Terbit perasaan kecewa lantaran usaha ini tidak mungkin berjaya. Namun, muncul idea naif tetapi penuh tekad. Bagaimana jika keadaan itu boleh diubah?
Pintasan
Diterbitkan pada
Sebagai sebahagian daripada Inisiatif Planet Abadi, Anugerah Rolex menyokong individu luar biasa dengan projek inovatif dalam pelbagai disiplin seperti mencipta teknologi yang meningkatkan kehidupan, menyelamatkan ekosistem yang terancam, melindungi lautan, meneroka sempadan baharu di planet ini atau merintis kemajuan dalam bidang sains dan kesihatan.
Bagi masyarakat peribumi Amazon, sejak dahulu lagi, lebah tanpa sengat dianggap sebagai penjaga hutan kerana khasiat penyembuhan madu. Kini, kajian saintifik perintis oleh ahli biologi kimia dan pemuliharaan dari Peru, Rosa Vásquez Espinoza, mengaitkan pembasmian hutan Amazon dengan kemerosotan populasi lebah asli ini yang merupakan pendebunga penting serta aspek utama kehidupan masyarakat peribumi seperti Asháninka dan Kukama-Kukamiria.
Jika tidak dibendung, kepupusan lebah ini boleh membawa kesan yang tidak dapat dibalikkan terhadap rangkaian pendebungaan dan pemulihan hutan.
Rosa Vásquez Espinoza yang dibesarkan di antara Pergunungan Andes Peru dengan hutan hujan Amazon berdarah peribumi Andes-Amazon ini menggabungkan ilmu leluhur dengan sains moden. Sebagai Pengasas dan Pengarah Eksekutif Amazon Research Internacional, beliau berusaha melindungi biodiversiti serta memperkasakan komuniti di seluruh lembangan Amazon.
Vásquez Espinoza mula mengkaji lebah tanpa sengat pada tahun 2020 dan mendapati bahawa khasiat perubatan madu lebah ini dapat dibuktikan secara kimia. Madu ini mengandungi tahap antioksidan serta sifat antibakteria dan antiradang yang lebih tinggi berbanding dengan madu komersial biasa.
Apabila lebah tanpa sengat ini berdepan ancaman seperti pembasmian hutan, kemusnahan habitat, penggunaan racun perosak dan perubahan iklim, Amazon Research Internacional berjaya mewujudkan kaitan saintifik pertama antara pembasmian hutan dengan penurunan populasi lebah tanpa sengat.
Vásquez Espinoza bersama rakan penyelidik mula mendekati pelbagai pihak untuk memahami sebab lebah ini tidak dilindungi. Akhirnya, beliau mendapati bahawa tanpa perlindungan undang-undang, ruang untuk bertindak amat terhad. “Terbit perasaan kecewa lantaran usaha ini tidak mungkin berjaya. Namun, muncul idea naif tetapi penuh tekad. Bagaimana jika keadaan itu boleh diubah?” katanya.
Terbit perasaan kecewa lantaran usaha ini tidak mungkin berjaya. Namun, muncul idea naif tetapi penuh tekad. Bagaimana jika keadaan itu boleh diubah?
Berkat usaha mereka, pada penghujung 2025, lebah tanpa sengat Amazon di Peru menjadi serangga pertama di dunia yang diberi hak undang-undang. Para ahli pemuliharaan berharap langkah ini dapat menjadi contoh untuk melindungi spesies lain di tempat lain. Lebah ini kini berhak untuk terus wujud.
Setakat ini, Vásquez Espinoza dan pasukannya telah meninjau kawasan hutan hujan seluas 40,000 hektar dan menemukan lebih 300 sarang liar serta kira-kira 1.6 juta lebah tanpa sengat. Kini mereka bekerjasama dengan 11 komuniti dan telah melatih lebih 350 masyarakat peribumi dalam bidang penternakan lebah secara mampan, keusahawanan serta penyelidikan ekologi; 70 peratus terdiri daripada kaum wanita.
Dengan menyatukan penyelidikan saintifik dan pengetahuan leluhur, Amazon Research Internacional memanfaatkan tradisi penternakan lebah masyarakat peribumi, termasuk cerita, mitologi dan amalan perubatan serta membawa pengetahuan ini dalam wacana saintifik.
Kerja lapangan Vásquez Espinoza melibatkan pencarian sarang lebah pada waktu malam dan pengumpulan data lebah pada waktu siang. Sebahagian kerja lapangan dilakukan bersama komuniti tempatan, manakala lokasi terpencil yang mengambil masa berjam-jam untuk diharungi memerlukan mereka bermalam di hutan dengan panduan penternak lebah tempatan.
Organisasi ini telah menubuhkan santuari lebah tanpa sengat yang turut menyumbang kepada pemulihan semula 17 hektar hutan hujan. Dengan sokongan Rolex, Amazon Research Internacional merancang untuk memperluas usaha ini dengan menubuhkan 10 santuari yang diterajui masyarakat peribumi di lokasi tumpuan biodiversiti. Melalui pemetaan 200,000 hektar habitat, Vásquez Espinoza dan pasukannya bakal mewujudkan Koridor Pemuliharaan Lebah Tanpa Sengat rentas sempadan yang meliputi Bolivia serta kawasan perbatasan Peru, Colombia dan Brazil.