Pintasan
Misi Biru
Diterbitkan pada
Sandra Bessudo telah mengabdikan hayatnya untuk perairan semula jadi di Pulau Malpelo. Kini, dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex dan Misi Biru, Bessudo bekerja keras untuk menambah baik dan mengembangkan perlindungan marin di sekitar Malpelo demi memelihara biodiversiti yang menakjubkan.
Semua episod
Kawasan Harapan Pulau Malpelo: Episod 1 – 2023
Kawasan Harapan Pulau Malpelo: Episod 2 – 2023
Di permukaan, Pulau Malpelo kelihatan seperti batuan gunung berapi tandus yang tersembul keluar dari lautan yang terletak ratusan kilometer dari pantai Colombia. Dari jarak lebih dekat, persekitaran di situ rupa-rupanya dipenuhi oleh hidupan. Jerung paus, kerapu dan penyu sisik berenang melalui perairan di sekeliling gunung bawah air, yang dikenali sebagai gunung laut. Reptilia endemik pula berlari melintasi pinggir tebing dan spesies burung nadir terbang di udara. Sandra Bessudo merupakan antara penyelam pertama yang meneroka perairan Malpelo pada tahun 1987 lalu jatuh cinta. “Sungguh takjub dapat melihat kawanan yu tukul,” ujarnya, “anda tidak dapat lihat semua haiwan ini di tempat lain.” Belia terpesona. “Itu ialah sebuah oasis di tengah lautan.”
Bessudo sedar bahawa tanpa sebarang tindakan, biodiversiti Malpelo boleh terancam akibat kegiatan perikanan. Maka, beliau harus bertindak. Mula-mula, beliau mengumpulkan tandatangan daripada pelawat Malpelo untuk meminta kerajaan melindungi perairan gunung laut itu secara rasmi. Selepas pertemuan keramat dengan presiden Colombia ketika itu semasa menyelam di Caribbean, beliau meyakinkan presiden tentang keperluan untuk menjadikan kawasan itu sebagai rizab. “Beliau meminta saya bersamanya ke Malpelo dan saya berkata, ‘Presiden, kita harus lindungi kawasan ini.’ dan kami meminta tandatangan beliau.” Tidak lama kemudian, Malpelo diisytiharkan secara rasmi sebagai Santuari Fauna dan Flora, iaitu sebahagian daripada Taman Negara.
Bessudo terus bekerjasama dengan pelbagai kumpulan untuk membantu usaha menguatkuasakan perlindungan dan meningkatkan kesedaran tentang ekosistem gunung laut itu yang luar biasa. Pada tahun 2000, beliau menubuhkan Yayasan Malpelo untuk memperkukuh aktiviti ini, yang akhirnya mewartakan gunung laut sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. “Pada mulanya tiada orang tahu tentang Malpelo,” kata Bessudo, “kini Malpelo sangat penting untuk Colombia dan kerajaannya.”
Pada mulanya tiada orang tahu tentang Malpelo. Kini Malpelo sangat penting untuk Colombia dan kerajaannya.
Sepuluh tahun kemudian, beliau bertemu dengan ahli oseanografi legenda dan Testimoni Rolex, Sylvia Earle. Apabila Sylvia menjelaskan visinya tentang rangkaian global “Kawasan Harapan” yang dilindungi, Bessudo tahu bahawa Pulau Malpelo yang dicintainya ialah calon yang tepat. Kawasan Harapan ialah kawasan lautan yang penting dari segi ekologi bagi tujuan pemeliharaan spesies atau tempat masyarakat bergantung pada persekitaran marin yang sihat untuk terus hidup.
Kini, Bessudo ialah Pejuang Kawasan Harapan Pulau Malpelo untuk Misi Biru. Melalui usaha berterusannya dan ahli pemuliharaan lain, Colombia meluaskan Santuari Fauna dan Flora Malpelo kepada 47,000 kilometer persegi pada tahun 2022. Langkah ini membantu negara itu menjadi negara pertama yang mencapai sasaran rangka kerja biodiversiti PBB untuk melindungi 30 peratus tanah dan lautan bumi menjelang 2030.
Demi melindungi dan memperjuangkan Kawasan Harapan itu, Bessudo menjalankan dua ekspedisi setahun untuk memantau dan mengkaji kawasan tersebut. Para saintis dengan pelbagai kepakaran meliputi batu karang dan oseanografi belayar bersama Bessudo selama 36 jam untuk sampai di Malpelo. Selepas meredah air bergelora, ketibaan di gunung laut merupakan satu pengalaman yang istimewa. “Malpelo hanya menerima satu bot pada satu-satu masa, sama ada kapal penyelidikan saintifik atau bot pelancongan, dan tidak lebih daripada 18 penyelam.” jelas beliau, “Tatkala tiba di sana, anda berasa seperti anda bersendirian dan tempat itu hanya untuk anda.” Tanpa kehadiran orang lain di Malpelo, pasukan itu menyelam dan menjalankan sistem video bawah air untuk mengumpulkan data tentang bilangan, taburan dan kesuburan spesies. Mereka turut mengambil sampel zooplankton untuk lebih memahami kualiti dan kesihatan air serta ekosistem. Menerusi ekspedisi selama 20 tahun di bawah kendaliannya, Bessudo dan saintis yang dijemput olehnya dapat memberi kerajaan Colombia banyak maklumat penting tentang hidupan marin dan usaha pemuliharaan di kawasan itu.
Malpelo hanya menerima sebuah bot pada satu-satu masa, tidak kira kapal penyelidikan saintifik atau bot pelancongan, dan tidak lebih daripada 18 penyelam.
Perlindungan Pulau Malpelo membantu banyak populasi berkembang, tetapi ekspedisi Bessudo mendapati beberapa spesies pemangsa puncak masih terancam. Semasa berhijrah antara pulau dan merentasi lautan, haiwan ini bergerak melalui perairan tidak dilindungi yang lebih cenderung terancam oleh kegiatan penangkapan ikan secara haram atau tidak lestari. Untuk membendung masalah ini, pada tahun 2021, Ecuador, Panama, Colombia dan Costa Rica mula menyertai perairan terlindung dengan koridor terlindung yang dikenali sebagai “laluan renang”, tetapi Misi Biru dan Bessudo menuntut lebih daripada itu. Bersama-sama dengan Pejuang Kawasan Harapan Misi Biru berhampiran, Bessudo sedang berusaha untuk mewujudkan koridor terlindung tambahan antara rizab di kawasan tersebut. “Ikan jerung menuju ke Malpelo tetapi turut pergi ke Pulau Cocos, kemudian ke Galapagos dan kembali ke Malpelo.” Bessudo berkata, “Ikan jerung pergi ke tanah berhampiran pantai utara Pasifik Colombia untuk melahirkan anak.”
Dengan menyediakan laluan renang terlindung untuk bergerak, Bessudo berharap bilangan jerung dapat meningkat, sekali gus memberikan manfaat kepada semua ekosistem lautan yang saling berkaitan. Menerusi komitmen jangka panjangnya, kerjasama dengan Misi Biru dan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, beliau mengubah harapan ini menjadi kenyataan serta melindungi Pulau Malpelo yang dicintainya.
Misi Biru dilancarkan pada tahun 2009 dengan matlamat untuk mewujudkan rangkaian global Kawasan Harapan, iaitu kawasan lautan yang penting dari segi ekologi bagi tujuan pemeliharaan spesies atau tempat masyarakat bergantung pada persekitaran marin yang sihat untuk terus hidup. Setakat ini, Misi Biru telah mewujudkan lebih daripada 160 Kawasan Harapan di seluruh dunia. Kunci kepada program ini ialah pemerkasaan penduduk tempatan untuk membuat perubahan.