Teknologi inovatif ini mengubah cara penyelidikan dijalankan di kawasan laut paling dalam yang kini semakin terancam akibat aktiviti manusia termasuk amalan perikanan yang tidak lestari.
Pintasan
Diterbitkan pada
Kumpulan Penyelidikan Laut Dalam Azores mendokumentasikan dasar lautan dalam secara saintifik menerusi kaedah baharu menggunakan platform video hanyut, iaitu kamera hanyut Azor. Dengan sokongan daripada Inisiatif Planet Abadi Rolex, Azores merevolusikan peralatan penyelidikan yang diperlukan untuk melindungi lautan.
Ketika berumur 21 tahun, Telmo Morato berpindah ke Azores dari kampung halamannya di Porto, Portugal. Rancangannya adalah untuk menetap sebentar bagi projek penyelidikan marin jangka pendek, tetapi tiga dekad kemudian, beliau masih meneroka kepulauan unik ini, yang lain daripada yang lain. Terletak di tengah-tengah Lautan Atlantik, kawasan ini adalah antara tempat paling terpencil di dunia. Terkenal sebagai kawasan penting biodiversiti, gunung bawah laut yang membentuk pulau-pulau di kepulauan itu menyediakan habitat unik untuk semua jenis hidupan marin.
Sebelum ini, penyelidikan laut dalam memerlukan peralatan yang amat mahal seperti kenderaan kendalian jauh (ROV) dan kapal selam berawak. Oleh itu, Morato dan kumpulan Penyelidikan Laut Dalam Azores (ADSR), sebuah pasukan saintis laut dalam membangunkan alternatif yang lebih mampu milik iaitu kamera hanyut Azor, sebuah peranti kecil berkos rendah yang mampu merakam bukti video penting hidupan hingga 1,000 meter di bawah permukaan laut.
Teknologi inovatif ini mengubah cara penyelidikan dijalankan di kawasan laut paling dalam yang kini semakin terancam akibat aktiviti manusia termasuk amalan perikanan yang tidak lestari. Masih banyak misteri di kedalaman 1,000 meter di bawah laut. Pemahaman tentang cara laut dalam berfungsi serta hidupan di situ kini semakin penting bagi usaha memelihara dan melindungi laut dalam.
Teknologi inovatif ini mengubah cara penyelidikan dijalankan di kawasan laut paling dalam yang kini semakin terancam akibat aktiviti manusia termasuk amalan perikanan yang tidak lestari.
Kamera hanyut Azor terdiri daripada dua kamera aksi, lampu LED berkuasa tinggi, sistem laser selari untuk pengukuran serta penderia kedalaman dan tekanan. Peranti ini direka bentuk untuk merakam sebanyak mungkin kawasan dasar laut bagi setiap penggunaan sambil mengekalkan kos operasi serendah mungkin. Peranti ini berfungsi tanpa enjin, hanyut di sepanjang dasar laut, ditarik oleh sebuah kenderaan kecil serta dilengkapi sayap kemudi agar sentiasa menghadap ke hadapan.
Komponen sistem ini mudah diperoleh dan berharga mampu milik. Reka bentuknya cukup ringkas sehingga tidak memerlukan pengetahuan khusus untuk dipasang. Dengan membolehkan penyelidik yang mempunyai sumber terhad meneroka laut dalam, Morato membawa misi untuk “memudahkan akses penyelidikan laut dalam. Pembangunan kamera hanyut benar-benar memberikan impak.”
Selepas 200 hari di laut menggunakan kamera hanyut merangkumi ratusan kilometer dasar laut dan merakam hampir 1,000 jam rakaman video, pasukan ADSR mencapai matlamat mereka untuk meneroka semua gunung laut di Azores hingga kedalaman 1,000 meter. Dengan ribuan rekod baharu spesies laut dalam, para saintis kini memiliki maklumat penting yang sedang diolah menjadi data untuk membentuk kajian masa depan dan merangka dasar.
Pihak berkepentingan utama menggunakan dapatan daripada kamera hanyut Azor untuk menilai kepelbagaian persekitaran marin serta menetapkan sempadan baharu yang lebih luas bagi Taman Marin Azores, iaitu rangkaian Kawasan Perlindungan Marin (MPA) di wilayah tersebut. Pada masa ini, MPA tidak semestinya merangkumi kawasan laut dalam. Kamera hanyut Azor dapat menyediakan data penting bagi menyokong proses membuat keputusan berkaitan dengan MPA baharu.
Sebagai ahli kumpulan ADSR, Carlos Dominguez-Carrió datang ke Azores enam tahun lalu selepas mengkaji laut dalam di kawasan Mediterranean. “Apabila turun ke laut, walaupun kami sudah menjangka perkara yang mungkin ditemukan, pasti ada hal luar jangka hampir setiap kali kamera bawah air digunakan,” jelasnya. “Saya sentiasa tertarik akan peluang meneroka tempat yang pelum pernah dijejak dan menyaksikan persekitaran yang belum pernah dilihat oleh sesiapa.”
Bagi penjelajah marin masa kini, usaha melindungi lautan dunia untuk generasi akan datang ialah keutamaan dan manfaat daripada dapatan kamera hanyut Azor bukan hanya dirasai di Azores.
Melalui perkongsian sumber terbuka, arahan pembinaan kamera hanyut serta penganjuran bengkel amali untuk penyelidik marin, Morato dan Dominguez-Carrió berharap dapat memperluas penerokaan laut dalam pada peringkat global.
“Walaupun sistem ini amat ringkas, bagi mereka yang belum pernah bekerja dengan teknologi seumpama ini, mungkin terasa mencabar” jelas Dominguez-Carrió. “Melalui perkongsian ilmu tentang cara sistem berfungsi, kami berharap dapat menggalakkan penyelidik lain untuk membina sistem yang serupa dan menggunakan sistem tersebut.”
Impian kami adalah untuk melihat teknologi kos rendah seperti kamera hanyut Azor digunakan di seluruh dunia.
Dalam bengkel tersebut, penyelidik marin diajar untuk membina replika kamera hanyut Azor sebelum Morato dan Dominguez-Carrió membawa mereka ke laut untuk merakam imej dasar laut dalam sambil menjelaskan proses pemprosesan dan analisis data video.
Para penyelidik membawa pulang ilmu penggunaan kamera hanyut Azor ini untuk meneroka laut dalam di kawasan masing-masing.
“Apabila reka bentuk kamera hanyut ini dikongsi, kami mahu orang lain mengambil reka bentuk itu dan membuat penambahbaikan supaya peningkatan berterusan dapat dilakukan melalui kerjasama dengan penyelidik lain yang berminat terhadap penerokaan laut dalam,” jelas Dominguez-Carrió.
Dengan kos tinjauan ROV yang mencecah puluhan ribu euro sehari, hanya sekitar 30 negara di dunia mempunyai sumber untuk menjalankan penyelidikan laut dalam yang mahal.
Matlamat Morato dan Dominguez-Carrió adalah untuk memperluas penggunaan teknologi kos rendah ini ke seluruh dunia, sekali gus mengubah landskap penyelidikan laut dalam di kawasan lautan yang masih kurang dikaji. Data ini boleh dibentangkan kepada pembuat keputusan pada peringkat antarabangsa bagi melindungi lautan untuk generasi akan datang.
“Impian kami adalah untuk melihat teknologi kos rendah seperti kamera hanyut Azor digunakan di seluruh dunia,” kata Morato. “Masih banyak kawasan di dunia dengan keadaan yang serupa seperti Azores. Bayangkan semua pulau di Caribbean, Pasifik atau Atlantik Selatan yang dapat memanfaatkan teknologi ini untuk meneroka perairan masing-masing.”