Haiwan tidak mengenali sempadan. Mereka telah melintasi landskap ini sejak sekian lama. Sempadan ini bersifat antropogenik.
Pintasan
Diterbitkan pada
Di Namibia Selatan, Orange River-Karoo Conservation Area (ORKCA) sedang memulihkan semula landskap yang musnah akibat kemerosotan biodiversiti. Disokong oleh Inisiatif Planet Abadi sejak 2023, projek itu mewujudkan kawasan pemuliharaan yang menghidupkan landskap, hidupan liar dan komuniti.
Sepanjang 100 tahun yang lalu, pertanian komersial di wilayah ǁKaras di Namibia Selatan telah mengubah landskap menjadi petak-petak ladang dan mengurangkan biodiversiti di rantau ini sebanyak 90 peratus. Apabila pembinaan pagar meningkat, proses semula jadi seperti trekbokken, iaitu penghijrahan bermusim lebih 10 juta springbok, telah terganggu dan hubungan yang harmoni antara pemangsa, mangsa, landskap dan komuniti terancam. Wilayah ǁKaras, kawasan terbesar dan paling kurang penduduk di Namibia, telah mengalami kepupusan yang meruncing berbanding dengan tempat lain di sub-Sahara Afrika – satu kerugian besar bagi kawasan yang meliputi tiga biom berbeza: Succulent Karoo, Nama Karoo dan padang pasir.
Di persimpangan alam yang berharga ini, harapan tetap mekar. Orange River-Karoo Conservation Area (ORKCA) ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang berusaha memulihkan kehilangan biodiversiti menerusi satu daripada projek pemulihan semula belantara terbesar di benua Afrika. ORKCA yang ditubuhkan pada 2020 mengamalkan pendekatan unik terhadap usaha pemuliharaan dengan membeli tanah awam lalu dihubungkan menjadi koridor terlindung yang membolehkan hidupan liar bergerak bebas serta spesies megafauna terus berkembang. Bagi Andreia Pawel, pengasas bersama ORKCA, matlamat utama adalah untuk mewujudkan sebuah rizab rentas sempadan yang luas, mengikut liku-liku Sungai Orange serta laluan migrasi tradisional hidupan liar tempatan, bukannya garis sempadan pada peta. Seperti yang dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif ORKCA, Nabot Mbeeli, “Haiwan tidak mengenali sempadan.” Mereka telah melintasi landskap ini sejak sekian lama. Sempadan ini bersifat antropogenik.”
Selepas dua tahun kerja persediaan, serta dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, pasukan ORKCA melengkapkan projek pemindahan hidupan liar pertamanya pada 2025 dengan melepaskan dan mengembalikan oriks, springbok dan burung unta. Bagi setiap spesies, dua ekor haiwan dipasang dengan kolar GPS bagi membolehkan pasukan menjejaki pergerakan haiwan serta mengumpulkan data yang akan menjadi panduan kepada pelepasan lebih banyak hidupan liar pada masa akan datang. “Ini ialah detik bersejarah bagi kami. Hal ini akan meningkatkan kepelbagaian genetik dan membina pemahaman ekologi yang lebih mendalam tentang landskap ini,” kata Mbeeli.
Haiwan tidak mengenali sempadan. Mereka telah melintasi landskap ini sejak sekian lama. Sempadan ini bersifat antropogenik.
Setakat ini, ORKCA meliputi kawasan lebih 160,000 hektar dengan matlamat untuk melindungi lebih satu juta hektar dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang. Kerja ini merangkumi usaha lapangan yang mencabar tenaga fizikal, termasuk perobohan sekitar 150 kilometer (93 batu) pagar, di samping membina kepercayaan serta belajar daripada komuniti Nama tempatan yang turut menjadi pemilik ekuiti dan pemegang saham. Selain itu, usaha ini memacu ORKCA ke arah sebuah organisasi yang berdikari melalui kredit biodiversiti, ladang pengairan dan pelbagai inisiatif lain yang berdaya maju. Seperti landskap yang sedang dipulihkan dan dipelihara, model pemuliharaan ORKCA berkembang apabila semua pihak berkepentingan berganding bahu.
Bagi Pengurus Rizab, Jannie van der Merwe, setiap hari membawa cabaran yang berbeza. Kerja persediaan yang memakan masa merangkumi perobohan pagar lama yang telah memutuskan laluan migrasi purba, pertemuan dengan Persatuan Petani, pengurusan kontrak undang-undang bagi pembelian tanah baharu, pengurusan tenaga kerja, pemeriksaan perangkap kamera, pemantauan kesihatan hidupan liar di seluruh rizab dan dialog berterusan dengan komuniti Nama. “Komuniti ialah rakan kongsi terbesar kami,” kata van der Merwe, “kami mahu mewujudkan sumber pendapatan untuk komuniti tempatan sambil memelihara tradisi mereka.”
Komuniti ialah rakan kongsi terbesar kami, kami mahu mewujudkan sumber pendapatan untuk komuniti tempatan sambil memelihara tradisi mereka.
ORKCA mengamalkan pendekatan inovatif terhadap pemuliharaan melalui pembelian tanah dan perkongsian bersama komuniti tempatan. Usaha ini juga mengembalikan rentak semula jadi tanah purba ini. Satu abad yang lalu, pemangsa memastikan kawanan di dataran terus bergerak sekali gus melindungi tumbuh-tumbuhan daripada ragutan berlebihan. Kuda belang menjadi pencari air yang mengikut naluri untuk mengesan hujan setempat atau menggali dasar sungai yang kering menggunakan telapuk kaki bagi mendapatkan air bawah tanah sebelum diikuti oleh haiwan-haiwan yang lebih kecil. Dalam model pemulihan ini, wujud peluang untuk memulihkan belantara di rantau ini dengan haiwan yang pernah merentas dataran sebelum campur tangan manusia serta menanam semula tumbuh-tumbuhan yang menjadi sumber kehidupan mereka.
ORKCA yang baru ditubuhkan lima tahun lalu telah mengetengahkan perhatian dan perlindungan baharu kepada kawasan yang kurang dikaji di selatan Namibia ini. Pasukan kini menumpukan visi jangka panjang yang merangkumi penggunaan tanah secara inklusif, penjagaan bersama oleh komuniti, serta kajian saintifik terhadap ekologi kawasan ini yang menakjubkan. Melalui kerjasama strategik serta sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, ORKCA membawa misi yang bercita-cita tinggi untuk melindungi tanah ini secara berterusan serta memulihkan seluruh elemen semula jadi yang membentuk sebuah ekosistem yang subur secara beransur-ansur.