dunia bawah air yang unik ini merupakan yang paling kompleks pernah saya ceritakan sepanjang hidup saya,” kata Peschak.
Selepas dua tahun menyelami Lembangan Sungai Amazon, ahli pasukan Peneroka semakin yakin akan kepentingan memahami sistem air yang kompleks ini dengan lebih mendalam. Berkat fotografi Peschak yang membolehkan kerja mereka dikongsi dengan dunia, persepsi terhadap Amazon turut berubah. “Kita bukan hanya memerlukan penyelidik untuk mengambil berat tentang Lembangan Amazon,” katanya. “Semua orang perlu peduli.” Kita perlukan kertas kajian saintifik tetapi pada masa yang sama perlu menggabungkan ilmu itu dengan penceritaan yang lebih umum supaya dapat menjangkau seramai mungkin khalayak.”