Pintasan
Di Bawah Kutub
Diterbitkan pada
Melalui Inisiatif Planet Abadi, Rolex menyokong ekspedisi DEEPLIFE Di Bawah Kutub yang mengkaji hutan haiwan marin dari kutub ke kawasan tropika. Misi kedua mereka ke Kepulauan Canary meneroka hutan karang hitam yang menjulang tinggi di kawasan ini.
Di sebalik pesisir pantai berbatu di Kepulauan Canary, terdapat dunia bawah air misteri yang dipenuhi hidupan. Para saintis telah mengkaji bahagian pinggir pantai secara terperinci, tetapi zon yang lebih dalam masih kurang diterokai. Pakar selaman laut dalam, Emmanuelle Périé-Bardout dan Ghislain Bardout, meneroka persekitaran ini untuk kali pertama. “Tempat yang kami pergi, belum pernah dijejaki sesiapa,” ujar Emmanuelle.
Pasangan ini menubuhkan program penerokaan Di Bawah Kutub pada 2008 bagi memperluas pengetahuan saintifik tentang lautan dunia melalui penyelidikan yang dijalankan dari kapal penyelidikan mereka, WHY. Pada kedalaman antara 30 hingga 200 meter, zon mesofotik menjadi sempadan antara dunia laut yang diterangi cahaya di permukaan dan kedalaman yang diselubungi kegelapan. Sebelum ini, cabaran kajian menyebabkan zon ini masih tersembunyi dan penuh misteri.
Teknik selaman tradisional hanya mampu mencapai kedalaman 60 meter. Namun, pembangunan peralatan skuba yang dikenali sebagai “penafas semula (rebreather)” membolehkan Di Bawah Kutub meneroka kawasan yang lebih dalam. Penafas semula mengitar semula udara hembusan penyelam dan menyingkirkan karbon dioksida agar mereka dapat menyelam lebih lama dan lebih dalam serta “meneroka lautan dengan cara baharu”, ujar Bardout.
Namun, bidang ini tetap mencabar dan memerlukan kepakaran khusus. Menurut Périé-Bardout, “Tidak ramai yang ada kelayakan untuk menyelam ke kedalaman sebegitu, apatah lagi dalam kalangan saintis.” Dalam siri ekspedisi terbaharu, DEEPLIFE, Di Bawah Kutub bekerjasama dengan saintis dari seluruh dunia untuk mengkaji dan melindungi ekosistem lautan yang masih tersembunyi.
Tidak ramai yang ada kelayakan untuk menyelam ke kedalaman sebegitu, apatah lagi dalam kalangan saintis.
Hanya 100 meter dari sebuah kawasan peranginan popular di Lanzarote, dasar laut menjadi cerun jurang yang dalam. “Tiba-tiba wujud sebuah syurga kehidupan yang begitu indah, berwarna-warni dan kaya, ujar Périé-Bardout. Para penyelam terpegun melihat saiz karang hitam yang tumbuh di situ mampu mencapai ketinggian hingga dua meter. “Bayangkan anda boleh menyorok di situ,” katanya.
Di banyak tempat, penangkapan ikan menggunakan pukat tunda laut dalam telah memusnahkan ekosistem yang rapuh ini sebelum saintis berpeluang membuat kajian dengan lebih terperinci. Di Kepulauan Canary, pengharaman amalan ini dapat memelihara hutan bawah laut. “Sebab itulah ekosistem di sini begitu jarang ditemukan dan sangat kaya dengan hidupan,” kata Bardout.
Para saintis memperkenalkan istilah “hutan haiwan marin” untuk merujuk komuniti karang, span dan pelbagai haiwan lain yang hidup subur di zon mesofotik memandangkan ekosistem tersebut mempunyai banyak persamaan dengan hutan di daratan. Struktur 3D mewujudkan iklim mikro dan menyediakan tempat perlindungan bagi pelbagai hidupan marin daripada ancaman pemangsa. Tidak hairanlah terumbu karang, antara contoh terbaik hutan haiwan marin, menjadi kawasan yang kaya dengan biodiversiti.
Misi Di Bawah Kutub di Lanzarote bertujuan untuk membangunkan model hutan karang hitam sebagai panduan untuk mengkaji habitat yang serupa di seluruh dunia. Pasukan ini meninjau setiap aspek hutan karang hitam tersebut dengan memasang pelbagai sensor dan mengumpulkan banyak sampel. Di antara rimbunan karang hitam, pasukan ini menemukan genus baharu amfipod, iaitu hidupan kecil menyerupai udang yang memakan sisa tumbuhan dan haiwan yang telah mati di hutan bawah laut.
Idea DEEPLIFE tercetus daripada ekspedisi DEEPHOPE di Polinesia Perancis yang berlangsung dari 2018 hingga 2021. Para saintis menemukan kepelbagaian terumbu karang yang kaya di bawah kedalaman 40 meter. “Kami menyangka biodiversiti terumbu karang hanya tertumpu di zon permukaan,” kata Laetitia Hédouin, Pengarah Bersama Saintifik DEEPLIFE. Namun, mereka menemukan komuniti karang yang jauh lebih kaya pada kedalaman antara 40 hingga 60 meter daripada yang dibayangkan.
Apabila terumbu karang berhampiran permukaan air mengalami pelunturan, hutan karang di perairan lebih dalam kekal terlindung daripada kesan tersebut. Hédouin berpendapat bahawa terumbu karang mesofotik mungkin merupakan “oasis yang akan memastikan daya tahan kawasan yang merosot”.
Penemuan ini membuka perspektif baharu tentang terumbu karang dan mendorong mereka meneroka hutan hidupan marin yang tersembunyi di zon mesofotik di seluruh dunia. Menurut Hédouin, keterujaan ekspedisi DEEPLIFE ialah “menyingkap alam yang begitu istimewa” di hutan bawah laut yang masih jarang dilihat oleh manusia.
Selepas sebulan menjalankan kajian terperinci terhadap hutan karang di Lanzarote, WHY berlayar ke perairan sekitar Kepulauan Canary yang lain bagi meneroka lebih banyak hutan haiwan marin. Pasukan Di Bawah Kutub mengumpulkan sampel karang bagi memahami kepelbagaian genetik serta hubungan antara ekosistem ini untuk menentukan lokasi pemuliharaan yang patut diutamakan.
Satu lagi penemuan mengejutkan mengubah pemahaman mereka tentang karang hitam yang rupa-rupanya mampu hidup di habitat selain dasar laut berbatu. Di dasar laut berpasir berhampiran pesisir Kepulauan Canary, karang cambuk ditemukan tumbuh dengan berpaut pada cangkerang kecil.
Ekspedisi Di Bawah Kutub di Kepulauan Canary berakhir dengan selaman terdalam mereka apabila penyelam turun hingga kedalaman 200 meter di luar pesisir El Hierro untuk mencari hutan karang hitam. Walaupun karang hitam ditemukan pada kedalaman tersebut, kawasan selaman El Hierro masih belum tebal untuk membentuk hutan haiwan marin. Namun, Bardout menjelaskan bahawa itulah hakikat dunia penerokaan. “Kadangkala kita menemukan sesuatu, kadangkala tidak. Namun, setiap hasil tetap membawa makna tersendiri.”
Kadangkala kita menemukan sesuatu, kadangkala tidak. Namun, setiap hasil tetap membawa makna tersendiri.
Rakan kongsi saintifik projek ini kini berganding bahu dengan kerajaan Gran Canaria, menggunakan data DEEPLIFE bagi merangka sempadan sebuah taman marin baharu di sekitar pulau itu. Bagi kawasan perlindungan marin, pertimbangan terhadap kedalaman laut amat penting agar kepelbagaian hidupan yang mendiami zon mesofotik dapat dilindungi.
Dalam ekspedisi pertama DEEPLIFE ke Svalbard pada 2022, pasukan Di Bawah Kutub menemukan sebuah hutan hidupan marin yang subur di perairan Artik. Selepas Kepulauan Canary, WHY berlayar ke Guadeloupe di Caribbean demi menemukan lebih banyak ekosistem luar biasa ini yang disifatkan oleh Lorenzo Bramanti, Pengarah Bersama Saintifik DEEPLIFE, sebagai “hutan hujan lautan”.
Ekspedisi Canary ialah ekspedisi kedua dalam program baharu Di Bawah Kutub, DEEPLIFE 2021–2030 yang mendapat sokongan daripada Inisiatif Planet Abadi Rolex. Program ini bertujuan untuk meneroka hutan hidupan marin di seluruh lembangan lautan dunia.
Di Bawah Kutub adalah antara perkongsian yang disokong oleh Inisiatif Planet Abadi yang menyatukan individu dan organisasi dalam usaha melindungi dan menjaga bumi melalui penerokaan saintifik.