Pintasan
Di Bawah Kutub
Diterbitkan pada
Menerusi ekspedisi di zon mesofotik Guadeloupe, Di Bawah Kutub berjaya menyelesaikan bab pertama siri DEEPLIFE dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, apabila pasukan penyelam pakar mengkaji hutan haiwan marin di perairan beriklim sederhana dan tropika di Artik.
Zon mesofotik ialah pertemuan antara dunia. Terletak di antara 30 hingga 150 meter di bawah permukaan laut, zon “cahaya tengah” ini ialah khazanah kehidupan yang kelam lagi misteri dan mula tersingkap rahsianya apabila segelintir penjelajah dan saintis yang berani mampu menyelam ke bahagian yang lebih dalam.
Luiz Rocha dan pasukan Di Bawah Kutub adalah antara peneraju berhati waja yang disokong melalui Inisiatif Planet Abadi Rolex. Mereka menumpukan usaha meneroka dan memahami keunikan habitat di zon mesofotik bagi tujuan pemuliharaan di seluruh dunia.
Di Bawah Kutub ialah pasukan penyelam teknikal pakar yang diasaskan dan diterajui oleh Ghislain Bardout serta Emmanuelle Périé-Bardout dengan misi meneroka lautan dalam demi kemajuan sains. Dengan kerjasama konsortium saintifik antarabangsa yang diterajui oleh Laetitia Hédouin dan Lorenzo Bramanti (dari Pusat Penyelidikan Saintifik Kebangsaan Perancis), program DEEPLIFE Di Bawah Kutub telah mendapat pengiktirafan rasmi sebagai sebahagian daripada Dekad Sains Lautan untuk Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (2021–2030). Teknologi penafas semula (rebreather) yang membolehkan penyelam mengitar semula bekalan gas pernafasan mereka telah membantu Di Bawah Kutub meneroka kedalaman yang luar biasa, termasuk merekodkan selaman pertama di bawah kepingan ais kutub melebihi kedalaman 100 meter.
Dalam ekspedisi DEEPLIFE di Guadeloupe, pasukan Di Bawah Kutub bekerjasama dengan Rocha, penerima Anugerah Rolex untuk Perusahaan dan seorang pakar terkemuka dunia dalam bidang iktiologi (kajian tentang ikan). Berbekalkan pengalaman puluhan tahun mengkaji zon mesofotik, mereka dapat menyingkap pemahaman baharu tentang hutan hidupan marin di perairan tropika di kawasan ini.
Hutan haiwan marin terdiri daripada pelbagai haiwan seperti karang, gorgonia, span dan spesies dwicangkerang. Apabila membiak dalam jumlah yang banyak, struktur menyerupai kanopi hutan di daratan akan terbentuk dan menyediakan habitat kepada kepelbagaian spesies yang luar biasa. Disebabkan oleh cabaran menyelam ke zon mesofotik, hutan haiwan marin yang membiak di kedalaman ini masih kurang difahami berbanding dengan terumbu karang di perairan cetek yang lebih dikenali ramai.
Minat Rocha terhadap hidupan marin bermula sejak zaman kanak-kanaknya di Brazil. Beliau memiliki akuarium dan gemar bersnorkel untuk meneroka kekayaan hidupan laut di pesisir negara itu.
Hari ini, minat yang sama membawanya meneroka lautan yang lebih dalam. Zon mesofotik memberikan penemuan penting untuk kita memahami hidupan marin. Menurut anggaran Rocha, 99 peratus pengetahuan kita tentang terumbu karang datang dari kawasan terumbu cetek yang paling mudah diakses.
Selaman terumbu karang laut dalam tetap rumit dan berisiko walaupun dengan teknologi penafas semula. Walaupun kapal selam menawarkan cara yang lebih mudah untuk meneroka kedalaman laut, Rocha memilih pendekatan berbeza. “Kapal selam terlalu bising dan menggunakan banyak cahaya. Apabila kapal selam menghampiri terumbu karang, ikan-ikan akan bersembunyi. Kajian ikan di terumbu dengan kapal selam ibarat mengkaji burung di hutan hujan dengan menaiki helikopter. Kapal selam tidak sesuai untuk tujuan itu.“
Gabungan kepakaran Rocha yang diiktiraf dunia dalam bidang iktiologi dan rekod selaman laut dalam Di Bawah Kutub yang luar biasa membolehkan pasukan ini menjalankan kajian unik terhadap hutan hidupan marin di Guadeloupe.
Tidak hairanlah analogi Rocha tentang selaman itu merujuk hutan di daratan. Banyak kaedah analisis yang digunakan oleh pasukan ini diadaptasi daripada kajian hutan hujan. “Kami sering menggunakan alat yang sama dan teori ekologi yang serupa. Banyak pengetahuan saintifik yang berguna telah dikumpulkan tentang hutan daratan,” kata Rocha. “Kita tidak perlu bermula dari kosong.”
Kami sering menggunakan alat yang sama dan teori ekologi yang serupa. Banyak pengetahuan saintifik yang berguna telah dikumpulkan tentang hutan daratan.
Dalam ruang terhad di atas kapal Di Bawah Kutub, The WHY, kerjasama dan hubungan erat sesama ahli pasukan amatlah penting. Menurut Périé-Bardout, kerjasama dengan Rocha terjalin menerusi keserasian pemikiran. “Beliau seorang saintis yang luar biasa. Namun yang lebih penting, kami didorong oleh semangat yang sama. Beliau seorang penjelajah yang bersemangat yang didorong oleh keinginan untuk memelihara lautan dengan lebih baik.”
Selama bertahun-tahun, kemerosotan terumbu karang dunia sudah diketahui umum. Namun, Rocha dan Di Bawah Kutub mendapati bahawa apabila terumbu karang terjejas, hutan haiwan marin di laut dalam masih mampu berkembang biak dengan baik. Habitat ini serupa dengan terumbu dan memberikan harapan bahawa ekosistem pesisir mungkin sedang menyesuaikan diri, bukannya mengalami kemusnahan.
“Tugas kami adalah untuk memahami kemampuan alam semula jadi menyesuaikan diri apabila hutan haiwan marin mengambil alih peranan terumbu karang,” jelas Périé-Bardout. “Apakah lagi yang mampu diselamatkan oleh hutan ini? Apakah biodiversiti yang terdapat dalam ekosistem ini? Ada kalanya alam berubah rupa untuk kembali bertahan.” Mari kita kaji dan fahami agar kita dapat memelihara alam dengan lebih baik pada masa hadapan.”
Tugas kami adalah untuk memahami kemampuan alam semula jadi menyesuaikan diri apabila hutan haiwan marin mengambil alih peranan terumbu karang.
Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, misi DEEPLIFE di Guadeloupe menyebarkan mesej tentang pemuliharaan dan harapan ke seluruh dunia. Misi ini amat penting dan penuh risiko. Namun, bagi Rocha dan Di Bawah Kutub, usaha ini didorong oleh minat serta semangat pengembaraan.
Menurut Rocha, “Sering kali sebelum menyelam, kami saling berpandangan dan bertanya: ‘Kenapa kita buat semua ini?’ Namun, semasa menyelam dan melihat terumbu yang belum pernah dilihat oleh sesiapa sebelum ini pada 120 meter di bawah permukaan, kami kembali dan berkata: ‘Itulah sebabnya. Itulah jawapannya.”