Pendidikan dan penglibatan menjadi inti pati selain mendekatkan pengunjung kepada sains agar mereka dapat merasai sendiri pengalaman sebagai saintis.
Pintasan
Diterbitkan pada
Penemuan luar biasa yang dibuat di CERN, makmal fizik zarah terbesar di planet ini, telah mengubah dunia. Perkongsian antara Inisiatif Planet Abadi Rolex dengan CERN & Society Foundation meniup semangat penerokaan saintifik kepada generasi baharu.
Di sempadan antara Switzerland dengan Perancis, alam semesta kita sedang dicerap. CERN ialah organisasi saintifik yang berprestij dan terkenal dengan penemuan luar biasa yang dibuat menggunakan Large Hadron Collider, pemecut zarah terbesar di dunia. Dengan 60 kilometer terowong dan lebih daripada 80 gua, infrastruktur bawah tanah kemudahan itu sangat kompleks. Para saintis dan jurutera di seluruh tapak berganding bahu untuk memahami juzuk asas jirim dan hukum yang terlibat. Perjalanan penerokaan ini merupakan penyelidikan yang paling asas.
Penerokaan ke dunia yang belum diketahui memerlukan kreativiti dan inovasi. Sepanjang beberapa dekad, saintis CERN bukan sahaja memajukan ilmu, malah membangunkan teknologi yang mengubah masyarakat, sejak kemunculan Jaringan Sejagat, skrin sentuh serta kemajuan dalam perubatan Prinsip utama penerokaan, yang disokong oleh komitmen terhadap ketepatan dan kecemerlangan, merupakan teras hubungan Rolex dengan CERN yang telah lama terjalin.
Pendidikan dan penglibatan menjadi inti pati selain mendekatkan pengunjung kepada sains agar mereka dapat merasai sendiri pengalaman sebagai saintis.
Pada mulanya disatukan hampir 70 tahun yang lalu oleh minat bersama dalam inovasi dan pembangunan teknologi, kini Rolex ialah Rakan Kongsi Perdana CERN & Society Foundation. Melalui hubungan istimewa ini, Rolex menyokong pelbagai aktiviti pendidikan yang diterajui oleh yayasan tersebut, termasuk pertandingan Beamline for Schools, program biasiswa dan pemindahan teknologi yang melibatkan saintis muda dari seluruh dunia serta Sparks, iaitu inisiatif yang menggalakkan kerjasama merentas bidang. Dengan sokongan ini, badan kebajikan tersebut merealisasikan satu daripada misi asas CERN, iaitu memberikan impak positif dengan berkongsi penemuan kepada dunia. “Pendidikan dan penglibatan menjadi inti pati selain mendekatkan pengunjung kepada sains agar mereka dapat merasai sendiri pengalaman sebagai saintis,” kata Charlotte Lindberg Warakaulle, pengarah hubungan antarabangsa CERN.
Pusat Science Gateway menjadi teras penting dalam misi CERN & Society Foundation untuk mendekatkan sains kepada lebih ramai khalayak global. Rolex menyokong pembinaan pusat ini yang pancaran zarah dan pengesan digantikan dengan mikrofon dan demonstrasi sementara saintis dan jurutera CERN membimbing ribuan pengunjung setiap hari melalui pameran multimedia, eksperimen amali serta persembahan interaktif. Kebanyakan jurupandu dan fasilitator ialah warga CERN sendiri yang membawa orang ramai lebih dekat kepada kerja mereka, misteri yang sedang dirungkai, serta manfaat penyelidikan merentas sempadan ilmu kepada semua. “Science Gateway ialah lambang keterbukaan serta hasrat dan semangat kami untuk berkongsi kerja ini dengan dunia,” kata Warakaulle.
Penyelidikan di CERN menjadi sebahagian daripada usaha untuk menjawab persoalan paling mendalam tentang alam semesta termasuk asal-usul dan komposisinya. Dengan mengajak dunia menyelami persoalan itu bersama, Science Gateway menyerlahkan potensi manusia yang mampu dicapai melalui kerjasama antarabangsa, kreativiti, inovasi dan ketepatan.
Bagi jurupandu Science Gateway seperti ahli fizik Anastasia Tezari, rasa ingin tahu yang tercetus setiap hari membawa potensi besar. “Seorang pelajar yang menyertai bengkel bersama kami mungkin mencetuskan idea baharu yang bernas, yang mengubah cara kita melihat sains dan bekerja,” katanya.
Bekerja sebagai ahli fizik zarah di CERN serta berpeluang mengendalikan teknologi canggih di sana mungkin kedengaran mustahil bagi kebanyakan orang. Namun, beberapa pasukan peneroka masa hadapan berjaya merasai pengalaman tersebut. Pertandingan Beamline for Schools membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah di seluruh dunia untuk mencadangkan projek menggunakan alur sinar, iaitu laluan zarah di dalam pemecut.
Kesukaran mencipta eksperimen fizik zarah tidak menghalang ratusan kumpulan menyertai pertandingan Beamline. “Kami sentiasa kagum akan kualiti cadangan,” kata Warakaulle. Semangat antarabangsa dan kolaborasi di CERN terserlah apabila pemenang 2024 datang dari Jepun, Estonia dan Amerika Syarikat untuk menjalankan projek mereka.
Di sini, sains menitikberatkan bumi dan masa depan kita.
Walaupun datang dengan perasaan bercampur baur, pasukan-pasukan ini menyesuaikan diri dan bekerjasama untuk menjayakan eksperimen. Bimbingan saintis sokongan membantu mereka membiasakan diri dengan peralatan, peranti dan perisian yang digunakan di CERN sambil memberikan gambaran tentang kemahiran asas yang diperlukan dalam bidang fizik zarah. “Kami tidak memberikan layanan istimewa kepada pelajar,” kata jurutera teknikal pertandingan Beamline, Markus Joos. “Mereka menghadapi cabaran yang sama seperti yang perlu diselesaikan oleh pekerja profesional.” Pengalaman yang mencabar ini membina keyakinan dalam kalangan pelajar untuk menghadapi cabaran besar serta memupuk budaya ketepatan dan kreativiti seperti yang ditegaskan oleh Joos.
Projek Beamline for Schools turut memberi pelajar pengetahuan dan kemahiran yang boleh digunakan dalam pelbagai bidang serta mendorong minat terhadap sains demi manfaat planet ini. “CERN amat peka terhadap alam sekitar,” kata Yuzuka Sasaki, seorang daripada pemenang 2024. “Di sini, sains menitikberatkan bumi dan masa depan kita.”
Sokongan terhadap misi CERN & Society Foundation membolehkan Rolex terus membentuk generasi baharu peneroka saintifik.