Kami sedang mewujudkan kawasan marin yang diurus secara setempat. Kawasan ini terletak di tempat yang dipanggil Foropa – agak jauh dari Apoi, tetapi akan menjadi kawasan perlindungan marin yang pertama di wilayah ini.
Pintasan
Diterbitkan pada
Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Planet Abadi, Anugerah Rolex menyokong individu luar biasa dengan projek inovatif dalam pelbagai disiplin seperti mencipta teknologi yang meningkatkan kehidupan, menyelamatkan ekosistem yang terancam, melindungi lautan, meneroka sempadan baharu di planet ini atau merintis kemajuan dalam bidang sains dan kesihatan.
Di sepanjang pesisir pantai selatan Nigeria terdapat sebuah wilayah yang kaya dengan ekosistem yang mengandungi sumber alam yang luar biasa: Delta Niger. Sebagai sebahagian daripada Hutan Guinea di Afrika Barat, kawasan tumpuan biodiversiti yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa ini merupakan habitat hutan bakau ketiga terbesar di dunia dan ekosistem hutan paya kedua terbesar di Afrika.
Meskipun memiliki ekologi yang penting, Delta Niger merupakan satu daripada persekitaran yang paling merosot di dunia. Pada tahun 2013, ahli pemuliharaan Nigeria, Rachel Ikemeh, melawat kawasan itu untuk kali pertama. Alangkah kecewanya beliau apabila mendapati lantai hutan ditenggelami minyak mentah setinggi paras lutut. Sebagai pusat industri minyak Nigeria, Delta telah mengalami kira-kira 7,000 tumpahan minyak. Pencemaran itu telah memaksa komuniti nelayan untuk menjalankan pembalakan, lantas menyebabkan habitat unik Delta semakin merosot.
Berikutan perkara itu, Ikemeh pun menubuhkan program pemuliharaan yang diterajui oleh komuniti, Projek Hutan Delta Barat Daya/Niger (SWNDFP), untuk melindungi ekosistem biodiversiti yang unik ini.
Antara hidupan yang mendapat manfaat ialah monyet colobus merah Delta Niger yang nadir dan amat terancam, yang merupakan haiwan endemik di situ dan dekat di hati Ikemeh. Pada tahun 1990-an, para penyelidik menganggarkan monyet itu berjumlah 10,000 ekor. Namun begitu, menjelang 2021, berikutan kemerosotan ekosistem selama beberapa dekad, tinggal kira-kira 200 ekor sahaja lagi.
Walau bagaimanapun, tahun 2021 juga merupakan titik perubahan bagi kawasan ini. Selepas bertahun-tahun menjalankan advokasi dan rundingan dalam kemelut landskap sosiopolitik di wilayah ini, Ikemeh berjaya menubuhkan kawasan pemuliharaan meliputi lebih 1,000 hektar, yang dikawal dan dilindungi oleh komuniti Apoi tempatan, dengan hasil yang luar biasa. Dalam tempoh lima tahun kemudian, bilangan monyet itu telah meningkat dua kali ganda. Program pemuliharaan Ikemeh dipuji sebagai penyelamat monyet itu daripada ambang kepupusan.
Kami sedang mewujudkan kawasan marin yang diurus secara setempat. Kawasan ini terletak di tempat yang dipanggil Foropa – agak jauh dari Apoi, tetapi akan menjadi kawasan perlindungan marin yang pertama di wilayah ini.
Komuniti Apoi juga telah menikmati pelbagai manfaat sosioekonomi menerusi pekerjaan, pendidikan, pembangunan struktur, kesihatan alam sekitar dan program mata pencarian alternatif.
Projek ini amat berjaya sehingga Ikemeh melaksanakan projek yang serupa di kawasan lain di Delta. SWNDFP kini mengendalikan empat kawasan pemuliharaan, melindungi sekurang-kurangnya 13 spesies terancam merentasi kawasan hutan seluas lebih 10,000 hektar. Lebih 2,500 mata pencarian tempatan telah dipertingkatkan dan lebih 18,000 orang telah terlibat dalam pendidikan pemuliharaan.
Rolex akan menyokong usaha beliau untuk mewujudkan empat kawasan pemuliharaan komuniti baharu dan membina hab latihan dan program pendidikan mudah alih bagi membangunkan kemahiran pemuliharaan dalam kalangan komuniti.
Di satu kawasan perlindungan baharu, Ikemeh akan mengusahakan pemuliharaan marin untuk kali pertama di pesisir Delta. “Kami sedang mewujudkan kawasan marin yang diurus secara setempat. Kawasan ini terletak di tempat yang dipanggil Foropa – agak jauh dari Apoi, tetapi akan menjadi kawasan perlindungan marin yang pertama di wilayah ini," kata Ikemeh.
Bagi Ikemeh, usaha mengubah sikap turun-temurun sama pentingnya dengan mewujudkan kawasan perlindungan. “Ketika saya mula berjinak-jinak 21 tahun yang lalu, anak gadis tidak melakukan kerja yang saya lakukan. Malah, rakyat Nigeria tidak melakukan kerja yang saya buat. Namun ada bibit perubahan. Ahli pasukan saya bertanya kepada seorang budak lelaki dari komuniti itu tentang cita-citanya kelak. Dia menuding ke arah saya. Hal itu masih membuatkan saya menitiskan air mata.”