Pintasan
Diterbitkan pada
Pada tahun 2010, usahawan sosial Nigeria Nnaemeka Ikegwuonu memenangi Anugerah Rolex untuk Perusahaan untuk mewujudkan stesen radio untuk menasihati petani pekebun kecil. Pada masa ini, projek terbarunya mengenai rangkaian bilik sejuk berkuasa solar dan berjalan kaki, merevolusikan rantaian bekalan makanan Nigeria.
Semua video
2023
2010
Dua puluh tahun yang lalu, Nnaemeka Ikegwuonu menubuhkan sebuah stesen radio, Smallholder Farmer Rural Radio, untuk membantu petani di Nigeria mengurus dan menuai tanaman mereka dengan lebih baik. Di negara yang 70 peratus penduduk hidup dalam pertanian sara hidup, dan tahap celik huruf adalah rendah, stesen ini telah meraih kejayaan yang luar biasa. Ikegwuonu menganggarkan bahawa radio kini disiarkan kepada lebih 15 juta orang, manakala dua pertiga daripada pendengar telah meningkatkan hasil pertanian mereka sebanyak 50 peratus dan pendapatan isi rumah mereka sebanyak 45 peratus.
Usaha Ikegwuonu mendapat pengiktirafan tujuh tahun kemudian apabila beliau menerima Anugerah Rolex untuk Perusahaan pada 2010, yang kini menjadi sebahagian daripada inisiatif Planet Abadi Rolex.
Kisahnya tidak terhenti di situ. Beliau terus bersiaran di stesen radio itu. Pada 2015, satu kajian program tentang penanaman kubis membuka matanya terhadap masalah besar pembuangan makanan selepas tuaian. Di Nigeria, sekitar 40 peratus hasil pertanian rosak dalam cuaca panas sebelum sempat dijual. Bagi sebuah negara yang berada di tangga ke-107 daripada 113 negara dalam Indeks Keterjaminan Makanan Global, masalah pembuangan ini amat membimbangkan. Lebih 88 juta penduduk Nigeria berdepan ketakjaminan makanan, manakala 12 peratus mengalami kekurangan zat makanan.
Ikegwuonu sekali lagi memilih untuk bertindak. “Kami membina bilik sejuk berkuasa solar menggunakan unit pendingin hawa tingkap,” katanya. “Tiada seorang pun daripada kami mempunyai latar belakang kejuruteraan tetapi kami berjaya membinanya.”
Ini hanyalah satu permulaan. Berikutan kejayaan tersebut, beliau mula memperluas rangkaian “ColdHub” ke seluruh rantaian bekalan makanan bagi membantu petani kecil, peruncit dan pemborong mendapatkan kemudahan penyimpanan sejuk yang berpatutan. ColdHub mampu memanjangkan tempoh kesegaran makanan mudah rosak daripada hanya dua hari kepada 21 hari serta mengurangkan kehilangan hasil selepas tuaian hingga 80 peratus.
Hari ini, terdapat 58 ColdHub yang beroperasi di 28 negeri di Nigeria. Pada Mei lalu, Ikegwuonu membuka bilik sejuk solar pertama ColdHubs dengan kapasiti 100 tan yang mampu menyimpan hingga 5,000 kotak buah-buahan dan sayur-sayuran segar pada satu-satu masa. Syarikat itu turut melatih petani kecil dan peruncit tentang cara mengendalikan hasil tanaman mudah rosak selepas tuaian.
Unit penyejukan [ColdHubs] ini amat bersih dan mesra alam. Kami memilih pendekatan ini kerana sejak dahulu lagi, semua rancangan radio kami sentiasa menggalakkan kesedaran terhadap alam sekitar serta berkongsi strategi menyesuaikan diri dan menangani perubahan iklim.
Bagi Ikegwuonu, penggunaan tenaga solar ialah ciri utama ColdHub. “Unit penyejukan ini amat bersih dan mesra alam. Kami memilih pendekatan ini kerana sejak dahulu lagi, semua rancangan radio kami sentiasa menggalakkan kesedaran terhadap alam sekitar serta berkongsi strategi menyesuaikan diri dan menangani perubahan iklim. Oleh itu, kami tidak mahu dilihat sebagai sebuah syarikat baharu yang memudaratkan alam sekitar.”
Ikegwuonu turut berbangga kerana ColdHubs telah membuka peluang pekerjaan baharu kepada wanita dalam sektor pertanian. Lebih 80 wanita kini telah diambil bekerja dan dilatih sebagai pengendali hab serta petugas pasar di seluruh Nigeria.
Selain memperkukuh keterjaminan makanan, inisiatif ini meningkatkan pendapatan semua pihak dalam rantaian bekalan makanan daripada petani hingga peruncit, pemborong dan penjual.
Ikegwuonu mengakui manfaat yang dinikmati daripada Anugerah Rolex untuk Perusahaan pada 2010. “Saya benar-benar menghargai anugerah ini. Itulah pengiktirafan pertama yang membuktikan kredibiliti saya.” Beliau juga bersyukur menjadi sebahagian daripada rangkaian Penerima Anugerah Rolex yang saling membantu. “Rangkaian Rolex membolehkan anda bertukar-tukar pandangan dengan mereka yang memahami cabaran yang cuba anda selesaikan. Kewujudan komuniti yang begitu erat memberikan semangat untuk terus melangkah walaupun berdepan pelbagai cabaran.”
Bagi Rolex pula, projek ini ialah kesinambungan kepada pelbagai inisiatif berkaitan yang bertujuan untuk memperkukuh sistem makanan serta membasmi pembaziran. Pada 2000, Allahyarham Mohammed Bah Abba dari Nigeria menerima Anugerah Rolex untuk Perusahaan atas inovasi sistem penyejukan “pasu dalam pasu” yang mengekalkan kesegaran makanan mudah rosak. Justeru, inovasi berteknologi tinggi yang dibangunkan oleh Ikegwuonu ialah evolusi daripada idea bernas Abba.
Saya sentiasa melihat sesuatu dan tertanya-tanya, ‘Adakah ini boleh dilakukan dengan cara yang berbeza?’ Setiap kali berdepan cabaran sosial, saya terus berfikir, ‘Bagaimana masalah ini boleh diselesaikan?’ Semangat untuk berinovasi, mencipta dan menangani isu sosial inilah yang sentiasa mendorong saya.
Kejayaan inisiatif tersebut memberikan keyakinan kepada Ikegwuonu bahawa idea ini mampu berkembang jauh di luar sempadan negaranya. Cita-cita beliau adalah untuk menghapuskan pembaziran makanan di 470 juta ladang kecil di seluruh dunia, meningkatkan pendapatan petani dan peruncit serta memastikan bekalan makanan segar yang terjamin untuk golongan yang mengalami kekurangan zat makanan.
Pada masa ini, fokus beliau adalah untuk memperkukuh industri rantaian sejuk di Nigeria. Beliau kini mengetuai pembinaan ColdHub baharu dan memperkenalkan trak logistik dingin untuk menghantar makanan dari ladang ke pasar. Semangat beliau untuk mencipta inovasi terus membara.
“Saya sentiasa melihat sesuatu dan tertanya-tanya, ‘Adakah ini boleh dilakukan dengan cara yang berbeza?’ Setiap kali berdepan cabaran sosial, saya terus berfikir, ‘Bagaimana masalah ini boleh diselesaikan?’ Semangat untuk berinovasi, mencipta dan menangani isu sosial inilah yang sentiasa mendorong saya.”