Jumlah plastik di planet ini begitu banyak sehingga kekal dalam rekod fosil.
Pintasan
Diterbitkan pada
Miranda Wang merealisasikan satu dekad penyelidikan dan inovasi. Dengan sokongan Rolex, beliau berjaya membina kilang demonstrasi pertama yang mampu menukar plastik bernilai rendah kepada bahan berkualiti tinggi, satu pencapaian besar ke arah ekonomi sepusingan plastik.
Semua video
2025
2019
Plastik ialah satu daripada bahan penting pada zaman moden. Hari ini, plastik boleh direka bentuk untuk mencipta hampir semua produk seperti komponen di dalam kapal angkasa, bahan bungkusan makanan ringan dan stoking. Akan tetapi, kualiti yang menjadikan plastik begitu mudah ditemukan: ketahanan, kekuatan, kefleksibelan dan kemampumilikan, juga telah menimbulkan satu masalah besar kepada manusia. Kebanyakan sisa plastik setakat ini tidak boleh digunakan semula. Kitar semula plastik secara tradisional hanya mampu menghasilkan produk berkualiti rendah daripada bahan asal dan kitaran ini terus berlaku. Pada masa ini, hanya sembilan peratus daripada ratusan juta tan plastik yang dihasilkan setiap tahun dikitar semula. Dianggarkan 52 juta tan plastik dilepaskan ke alam sekitar secara tidak terkawal, lantas merosakkan ekosistem, membahayakan hidupan marin dan membahayakan kesihatan manusia.
Plastik kini ditemukan di setiap pelosok bumi. Menurut Pemenang Anugerah Rolex, Miranda Wang, “Jumlah plastik di planet ini begitu banyak sehingga kekal dalam rekod fosil.” Namun, itu bukan satu-satunya cabaran. Memandangkan plastik diperbuat daripada bahan api fosil, penghasilan dan pembakaran plastik turut menjadi penyumbang utama kepada pengeluaran karbon.
Bagi menangani krisis sisa plastik, Rolex menyokong Wang dan rakan kongsinya, Jeanny Yao, dalam pelaksanaan kaedah kitar semula mereka yang inovatif. Mereka berusaha mewujudkan ekonomi sepusingan plastik yang sebenar yang membolehkan bahan plastik digunakan semula berkali-kali tanpa menjadi sisa buangan. Mereka membangunkan proses untuk menukar plastik yang sukar dikitar semula kepada produk tahan lama seperti barang elektronik dan kasut. Kaedah ini memecahkan plastik polietilena terpakai daripada barangan seperti beg plastik, bungkusan, bekas dan lembaran plastik pertanian kepada blok binaan kimia.
Komponen asas ini kemudiannya digunakan untuk menghasilkan polimer berprestasi tinggi seperti poliuretana yang mempunyai kualiti dan nilai setara dengan plastik baharu yang dihasilkan daripada bahan api fosil.
Jumlah plastik di planet ini begitu banyak sehingga kekal dalam rekod fosil.
Lima tahun selepas menerima Anugerah Rolex atas pembangunan proses baharu yang inovatif itu, Wang sekali lagi meraih satu pencapaian penting. Novoloop, syarikat yang diasaskan bersama Yao baru-baru ini membina loji demonstrasi pertama mereka di Surat, India. “Kami telah mengusahakan teknologi ini selama 10 tahun dan melihat loji ini mula beroperasi merupakan detik yang amat istimewa,” kata Yao. Novoloop berjaya membuktikan bahawa usaha mereka boleh dikembangkan daripada peringkat makmal kepada penggunaan industri dengan operasi berterusan sepanjang masa. Di ruang rehat, kakitangan membunyikan loceng sebagai tanda meraikan kejayaan dan pencapaian penting. Ujar wang, “Kami membunyikan loceng itu dan semua orang bersorak. Sudah banyak kali kami meraikan kejayaan sebegini!”
Matlamat seterusnya adalah untuk mengendalikan loji perintis itu selama 1,000 jam bagi mengumpulkan data prestasi dan kebolehpercayaan serta menghasilkan sampel produk yang akan membantu mereka untuk mereka bentuk operasi komersial berskala besar. Inilah cita-cita yang diimpikan oleh Wang dan Yao sekian lama.
Sejak kecil, Wang dan Yao telah tertarik dengan idea untuk membangunkan kaedah baharu kitar semula plastik yang boleh digunakan secara meluas. Semasa di sekolah, Wang dan Yao menyertai kelab kitar semula sebagai sahabat baik dan akhirnya mengendalikan kelab yang serupa. Kemudian, mereka menemukan bakteria pemakan plastik di sebuah sungai berhampiran tempat tinggal mereka di Kanada. Potensi penyelesaian yang ditemukan mendorong dua sahabat baik ini untuk mengasaskan sebuah syarikat. “Kami rasa masih banyak perkara yang perlu dilakukan dan ini bukan masa untuk berhenti,” kata Wang. “Kami sedar bahawa kemajuan teknologi sebenar dalam bidang kitar semula bukan sesuatu yang mudah.” Melalui kerjasama dengan ahli akademik dan pakar sejak sekolah menengah hingga universiti, Wang sedar bahawa kaedah biologi untuk menguraikan plastik tidak dapat diluaskan. Justeru, Wang menghabiskan masa bertahun-tahun untuk mencari proses kimia baharu untuk mengubah plastik terbuang menjadi bahan bernilai yang boleh diluaskan untuk loji komersial di seluruh dunia.
Kami sedar bahawa kemajuan teknologi sebenar dalam bidang kitar semula bukan sesuatu yang mudah.
Walaupun berdepan pelbagai cabaran, Wang dan Yao tetap yakin akan nilai usaha yang dibangunkan oleh mereka. “Kami mahu meneruskan usaha ini kerana inilah sumbangan terbesar dalam hidup kami dan mungkin perkara paling penting yang pernah atau akan kami lakukan,” kata Yao.
Hari ini, segala penat lelah mereka melalui proses ujian, penyesuaian dan bekerja seharian di makmal akhirnya membuahkan hasil. Menjelang 2030, mereka menjangkakan penukaran hingga 175,000 tan sisa plastik dan pengurangan hingga 800,000 tan pengeluaran CO₂ setiap tahun. Dengan sokongan Inisiatif Planet Abadi Rolex, Wang dan Yao meneruskan usaha menuju matlamat terbesar mereka iaitu dunia tanpa pencemaran plastik.