Pintasan
Misi Biru
Diterbitkan pada
Pesisir Ningaloo Australia dipenuhi dengan hidupan marin, tetapi kemandiriannya bergantung pada kepelbagaian biologi Teluk Exmouth yang berdekatan. Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, Pejuang Kawasan Harapan Misi Biru, Ben Fitzpatrick, sedang berusaha untuk menunjukkan betapa kedua-dua ekosistem saling berhubung kait dan melengkapi serta cara melindunginya sebagai satu entiti.
Di hujung barat laut Australia yang terpencil, tanah gersang bertukar menjadi pasir putih yang tersesar ke perairan biru firus yang jernih. Di bawah permukaan air, terdapat satu daripada terumbu karang pesisir terbesar di planet ini yang tumbuh di perairan cetek sepanjang pantai. Tapak Warisan Dunia UNESCO, Pesisir Ningaloo, merentasi ratusan kilometer dan diberikan tahap perlindungan yang tinggi demi memelihara keindahan dan hidupan marin yang menakjubkan. Perairan ini mungkin paling terkenal dengan jerung paus yang singgah di pantai setiap tahun, namun terumbu karang Ningaloo turut menempatkan ratusan spesies karang dan ikan tropika, penyu bertelur, pari manta, moluska, bunga karang dan rumput laut.
Ketika Ben Fitzpatrick masih kecil, datuknya akan melawat Pantai Ningaloo dan bercerita tentang haiwan luar biasa yang pernah dilihatnya, seperti dugong yang misteri dan batu karang yang bertelur. Cerita tentang biodiversiti yang menakjubkan ini benar-benar menarik perhatian Fitzpatrick, justeru, beliau tahu bahawa penjagaan pesisir akan menjadi misi hidupnya. Selepas habis pengajian untuk menjadi saintis marin, beliau mengasaskan organisasi pemuliharaan, Oceanwise Australia, dan memulakan perjuangannya selama beberapa dekad untuk melindungi pesisir daripada pembangunan perindustrian. Dengan sokongan daripada rakan kongsi Inisiatif Planet Abadi Rolex, Misi Biru – yang diasaskan oleh ahli oseanologi legenda, Sylvia Earle – hasil kerja Fitzpatrick telah menyumbang kepada pengekalan Terumbu Ningaloo sebagai tapak kepentingan ekologi global dan kawasan yang berkembang maju untuk ekopelancongan.
Terletak betul-betul berhampiran dengan semenanjung merupakan kawasan yang penting untuk kejayaan Pesisir Ningaloo. Teluk Exmouth mungkin kurang dikenali tetapi memiliki kepelbagaian habitat yang luar biasa meliputi ekosistem bakau zon kering yang unik, dataran garam yang kaya dengan nutrien, hamparan rumput laut, komuniti bunga karang makan tapis dan karang lembut, terumbu karang, terumbu fosil dan juga ekosistem gua bawah tanah yang unik.
“Kebanyakan masa teluk agak bergelora,” jelas Fitzpatrick, “selalunya agak keruh dan sukar dilalui, maka orang ramai tidak sedar bahawa di bawah permukaan terdapat satu daripada ekosistem marin yang paling indah di planet ini.”
Pelbagai persekitaran yang berbeza menyokong bilangan spesies yang lebih besar berbanding dengan Terumbu Ningaloo. Banyak hidupan yang terdapat di Ningaloo juga berhijrah ke teluk untuk mencari makan, membiak dan berlindung seperti dugong, penyu dan pari manta. Moluska marin yang dikenali sebagai nudibrankia memenuhi perairan dengan bentuk dan warna yang luar biasa, sementara populasi dugong terbesar di dunia memakan rumput laut dan meninggalkan kepulan pasir di belakangnya. Dataran garam ini menempatkan pelbagai jenis alga sianobakteria yang menghasilkan nutrien yang masuk ke teluk melalui anak sungai bakau yang tidak terkira banyaknya, lantas mewujudkan tempat pembiakan yang sesuai untuk pelbagai jenis fauna marin.
Di pesisir pantai, burung kendi timur bersiap sedia untuk penghijrahan tahunan arah utara ke Siberia, manakala di perairan yang lebih dalam, beribu-ribu paus kelasa berehat dan membesarkan anak sebelum meneruskan perjalanan arah selatan ke Antartika. “Pergilah ke sana dan anda dapat melihat paus kelasa sejauh mata memandang. Sebenarnya tidak sukar untuk melihat haiwan itu,” kata Fitzpatrick. Tanpa ekosistem Teluk Exmouth yang sangat produktif, banyak haiwan yang sering anda temukan di Pesisir Ningaloo tidak dapat berkembang biak seperti hari ini.
Walaupun penting bagi Ningaloo dan kawasan sekitar, Teluk Exmouth sejak dahulu lagi kurang mendapat perhatian dan telah lama terancam oleh perindustrian. Fitzpatrick yang memahami kepentingan dan kesalinghubungan kawasan yang menakjubkan ini memohon agar Teluk Exmouth dan Pesisir Ningaloo menjadi Kawasan Harapan Misi Biru pada tahun 2019. Sebagai Pejuang Kawasan Harapan, beliau berusaha keras untuk memperkukuh perlindungan Teluk Exmouth dan mendapatkan pengiktirafan bagi perkaitan penting kawasan itu dengan Pesisir Ningaloo.
Bagi mewujudkan perlindungan yang lebih baik dan memastikan sebarang pembangunan masa hadapan di Teluk Exmouth tidak merosakkan ekosistem dan hidupan liar, baru-baru ini, Fitzpatrick dan pasukan Oceanwise Australia menjalankan ekspedisi saintifik untuk meninjau beberapa kawasan yang lebih terpencil di teluk itu, yang sebahagian besar masih belum dipetakan dan ditemukan. Dengan menggunakan sonar, pasukan itu telah menjalankan tinjauan imbasan sisi beting terpencil dan terumbu yang tenggelam. Pasukan itu juga menjalankan tinjauan fotografi di titik tertentu dan menghitung spesies marin. Di atas permukaan air, Fitzpatrick dan pasukannya menerbangkan dron untuk memetakan habitat dan menghitung fauna marin yang lebih besar yang begantung pada habitat teluk. Mereka berharap penemuan itu akan membuktikan kepada dunia betapa pentingnya ekosistem Teluk Exmouth, dan sebab kesihatan Pesisir Ningaloo bergantung pada ekosistem tersebut.
Pada tahun 2021, Kerajaan Australia Barat telah menyatakan komitmen untuk mewujudkan sebuah taman marin di bahagian timur dan selatan teluk. Menerusi kerjasama dengan Misi Biru selaku Pejuang Kawasan Harapan, Fitzpatrick optimis bahawa Teluk Exmouth bakal menjadi contoh bagi perkara yang boleh dicapai di habitat asli lain di dunia yang patut dilindungi. “Hal ini membuahkan harapan,” katanya, “terutamanya dalam konteks perubahan iklim yang kian meruncing. Sungguh puas rasanya dapat meraikan perkara positif dan meraih kejayaan.”
Dengan mendedahkan keindahan semula jadi Teluk Exmouth selaku duta perlindungan di situ, Fitzpatrick dan pasukannya membantu pemeliharaan kawasan yang membolehkan orang ramai menyaksikan hidupan liar dan menghayati alam semula jadi dengan cara yang menyokong komuniti tempatan. Pada masa hadapan, mereka percaya bahawa usaha menonjolkan kepentingan global kawasan ini terhadap biodiversiti bumi akan mengilhami orang ramai dan membantu peluasan kawasan perlindungan marin.
Misi Biru dilancarkan pada tahun 2009 dengan matlamat untuk mewujudkan rangkaian global Kawasan Harapan, iaitu kawasan lautan yang penting dari segi ekologi bagi tujuan pemeliharaan spesies atau tempat masyarakat bergantung pada persekitaran marin yang sihat untuk terus hidup. Setakat ini, Misi Biru telah mewujudkan lebih daripada 160 Kawasan Harapan di seluruh dunia. Kunci kepada program ini ialah pemerkasaan penduduk tempatan untuk membuat perubahan.